Rabu, 1 Februari 2017 | 7:49am

Saman DAP anti-Islam dedah belang parti cauvinis

KIT Siang pernah mempersoalkan kandungan khutbah Jumaat pada 1 Februari 2014. - Foto hiasan
KIT Siang pernah mempersoalkan kandungan khutbah Jumaat pada 1 Februari 2014. - Foto hiasan

28 Januari lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menyatakan beliau meminta peguamnya mengkaji kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, kerana menyebut DAP anti-Islam.

Pelik kenapa baru sekarang Kit Siang mahu mengambil tindakan undang-undang sedangkan sebelum ini pelbagai pihak turut menyebut perkara sama.

Selain beberapa pemimpin PAS, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO dua tahun berturut-turut pernah menyebut DAP anti-Islam. Perihal DAP anti-Islam juga disebut di dalam khutbah Aidiladha Jabatan Mufti Negeri Pahang pada 24 September 2015. Ugutan DAP untuk mengambil tindakan undang-undang atas khutbah ini juga tidak dikota.

Tidak pelik jika ugutan Kit Siang tinggal ugutan semata-mata. Beliau pernah mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 April 2013 dan terhadap seorang pemimpin PAS, Dr Zuhdi Marzuki, pada 1 Januari 2016, tetapi ternyata ia ugutan kosong. Kelihatan seperti ugutan begini dibuat sebagai strategi politik waktu terdesak sahaja.

DAP tolak hukum Islam

Seperti disebut oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah tersebut, dalam beberapa isu membabitkan Islam seperti hudud DAP menentangnya, bermakna DAP menolak hukum Islam. Terbaru adalah tentangan keras DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah yang berkuatkuasa ke atas penganut Islam sahaja.

Sikap DAP terhadap Islam jelas tergambar dalam Perlembagaan DAP yang menyebut matlamat DAP adalah untuk 'mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal'. Walhal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, telah mengisytiharkan di Dewan Rakyat pada 16 Jun 2014 bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Lebih jauh lagi, seperti disebut Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016, Perlembagaan DAP langsung tidak mengandungi sebarang pengiktirafan ke atas peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa 'Islam ialah agama bagi Persekutuan.' Apa yang ada di dalam Perlembagaan DAP hanyalah 'mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi.'

Sebab itulah jika dilihat kepada rekod DAP selama ini, perjuangan pemimpinnya lebih tertumpu kepada kebebasan beragama bagi penganut bukan Islam, sedangkan, hakikatnya, seperti sering disebut oleh pakar perundangan Islam negara, Prof Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim, penganut Islam juga perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan cara hidup mereka mengikut ajaran Islam.

Sikap DAP terhadap Islam juga tergambar dalam kenyataan Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali, pada 8 September 2015 berbunyi: "Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya". Walhal pembatasan urusan beragama kepada soal peribadi bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup meliputi aqidah, syariah dan akhlak.

Sebab itulah, pemimpin DAP berusaha mendekati tokoh gerakan Islam, termasuk dengan bertandang ke Jordan, Mesir, Tunisia dan Turki, bagi mencapai matlamat utama DAP mutakhir ini, seperti disebut oleh pemikir DAP, Dr Wong Chin Huat, di dalam tulisan beliau pada 4 Oktober 2015, untuk menunjukkan bahawa Muslim yang menolak pelaksanaan syariah bukanlah anti-Islam.

Selain penentangan terhadap pelaksanaan syariah, sikap DAP yang tidak mesra Islam ini tergambar dalam pelbagai kenyataan pemimpinnya terhadap syiar mahupun institusi Islam, termasuk mempersoalkan kandungan khutbah Jumaat, mempersoalkan laungan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara, mempersoalkan larangan murtad dan mempersoalkan kewujudan JAKIM.

Persoal kewajipan Muslimah

Kit Siang sendiri telah mempersoalkan pada 1 Februari 2014 kandungan khutbah Jumaat yang menyebut perpecahan umat Islam disebabkan hasutan umat Kristian dan Yahudi. Begitu juga dengan Tony Pua pada 15 Februari 2014 berkait dengan larangan ke atas umat Islam menyambut Hari Valentine dan Chong Eng pada 9 Februari 2015 berkait dengan kewajipan Muslimah menutup aurat.

Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Quran, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh, kerana, kata beliau - "bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?"

Dalam isu murtad, Datuk Ngeh Koo Ham telah mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.

Dalam isu institusi Islam, Zairil Khir Johari telah mempersoalkan dalam portal berita Malay Mail Online pada 27 Jun 2015 kewujudan JAKIM. Kit Siang sendiri telah berkongsi laporan portal berita The Malaysian Insider bertarikh 9 November 2015 yang mencadangkan penghapusan JAKIM di dalam blog beliau, sekali gus menjadi petanda persetujuan beliau dengan cadangan itu.

Sikap DAP yang tidak mesra Islam ini, selain disahkan oleh dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan milik Kerajaan Selangor, juga tergambar di dalam tindakannya memutuskan hubungan dengan rakan pakatannya di dalam Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat di atas isu Islam. Tepat sekali keputusan Hadi bahawa PAS tidak akan menjalinkan kerjasama politik kembali dengan DAP.

Penulis ialah Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X