Khamis, 31 March 2016 | 6:31am

Indeks Syariah Malaysia selari Perlembagaan

GAMBAR fail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Indek Syariah pada Majlis Perdana Ulama Umara 2015 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Februari lalu. Turut sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin (kanan). - Foto BERNAMA
GAMBAR fail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Indek Syariah pada Majlis Perdana Ulama Umara 2015 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Februari lalu. Turut sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin (kanan). - Foto BERNAMA

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan skor Indeks Syariah Malaysia (ISM) bagi 2015. Dengan skor 75.42 peratus itu, Perdana Menteri menganggap ia akan mendorong kerajaan melipatgandakan usaha mensejahterakan rakyat dan menambah baik kekurangan yang ada.

Selain itu, satu Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pelaksanaan ISM ditubuh bagi memastikan ISM yang julung kali diadakan itu mampu bergerak lebih efektif, berimpak tinggi dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Namun, di sebalik kejayaan memperkenalkan ISM itu, ada suara sinis menganggap pelaksanaan itu sebagai bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mengancam kebebasan penganut agama lain. Hujah mereka ialah, indeks berasaskan Islam akan memastikan semua pentadbiran kerajaan berasaskan Islam dan akan melarang semua perkara bertentangan dengan Islam. Menurut logik mereka, apabila semua yang 'tidak Islam' dilarang, maka kepercayaan dan amalan penganut agama lain akan terjejas.

Bagi menjawab kekeliruan ini, perlu ditegaskan prinsip Islam seperti keadilan, persaudaraan, persamaan hak, menjaga penghormatan manusia dan seumpamanya adalah prinsip dikongsikan seluruh manusia. Bahkan lima asas matlamat maqasid syariah, iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta, adalah keperluan universal yang menepati kehendak penganut Islam dan bukan Islam.

Jamin kebebasan beragama

Kedua, memang ada aspek bersifat peribadi khusus untuk penganut Islam yang mungkin tidak menepati kehendak bukan Islam. Aspek ini hanya dikuatkuasakan kepada orang Islam dan masyarakat bukan Islam tertakluk kepada peraturan mereka sendiri. Contohnya, perkara berkaitan dengan keluarga Islam, pendidikan Islam, pengharaman arak, ibadah dan lain-lain hanya khusus untuk penganut Islam.

Ketiga, dakwaan bahawa kepercayaan dan amalan penganut agama lain akan terjejas apabila ISM dijadikan panduan pentadbiran negara juga amat tersasar daripada kebenaran. Islam tidak benarkan paksaan dalam beragama. Oleh itu, jaminan kebebasan beragama untuk penganut bukan Islam sebenarnya sebahagian prinsip Islam. Bahkan tanggungjawab kerajaan melindungi kebebasan beragama, adalah perkara perlu dipenuhi dalam ISM.

Keempat, konsep 'menjaga agama' dalam maqasid syariah bukan sekadar bermaksud memartabatkan Islam, tetapi juga meliputi maksud menyokong kebebasan kepercayaan atau kebebasan keyakinan.

Ada juga yang cuba menggambarkan ISM bercanggah dengan agihan kuasa dalam Perlembagaan. Mereka mendakwa kononnya, melaksanakan ISM, satu bentuk tindakan mencampuri bidang kuasa Raja-Raja Melayu yang juga Ketua Agama Islam pada peringkat Persekutuan dan negeri.

Dakwaan ini tentu tersasar kerana kewujudan ISM adalah melalui proses pentadbiran yang dilaksanakan oleh urus setia berpusat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), agensi yang diperkenan penubuhannya oleh Majlis Raja-Raja sejak 1968 dengan nama asalnya iaitu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Islam rujukan pentadbiran

Bahkan jika dirujuk kepada peruntukan Perlembagaan, Kerajaan Malaysia seluruhnya wajar menjadikan Islam sebagai rujukan terpenting pentadbiran negara. Perkara 3 (1) jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Perkataan 'agama' dalam peruntukan ini perlu ditafsirkan sesuai dengan konsep dan ajaran Islam.

Islam adalah agama yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia, meliputi soal peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa. Agihan penilaian ISM yang meliputi lapan aspek iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, sosial, persekitaran dan sosial adalah sesuai dengan hakikat Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Oleh itu, ISM sebenarnya memperkukuh peranan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, bukan sebaliknya.

Ada juga yang mendakwa bahawa satu daripada maqasid syariah, iaitu 'menjaga keturunan' bermaksud menjaga bangsa atau kaum tertentu. Terjemahan atau tafsiran begini adalah tersasar. Konsep 'menjaga keturunan' atau dalam istilah Arab hifz al-nasal meliputi aspek penjagaan maruah, kehormatan dan institusi keluarga. Ia adalah rumusan beberapa prinsip dan hukum Islam berkaitan fikah kekeluargaan, hukuman ke atas penzina dan lain-lain. Konsep ini tiada kaitan dengan elemen perkauman. Bahkan Islam menentang fahaman perkauman dan menganggap semua kaum dan bangsa adalah sama dan setaraf. Perbezaan di sisi Allah hanyalah dari sudut ketakwaan.

Memandangkan ISM agenda baharu, penerangan jelas perlu disampaikan kepada rakyat. Buat masa ini banyak kekeliruan timbul sekitar konsep dan pelaksanaannya. Masyarakat Islam dan bukan Islam perlu didedahkan dengan indeks ini supaya proses untuk memajukan negara dan mensejahterakan rakyat berasaskan prinsip syariah dapat berjalan dengan lancar, menyeluruh dan berkesan.

Penulis ialah Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) di Pusat Kajian Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga seorang daripada penyelidik Indeks Syariah Malaysia 2015

Berita Harian X