Selasa, 6 Oktober 2015 | 8:22am

Ikhlas kunci pengorbanan hidup berumah tangga

KITA masih lagi dalam bulan Zulhijah dan musim melakukan korban pun baru sahaja berlalu. Jemaah haji di Tanah Suci mula pulang ke tanah air setiap hari selepas selesai menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D'Zahrah yang bersiaran di radio IKIMfm jam 10.15 pagi, setiap Isnin menyentuh mengenai pengertian pengorbanan.

Kalau diperhatikan, ibadah korban walaupun ia dilakukan demi mencari keredaan Allah SWT, namun manfaat dagingnya ialah untuk diagihkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukannya.

Firman Allah SWT, mafhumnya "Tidak sampai kepada Allah Ta'ala akan darah dan daging (korban), tetapi yang sampai kepada Allah ialah ketakwaan kamu" (Surah al-Hajj ayat 37).

Hidup perlukan pengorbanan

Ibadah haji dan korban melatih kita untuk berkorban dalam hidup ini. Hidup ini memerlukan pengorbanan. Kalau diperhatikan bagaimana Nabi Ibrahim yang tidak memiliki anak sehingga dikatakan berusia 89 tahun, lalu dikurniakan anak iaitu Ismail dan Ishak, tiba-tiba diarahkan untuk meninggalkan Ismail dan Hajar di padang pasir Makkah yang kering kontang.

Kita perlu memahami keadaan Makkah ketika Nabi Ibrahim diarahkan meninggalkan anak dan isterinya itu bukan seperti Tanah Suci ini hari ini yang penuh dengan manusia dari seluruh dunia dan kemudahan yang lengkap. Padang pasir yang luas ketika itu, kering kontang, tiada apa-apa dan tidak berpenghuni. Maka, ke sana ke marilah Saidatina Hajar mencari-cari air untuk diberikan kepada anaknya Ismail, sehingga terbitnya air zam zam yang terus menerus mengalir hingga ke hari ini.

Selepas Ismail meningkat remaja,

Allah menguji lagi Nabi Ibrahim dengan memerintahkan pula untuk menyembelih anak kesayangannya itu.

Namun seperti kita semua sedia maklum, Allah tukarkan dan ganti dengan seekor kibas. Inilah rentetan pengorbanan Nabi Ibrahim dalam kehidupan

Baginda dan pastinya pengorbanan Baginda itu tidak akan sia-sia di sisi Allah SWT.

Hingga hari ini apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim diikuti oleh kita semua dan seluruh umat Islam hingga Hari Kiamat. Terlalu banyak hikmah di sebalik peristiwa yang berlaku daripada pengorbanan Nabi Ibrahim seperti yang kita semua dapat hayati dalam kehidupan hari ini. Ada manfaatnya itu dapat kita rasakan di dunia lagi dan ada juga yang akan kita ketahui di akhirat kelak.

Kedua, dalam kita melakukan pengorbanan, kita hendaklah ikhlas melakukannya hanya kerana Allah SWT semata-mata bukan kerana yang lain. Apabila kita lakukan kerana Allah, Allah memberi kita kekuatan melaksanakannya.

Nabi Ibrahim kuat ketika meninggalkan anak dan isteri kesayangannya, Siti Hajar juga kuat ketika mendengar mereka diperintahkan oleh Allah untuk ditinggalkan di padang pasir dengan memujuk suaminya bahawa Allah tidak akan mensia-siakan mereka.

Nabi Ismail juga kuat apabila mendapat tahu Allah memerintahkan ayahnya untuk menyembelihnya dengan berkata: "Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar". (Surah ash-Shaaffaat, 102).

Ini semua dapat dilakukan kerana keikhlasan yang tinggi mereka dalam mencari keredaan Allah SWT.

Keikhlasan dalam berumah tangga

Begitu juga dalam kehidupan seharian kita, kita kena ikhlas dalam setiap perkara. Dalam berumah tangga kita kena ikhlas. Dalam berhadapan dengan kerenah suami, isteri dan anak juga kita perlu ikhlas dan menganggap inilah pengorbanan dalam kehidupan kita, ujian yang Allah turunkan untuk melihat sejauh mana ketaatan kita kepada Allah SWT.

Dengan adanya perasaan sebegini maka kita akan mampu mengawal diri agar tidak mudah berasa kecewa dan marah.

Ketiga, apa yang boleh kita ambil iktibar ialah hidup ini penuh dengan ujian yang menuntut pengorbanan. Orang yang baik dan salih Allah SWT akan sentiasa uji dengan pelbagai ujian agar dengan itu akan menaikkan lagi darjatnya.

Namun, dia tidak perlu gusar kerana ujian tersebut hanya sementara sifatnya, dan selepas itu Allah SWT akan memberikan kesenangan pula kepadanya seperti firman Allah SWT mafhumnya: "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Maka apabila kamu sudah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain." (Surah al-Insyirah, ayat 6 hingga 7).

Orang yang mampu bersabar dalam menghadapi ujian hidup, nescaya Allah SWT akan menambah rezeki melimpah ruah baginya dan memberkati rezeki yang dia berikan itu.

Hidup ini ialah suatu pengorbanan dan ujian dan beruntunglah bagi mereka yang tidak mengeluh apabila berhadapan dengan ujian ini dan reda dengan apa yang dianugerahkan Allah SWT sama ada baik atau sebaliknya.

Berita Harian X