Selasa, 15 Disember 2015 | 6:51am

Ikatan persaudaraan UMNO dituntut demi survival Melayu

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Najib Razak memberikan nafas lega dan mencungkil rasa terharu dalam kalangan perwakilan dan rakyat keseluruhan, apabila memilih untuk berjiwa besar dan terbuka hati untuk kembali mengukuhkan ikatan ukhwah antara ahli UMNO.

Ketika membuat ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO kelmarin, Najib dengan tegas mengatakan, jika ada pihak masih menolak keterbukaan yang diberikan, beliau menasihatkan supaya pihak berkenaan lebih berhati-hati kerana penolakan yang dilakukan itu.

Ia tidak hanya berkenaan dirinya secara peribadi, namun sebenarnya pihak terbabit menolak titik perdamaian demi parti yang tercinta. Ini sejajar dengan semangat dan roh perjuangan yang mementingkan parti dan organisasi demi kelangsungan dan survival Melayu. Walaupun UMNO diasak dengan pelbagai tohmahan dan juga dugaan dari dalam dan luar parti, UMNO dilihat terus menunjukkan kematangan dengan membuat keputusan secara berhemah.

Tidak melatah dengan tindakan melulu, UMNO diamati lebih mementingkan parti berbanding individu. Sesuai dengan pandangan bahawa pemimpin, datang dan pergi. Namun, keutuhan rumah UMNO sebenarnya dibina dengan kekuatan dan keutuhan ahli dan warganya yang dianggap sebagai pasak utama.

Ikrar pertahan UMNO

Obor semangat kental terzahir apabila Najib berikrar akan mempertahankan UMNO secara bermati-matian dan menegaskan, There will be no surrender! UMNO akan tetap mempertahankan setiap prinsip dan pegangan yang diamalkan selama ini, berdasarkan pegangan UMNO sebagai parti bangsa Melayu dan UMNO selaku parti yang menjunjung tinggi syiar Islam.

Walaupun keganasan persepsi dimainkan oleh pihak yang mahukan UMNO terus terpalit dengan pelbagai isu, namun usaha ini tidak melemaskan semangat juang ahli UMNO. Begitu juga agenda yang dikhususkan untuk memburuk-buruk dan memperlekehkan pemimpin dan parti UMNO sebenarnya mematangkan ahli-ahli UMNO.

Namun ombak fitnah, atau war perception yang timbul tidak akan mempengaruhi mana-mana pihak, termasuk ahli UMNO khasnya sekiranya semua pihak berpegang teguh dengan landasan Islam.

UMNO adalah sebuah institusi politik bagi bangsa Melayu yang berjuang atas landasan memperjuangkan nasib dan masa depan Melayu. Hanya melalui kesetiaan dan kepatuhan kepada pemimpin dan kepemimpinan, maka UMNO mampu untuk terus bertahan. Namun jika warga UMNO sendiri yang 'gusar' dengan kepemimpinan, maka jika tiada kesetiaan yang diberikan, UMNO juga boleh rebah.

Jika sebelum ini perhimpunan agung UMNO lebih banyak menyentuh mengenai hal-hal berkaitan Akta Hasutan, namun persidangan kali ini lebih tertumpu kepada isu berkaitan ekonomi rakyat dan perumahan, serta turut menyentuh mengenai masalah dalaman UMNO.

Memandangkan agenda Melayu menjadi agenda nasional, maka agenda UMNO merupakan titik tolak kepada dasar dan rancangan yang akan dilaksanakan kerajaan. Masalah ekonomi rakyat yang melanda Malaysia sekarang wujud akibat faktor luaran dan dalaman, merangkumi harga minyak, kemerosotan ekonomi China dan dunia. Namun, kita harus bersyukur kerana ekonomi Malaysia dijangka berkembang sehingga lima peratus pada tahun ini dan antara tertinggi di dunia.

Tangani kenaikan kos sara hidup

Bagi membantu rakyat menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kerajaan sememangnya telah mengambil inisiatif yang dirasakan wajar dengan memberikan kenaikan gaji minimum yang merangkumi sektor kerajaan dan swasta.

Najib juga telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga telah diarahkan untuk sentiasa mengawal selia harga barang dari semasa ke semasa. Dan, bagi menjamin ekonomi Bumiputera, kerajaan mengisytiharkan 'Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Sebagai Agenda Nasional'.

Agenda UMNO juga perlu memperhalusi agenda sebagai sebuah negara maju dengan menumpukan kepada, 'Beyond 2020' akan mula dibincangkan pada tahun depan bagi tujuan mendapatkan gambaran lebih jelas hala tuju UMNO, dan Malaysia khasnya.

Hakikatnya, untuk UMNO terus berdaya saing dengan parti lain, maka pendekatan pemasaran politik perlulah dilaksanakan sepenuhnya. Selain UMNO menghasilkan produknya, perlu diambil kira pendekatan positioning yang menyerap kepada ahli dan pengundi.

UMNO akan terus relevan jika dapat memenuhi kehendak dan keperluan rakyat khususnya pengundi. Persidangan kali ini menjadi titik tolak kepada usaha mengorak langkah ke arah memenangi hati rakyat terutama menjelang pilihan raya akan datang. Namun, resipi utama adalah ikatan ukhwah, ketaatan dan kepatuhan kepada peraturan serta disiplin dalam kalangan ahli UMNO itu sendiri.

Berita Harian X