Isnin, 13 Jun 2016 | 5:52am

Segerakan usaha penyatuan Melayu

Dengan kerjasama penganjur yang menyediakan ambulans untuk membawa saya ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, saya dapat hadiri multaqa tersebut seketika. (Mengapa penganjur memilih namanya dalam bahasa Arab saya tidak tahu dan saya juga tidak nampak apa perlunya). Saya juga diberi peluang menjadi pertama menyampaikan pandangan.

Seperti dijangka, keadaan kesihatan memaksa saya pulang awal. Setakat yang saya sempat dengar, saya perhatikan bahawa, pertama kebanyakan peserta berumur 50 tahun ke atas dan pesara.

Kebanyakan mereka adalah bekas pegawai kanan kerajaan, akademik, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Terdapat juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) daripada UMNO dan PAS.

Kedua, peserta bukan ahli politik bersungguh lihat orang Melayu/ummah bersatu tanpa ambil kira latar belakang politik malah tanpa berfikir bentuk 'perpaduan' itu. Mereka seolah-olah berharap orang politik tanggalkan kulit politik mereka dan bersatu demi agama dan bangsa. Ini tidak akan berlaku. Bagi orang politik, politik adalah darah daging dan periuk nasi.

Peserta orang politik pula, sambil tidak menentang usaha perpaduan itu, masing-masing memerhati kiranya musuh akan untung dan mereka rugi akibat perpaduan itu. Itulah penghalang utama perpaduan atau kerjasama politik.

Atasi perpecahan

Ketiga, kecenderungan sangat kuat dalam kalangan semua peserta memohon bantuan Raja untuk mengatasi perpecahan orang Melayu dan menyatupadukan mereka semula. Resolusi multaqa itu sendiri merakam sentimen itu. Dalam hal ini, saya menulis satu rencana pendek, menghujahkan mengapa 'tidak salah' orang Melayu menghadap meminta Raja campur tangan. (Ia boleh dibaca di laman web saya).

Sepanjang sejarah hubungan orang Melayu dengan Raja Melayu, Raja 'payung negara,' tempat rakyat berlindung dan mengadu nasib, sambil memberi taat setia. Kedua, Perlembagaan Persekutuan mempertanggungjawabkan Yang di-Pertuan Agong sebagai pelindung hak keistimewaan orang Melayu (dan anak negeri Sabah dan Sarawak) dan ketua bagi agama Islam bagi negeri tanpa Raja. Maka, kecenderungan memohon Raja-Raja campur tangan dan menyelesaikan masalah itu hendaklah tertakluk dalam konteks Perlembagaan. Perlu ditekankan, perpecahan orang Melayu hanya perpecahan politik.

Saya kurang faham mengapa resolusi multaqa itu begitu menekankan isu perpecahan akidah. Adakah kerana menyertai parti politik berlainan, akidah orang Melayu berpecah? Saya tidak fikir begitu walaupun pada suatu masa PAS mengatakan akidah ahli UMNO telah terpesong. PAS pun tidak suka diingatkan hal itu lagi, sekarang. Saya juga kurang faham bagaimana faktor ekonomi, misalnya, menyebabkan perpecahan orang Melayu sekarang.

Pertahan Kerajaan Persekutuan

Kembali kepada isu asas, politik. Sebab itu pada pendapat saya pada multaqa itu, saya terus 'menembak' isu ini. Saya tidak kata kita patut pinggirkan PKR dan Parti Amanah Negara. Cuma, usaha kita akan jadi lebih sukar jika kita hendak bawa mereka bersama untuk bersatu atau bekerjasama. Sebagai langkah segera, khususnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita patut tumpu kepada UMNO dan PAS (parti politik) dan Perkasa (NGO).

Tujuan utama dan segera kita ialah untuk mempertahan Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang sebagai langkah menyelamatkan kedudukan orang Melayu (dan anak negeri Sabah, Sarawak) dan agama Islam. Untuk itu, jika UMNO, PAS dan Perkasa dapat disatukan atau bekerjasama (dengan sokongan parti anak-anak negeri Sabah dan Sarawak yang kedudukan mereka adalah sama dengan kedudukan orang Melayu) saya percaya matlamat kita akan tercapai.

Untuk itu, pandangan saya ialah, cadangan untuk menemui pemimpin, termasuk pemimpin PKR dan PAN eloklah diteruskan, tetapi tekanan diberi kepada UMNO dan PAS terlebih dulu, diikuti PERKASA.

Kepada pemimpin UMNO patut dimaklumkan:

Kita percaya hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam kekal berada dalam keadaan yang ia berada sekarang sejak Merdeka, hasil daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO.

Kemungkinan Kerajaan Persekutuan BN akan kalah pada PRU-14 adalah amat serius.

Untuk mempertahan kedudukan hak orang Melayu (dan anak negeri Sabah, Sarawak) dan agama Islam, Kerajaan Persekutuan diterajui oleh UMNO, tidak dapat tidak, hendaklah dipertahankannya. Kita sedang berusaha kuat untuk memastikan kerajaan itu tidak tumbang.

