Jumaat, 2 September 2016 | 9:55pm

Merdeka bebas belenggu hawa nafsu

DETIK bersejarah tanggal 31 Ogos 1957, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tuanku Abdul Rahman Putra melaungkan 'Merdeka' pada Upacara Pemasyuran Kemerdekaan negara disaksikan ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.
DETIK bersejarah tanggal 31 Ogos 1957, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tuanku Abdul Rahman Putra melaungkan 'Merdeka' pada Upacara Pemasyuran Kemerdekaan negara disaksikan ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.

KEBEBASAN sebenar ialah bebas daripada belenggu hawa nafsu dan benar-benar merasai nikmat kehambaan kepada Allah SWT. Bebaskan diri daripada belenggu perhambaan kepada manusia, syaitan dan kejahatan dalam erti kata merdeka yang sebenar.

Menerusi segmen Ibrah di IKIMfm, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menjelaskan maksud ayat dalam surah Quraisy merujuk kepada kaum diutuskan kepada mereka, Nabi Muhammad SAW akan mengajar kita erti kemerdekaan sebenar.

Katanya, kita sedia maklum sikap golongan Quraisy kepada Nabi Muhammad SAW, namun Allah SWT merakamkan nama mereka dalam satu surah khas supaya menjadi pengajaran kepada umat selepas itu. Quraisy pada waktu dahulu adalah bangsa yang mulia.

Ulama membahaskan, nama Quraisy ini berasal daripada perkataan Qarasy yang bermaksud sejenis ikan yang memakan ikan lain dilaut dan dia tidak boleh dimakan oleh pemangsa lain. Begitulah gambaran mengenai bangsa Quraisy ini.

Menurut al-Zamakhshari, memang wajar digelar Quraisy kerana kepakaran dan keupayaan mereka menguasai bidang perniagaan turut diambil daripada perkataan qurusy yang bermaksud pakar dalam berniaga.

Allah SWT memberikan mereka pelbagai nikmat, termasuk nikmat kemerdekaan dan bebas daripada ancaman musuh serta diberikan kemajuan dalam perniagaan. Namun, apakah sikap mereka selepas dikurniakan pelbagai nikmat itu?

Bangsa Quraisy enggan sujud

Memetik ayat pertama surah Quraisy yang bermaksud, kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah), Muhammad Syaari berkata, berlaku satu peristiwa yang membuatkan bangsa Quraisy bersatu hati sehingga membuatkan hati mereka lembut untuk tidak bergaduh dan kembali bersatu.

Namun, kesatuan hati demi keamanan negara itu tetap tidak mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.

Menariknya dalam surah Quraisy juga terdapat perkataan 'Rabb' pada ayat ketiga yang bermaksud: "Maka hendaklah mereka menyembah kepada Tuhan Rumah ini."

Selepas apa yang dikurniakan Allah SWT kepada kaum Quraisy dengan kemajuan dan kejayaan perniagaan, mereka masih enggan beribadah kepada Allah SWT. Perkataan 'Rabb' mengingatkan kita bahawa Allah SWT adalah Maha Pemberi.

Dia memberi segala apa yang tidak kita minta, apatah lagi yang kita minta. Allah SWT juga Maha Pemelihara kerana memelihara segala nikmat yang kita miliki sekalipun kita kufur kepada Nya dan Allah SWT adalah pemilik segala-galanya.

Perkataan menyembahbukan semata-mata menyembah, bahkan kita merasai nikmat kehambaan ketika solat dan melakukan ibadah lain. Kita juga perlu merasakan sifat kehambaan kepada Allah SWT dalam kehidupan sekalipun di luar daripada ibadah.

Melihat kepada apa yang berlaku di negara Islam seperti Palestin yang sering bergolak serta menjadi mangsa bedilan Zionis, kita harus bersyukur dengan nikmat keamanan dikurniakan Allah SWT kepada negara tercinta Malaysia.

Hargai nikmat keamanan

Kita perlu bermuhasabah dan menggunakan nikmat keamanan ini untuk benar-benar lebih dekat kepada Allah SWT. Sebenarnya kita susah untuk khusyuk kepada Allah SWT dalam solat jika kita tidak tahu berterima kasih kepada-Nya.

Menerusi surah al-Fatihah, kita diajar untuk mengenang dahulu apa yang sudah Allah SWT beri dan baru mudah untuk kita mengiktiraf Allah SWT sebagai 'Rabb.' Semoga apa yang Allah SWT rakamkan menerusi surah Quraisy ini dapat benar-benar menjadi iktibar buat kita.

Hargai peluang keamanan dan kesejahteraan negara kita yang Allah SWT kurniakan ini untuk menjadi hamba yang lebih dekat kepada-Nya. Semoga merdeka tidak menjarakkan kita daripada-Nya.

Berita Harian X