Isnin, 30 Januari 2017 | 12:00pm

Ekopelancongan jana ekonomi Orang Asli

TARIAN kebudayaan suku kaum asli Mahmeri, di Pulau Carey. - Foto fail NSTP/Surianie Mohd Hanif
TARIAN kebudayaan suku kaum asli Mahmeri, di Pulau Carey. - Foto fail NSTP/Surianie Mohd Hanif

MALAYSIA mempunyai rakyat pelbagai bangsa. Malah, suku kaum asli juga tidak kurang banyak, antaranya Semai, Mah Meri, Jakun, Temiar, Temuan dan sebagainya, menjadikan Malaysia unik dan perlu dilawati kerana mampu menyajikan pelawat dengan pelbagai budaya dan adat resam.

Kehidupan masyarakat Orang Asli di Malaysia juga adalah unik untuk diterokai dan diketengahkan untuk tatapan dan pengalaman pelancong. Tambah unik lagi apabila keadaan ini mengkehendaki pelancong pergi sendiri ke perkampungan Orang Asli yang kebiasaannya terletak dalam hutan, berpuluh-puluh kilometer ke pedalaman.

Kehidupan dalam hutan memang sinonim dengan masyarakat Orang Asli kerana majoriti memilih hutan atau kawasan pedalaman sebagai tempat tinggal, jadi menyukarkan mereka memperoleh peluang pekerjaan. Majoriti memperoleh sumber pendapatan mahupun makanan daripada sumber hutan.

Namun, kedudukan ini tidak memustahilkan mereka meneroka peluang pekerjaan baharu berasaskan hutan dan alam sekitar. Sesetengah kawasan dihuni Orang Asli sangat sesuai dijadikan kawasan tarikan pelancongan, di tambah keunikan kehidupan masyarakat.

Sebagai contoh, perkampungan Orang Asli Kampung Kachau Luar, Semenyih didiami suku kaum Temuan, memang sesuai diwujud aktiviti pelancongan. Kawasan perkampungan ini yang terletak di kaki Hutan Simpan Sungai Lalang, Semenyih tersedia dengan tarikan ekopelancongan.

Keindahan air terjun di kawasan itu sememangnya jadi tarikan pelancong. Hampir setiap hujung minggu kawasan itu menjadi pilihan penggemar destinasi eko. Dengan membabitkan masyarakat Orang Asli ini dengan aktiviti pelancongan, pasti mereka dapat menjana pendapatan.

Keunikan budaya jadi tarikan

Pelbagai keunikan dan kebudayaan mereka dapat diketengahkan sebagai tarikan pelancongan Orang Asli seperti Tarian Sewang, acara menyumpit, jejak hutan, pengenalan kepada tumbuhan hutan dan kesenian anyaman berasaskan rotan, buruh dan manik tidak ketinggalan alat muzik tradisional Orang Asli.

Semua ini sangat menarik dalam menyemarakkan lagi industri pelancongan negara dan dapat membangunkan masyarakat Orang Asli. Malah, penerimaan masyarakat luar terhadap pelancongan Orang Asli mahupun kemampuan masyarakat ini dalam industri pelancongan tidak dapat dinafikan. Ini terbukti dengan kemampuan mereka sebagai pemandu pelancong di beberapa destinasi pelancongan seperti Cameron Highlands dan Taman Negara.

Di Cameron Highlands, perkhidmatan masyarakat Orang Asli diminta untuk membantu pendakian ke Gunung Brinchang. Sering mereka diminta menjejak pelancong yang hilang di kawasan berkenaan. Di Taman Negara Pahang pula, perkhidmatan masyarakat Orang Asli sebagai pemandu pelancong sentiasa diminta ketika mendaki Gunung Tahan.

Melihat kepada kemampuan dan peluang yang ada dalam industri pelancongan serta potensi membabitkan masyarakat Orang Asli. Tindakan selanjutnya perlu dilakukan, antaranya kenal pasti lokasi sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan Orang Asli, bentuk pelancongan bersesuaian kawasan, memberi sesi latihan dalam bidang pelancongan kepada masyarakat Orang Asli sama ada dari aspek pengurusan mahupun komunikasi dan terpenting memilih badan yang bertanggungjawab membantu masyarakat ini membangunkan destinasi pelancongan Orang Asli mereka.

Pembangunan destinasi ini memerlukan masa lama, keprihatinan dari agensi yang dipertanggungjawabkan, bantuan sumber kewangan dan komitmen tinggi masyarakat Orang Asli. Sungguhpun sukar dilaksanakan, tiada yang mustahil kerana pada hari ini masyarakat Orang Asli bukan lagi masyarakat Orang Asli seperti dahulu. Majoriti mereka dan anak walaupun tidak menuntut ilmu sehingga ke peringkat tinggi, tetapi mereka celik huruf. Mereka juga memahami erti pembangunan dan perlu kepada pembangunan berkenaan.

Mereka ini boleh dilibatkan dalam pelbagai aktiviti, termasuk ju aktiviti pelancongan. Selain dapat menjana sumber pendapatan baharu, mereka juga berpeluang mengetengahkan bakat, kebudayaan, keunikan dan kelebihan yang tidak dimiliki masyarakat lain.

Ini juga secara langsungnya dapat mempelbagai produk pelancongan Malaysia dan menjadi daya tarikan penting dalam industri pelancongan dunia. Malaysia seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat turut mempunyai masyarakat primitif.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X