Untuk selamatkan Kerajaan Persekutuan BN, UMNO perlu kerjasama dengan PAS. Bentuknya bolehlah dibincang. Cara lebih mudah ialah pada PRU-14, UMNO dan PAS bertanding seperti biasa. (Jika boleh bersetuju tidak menentang satu sama lain, terutama sekali bagi kerusi Parlimen, lagi baik). Jika nampak Kerajaan Persekutuan BN akan tumbang, PAS segera sertai Kerajaan BN. (Jika hal sama dilakukan juga di peringkat negeri untuk gagalkan DAP, PKR dan Amanah menubuhkan kerajaan, lagi baik.)

Tarik perhatian PAS

Kepada pemimpin PAS, perlu ditarik perhatian bahawa (selain apa yang dimaklumkan kepada pemimpin UMNO seperti di atas):

Jika pembangkang berjaya tubuh Kerajaan Persekutuan selepas PRU-14, dan jika PAS bersama-sama mereka pun, parti yang dominan adalah DAP dan harapan PAS laksana hudud akan terkubur.

Di samping itu, hak dan kedudukan orang Melayu (dan anak negeri Sabah, Sarawak) serta agama Islam akan terhakis kerana orang bukan Melayu (terutama sekali orang Cina) sokong pembangkang kerana mereka mahu lebih daripada apa yang diperoleh melalui MCA dan GERAKAN. Dari mana 'yang lebih' itu akan datang jika tidak daripada orang Melayu/Islam? Harapan PAS laksana hudud (jika itulah matlamat PAS) akan terkubur.

Walaupun untuk tunjuk perbezaan PAS dengan UMNO, PAS terus kata mereka berjuang untuk Islam dan UMNO berjuang untuk bangsa (Melayu), hakikatnya tiada beza. Di Malaysia, Melayu dan Islam sinonim. Dulu PAS tuduh UMNO kafir, sekarang tidak lagi. Dulu Kelantan tidak benar qariahnya ambil bahagian dalam Tilawah al-Quran, sekarang boleh. Selama 40 tahun PAS memerintah Kelantan, apa beza Kelantan dengan negeri lain? Jika PAS lebih Islamik dan orang Kelantan lebih suka tinggal di 'negara Islam', mengapa orang Kelantan paling ramai berhijrah ke negeri lain cari makan?

Dengan bekerjasama dengan UMNO, PAS mempunyai peluang terbaik menyertai Kerajaan Persekutuan untuk mencapai lebih banyak cita-cita PAS.

Undang-undang acara jenayah dan syariah yang mula-mula dibuat untuk diguna pakai di Mahkamah Syariah Kelantan pada tahun 1981, dibuat kerajaan BN Kelantan. Undang-undang syariah lain digubal pada peringkat kebangsaan untuk dipakai oleh semua negeri. Kelantan ikut memakainya.

Kebanyakan pegawai di Jabatan Agama Persekutuan, institusi, ahli akademik, di universiti, terutama sekali berkaitan dengan syariah, adalah orang Kelantan. Dalam kata-kata lain Kerajaan Persekutuan bukanlah 'tak Islamik.'

Hudud bukan satu-satunya ukuran 'keislaman' sesebuah negara. Hudud hanya sejenis hukuman terhadap penjenayah. (Demikian juga qisas). Sebuah negara aman, tenteram dan makmur yang kerajaannya ambil berat tentang kesihatan, pelajaran, kesejahteraan rakyatnya serta melaksanakan berbagai rancangan untuk meningkatkan kedudukan agama Islam dan umat Islam, menjalankan pemerintahan dengan telus, demokratik dan adil tanpa melaksanakan hudud, saya percaya, adalah lebih 'Islamik' daripada sebuah negara yang laksana hudud dengan cara tidak adil dan kerajaannya zalim dan kuku besi, keadaannya tidak aman dan tenteram dan rakyatnya menderita. Biar apa pun, UMNO gandingan terbaik PAS dalam melaksanakan hudud jika PAS masih berhasrat demikian.

PAS boleh kekal sebagai PAS dan terus memerintah Kelantan jika pengundi Kelantan menghendaki demikian.

Selepas itu eloklah berbincang dengan Perkasa. Apa rancangan Perkasa sebenarnya? Apa Perkasa mahu? Adakah ia akan terus jadi 'pembangkang' tanpa haluan? Bukankah lebih baik Perkasa bekerjasama dengan UMNO dan PAS dalam hal ini? Perkasa tidak boleh harap mencapai hasrat (itu pun tidak jelas) secara bersendirian. Sebaliknya ia mungkin menyebabkan perpecahan orang Melayu lebih serius.

Pendekatan utamakan tiga kumpulan ini perlu dilakukan segera, malah perlu meterai sebelum PRU-14. Yang lain dalam resolusi itu boleh jadi pelan jangka panjang. Saya khuatir jika semuanya dilaksanakan serentak, tiada apa dicapai sebelum PRU-14. Pada masa itu, mungkin nasi telah jadi bubur.

Berita Harian X