Sabtu, 13 Februari 2016 | 6:05am

Pembangunan seimbang ambil kira kemajuan rakyat

PADA saat Kedah menerima Menteri Besar baharu, Johor terus melangkah ke hadapan apabila Menteri Besarnya, Datuk Mohamed Khaled Nordin mengemukakan gagasan Johor Berkemajuan sebagai hala tuju pembangunan negeri selatan tanah air itu.

Gagasan yang dizahirkan dalam Amanat Tahun 2016 baru-baru ini mencermin iltizam dan komitmen beliau dan kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju dengan acuan sendiri.

Pendekatan ini adalah tepat pada masanya kerana Johor yang berjiran dengan Singapura mengalami kerancakan pembangunan ekonomi. Keseimbangan antara kemakmuran material, kesejahteraan sosial dan kekuatan keperibadian bangsa amat penting ke arah pembangunan dan kemajuan Johor yang sebenar.

Negara atau negeri maju sering kali dikaitkan dengan pembangunan mega, kepesatan ekonomi dan rakyatnya yang berpendapatan tinggi. Malaysia turut tidak terlepas menyatakan hasrat untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Namun persoalan yang timbul, apakah kemajuan itu diukur hanya melalui pencapaian ekonomi semata-mata?

Pembangunan seimbang

Jika melihat negara yang berada dalam kelompok negara maju, mereka bukan sahaja berjaya membawa pembangunan fizikal, tetapi turut memiliki masyarakat yang berbudaya tinggi, berfikiran maju dan mengamalkan gaya hidup berkualiti. Keseimbangan pembangunan seperti inilah yang membawa kepada erti kemajuan sebenar bagi sesebuah negara. Bukan pencapaian ekonomi semata-mata.

Atas kesedaran inilah, Khaled mengemukakan gagasan Johor Berkemajuan yang mengambil kira usaha membentuk masyarakat yang berfikiran dan mempunyai sistem nilai yang maju. Bukan sekadar berpendapatan tinggi, tetapi bersusila dan berakal budi. Dalam hal ini, beliau mengusulkan betapa pentingnya satu anjakan sosial ke arah mewujudkan pemikiran, budaya dan sikap yang berkemajuan. Pemikiran, budaya dan sikap ini akan menjadi sandaran baharu dan mendarah daging dalam nilai pegangan, pemikiran dan sistem kehidupan masyarakat di Johor.

Tambah beliau, gagasan Johor Berkemajuan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha menjayakan keseimbangan dalam pembangunan bangsa dan tanah air. Kemajuan material perlu diseimbangkan dengan kemajuan berfikir, keperibadian unggul dan pegangan nilai. Jika tidak, kemajuan material itu akan susut nilai kerana ia tidak membawa sebarang makna kepada makna kebaikan, keadilan, kemakmuran dan peradaban bangsa.

Malaysia pada suatu masa dahulu pernah dijolok sebagai negara mempunyai infrastruktur negara kelas pertama tetapi minda negara kelas ketiga. Dalam erti kata lain, pembangunan masyarakat tidak seiring dengan pembangunan fizikal.

Pendekatan relevan

Justeru, pendekatan Johor mengemukakan dasar pembangunan berteraskan kemajuan masyarakat sebenarnya amat relevan dengan hasrat kita menjadi sebuah negara maju dalam erti kata sebenar.

Dalam membicarakan hal ini, saya tertarik dengan empat ciri kepada Johor Berkemajuan seperti yang dijelaskan oleh Khaled. Pertama; semangat, pemikiran, nilai, sikap dan orientasi yang sentiasa menjurus kepada masa depan, kedua; fokus kepada keadaan dan persekitaran yang lebih baik dalam kehidupan material dan sisi rohani bangsa, ketiga; budaya dan pemikiran progresif sebagai akar umbi dan menjadi gaya hidup Johor dan keempat; pemikiran maju yang mengambil kira sorotan lensa dan perspektif global.

Proses membangunkan masyarakat yang maju bukan suatu usaha mudah berlaku dan sekelip mata. Oleh kerana itu, empat ciri kepada Johor Berkemajuan ini perlu dirancang dengan sebaik mungkin.

Perancangan ini termasuk mengambil kira pembangunan masyarakat maju yang bersandarkan kepada penguasaan ilmu. Hanya melalui ilmu, masyarakat mempunyai 'senjata' untuk memajukan diri. Hanya dengan ilmu, kita boleh memiliki budaya dan pemikiran progresif untuk berhadapan dengan masa hadapan. Kini, kita bukan lagi hanya bercakap soal ilmu, tetapi kemahiran yang dapat melengkapkan keupayaan dan potensi masyarakat sebenar.

Peranan agama dan nilai murni juga amat penting diterapkan dalam pemikiran masyarakat moden. Faktor agama dan nilai murni tidak boleh dilihat sebagai hal yang kolot dan batu penghalang kepada kemajuan, tetapi tiang seri kepada pembangunan masyarakat. Percayalah, hanya pegangan kepada agama dan nilai murni, masyarakat akan dapat membina kekuatan sahsiah sekali gus benteng ampuh kepada kemajuannya.

Pembangunan negara datang dengan harga yang terlalu mahal. Ia boleh mengorbankan jati diri, nilai integriti dan amanah masyarakat jika ia tidak dipasakkan dengan kekuatan ilmu, agama dan nilai murni. Secara tuntasnya, gagasan Johor Berkemajuan adalah sebuah gagasan yang tepat. Kita tidak boleh lagi bercakap soal pembangunan negara tanpa memikirkan kemajuan masyarakatnya. Keseimbangan dalam kemajuan perlu menjadi keutamaan dan fokus kepada kerajaan demi pembangunan lestari.

Berita Harian X