Selasa, 28 April 2015 | 7:50am

Berganding bahu mengantarabangsa sastera Melayu

Keputusan Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 sudah diumumkan minggu lalu. Dalam kategori puisi, kejutan sekali lagi berlaku, apabila penyair muda, Muhammad Lutfi Ishak muncul juara. Ia menewaskan beberapa penyair yang lebih lama berkecimpung dalam genre ini.

Dalam sayembara siri pertama dahulu, kategori puisi juga mencipta kejutan apabila penyair muda, Mohd Ridzuan Harun muncul juara dengan kumpulannya Negeri Kunang-Kunang. Beliau menewaskan beberapa penyair yang lebih senior.

Kali ini, dengan kumpulan puisi Dondang Pembukaan penyair Muhammad Lutfi Ishak sudah memasuki jalan pembukaan ke arena puisi selanjutnya.

Kepentingan sayembara selalu dilihat dari kedua-dua belah pihak, iaitu penganjur dan peserta. Bagi penganjur, sayembara adalah kaedah untuk mendapatkan manuskrip bermutu dalam tempoh yang ditentukan. Pendapat ini timbul kerana dalam sayembara yang kuat akan menang dan yang lemah akan tewas.

Penganjur mengharapkan penyertaan manuskrip yang kuat. Setiap peserta masuk sayembara kerana ingin menang. Sayembara adalah gelanggang yang boleh mengenal pasti dengan cepat siapa yang bakal dijulang dan siapa yang kecundang.

Penganjur menerbitkan karya yang menang atas pelbagai tujuan murni. Dalam konteks industri buku di negara kita, penerbitan ini boleh menambah jumlah buku baharu di pasaran. Penerbitan buku judul baharu di Malaysia masih belum mencapai sasaran 28,000 judul setahun.

Mencerdikkan akal bangsa

Akan tetapi kepentingan penerbitannya bukanlah bersifat luaran dan angka sahaja. Kualiti buku yang menang diharap dapat menyumbang ke arah mencerdikkan akal bangsa. Dalam konteks karya sastera, karya yang baik menawarkan pengalaman seni atau estetik yang tinggi, menambah pengetahuan pembaca dan seterusnya membijaksanakan khalayak. Justeru, sastera selalu dianggap sebagai antara penyumbang penting sesuatu ketamadunan.

Bagi penulis pula, mereka mempunyai beberapa sebab untuk menyertai sayembara. Pertama, untuk dapat mengetahui dalam tempoh masa yang relatif singkat akan mutu penulisannya. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja mereka akan tahu sama ada menang atau kecundang. Jika menang, mereka tahu bahawa karya mereka bermutu. Begitu pula sebaliknya.

Kedua, untuk mendapat semacam pengiktirafan atas bakat yang mereka miliki. Ketika persaingan dalam dunia penulisan kreatif kita agak sengit, adalah wajar menyerahkan kepada 'panel penilai' untuk mengenal pasti mana karya yang dianggap lebih baik. Dengan cara itu pengiktirafan sudah dilakukan dan disahkan.

Bagi penulis, sayembara juga boleh mempercepat proses penerbitan karya. Jika karya dihantar kepada penerbit menerusi kaedah yang biasa, masa yang lebih lama mungkin diperlukan bagi menerbitkannya. Sebaliknya melalui sayembara karya yang menang boleh diterbitkan dalam tempoh yang lebih cepat.

Namun, yang tidak kurang penting bagi penulis, malah mungkin tujuan yang paling utama menyertai sayembara ialah mengemukakan karya yang paling hebat.

Menerusi karya garapan, mereka menyusun strategi kreatif agar karya terbabit berkesan dari aspek estetik dan pengalaman intelektual. Mereka mencipta stail serta pendekatan yang tersendiri. Mereka ingin karya mereka menjadi antara satu puncak dalam perkembangan kesusasteraan.

Karya perlu disebar meluas

Inilah latar belakang yang mewarnai Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 baru-baru ini. Sederetan karya yang baik sudah dapat dikenal pasti dan diterbitkan. Dalam kategori puisi, selain Dondang Pembukaan karya Muhammad Lutfi Ishak, Matahari Itu Jauh oleh Rosli K Matari, dan Dongeng Perkebunan oleh Jasni Matlani mendapat pengiktirafan.

Karya sastera kita yang baik, seperti harapan Timbalan Perdana Menteri ketika menyampaikan hadiah sayembara terbabit, haruslah disebarkan dengan meluas untuk bacaan masyarakat. Karya sastera kita juga, ujarnya lagi, harus dijadikan bahan kajian peringkat antarabangsa. Ertinya, karya sastera kita harus menjadi warga sastera dunia yang penting.

Harapan Timbalan Perdana Menteri itu menjadi tanggungjawab pelbagai pihak untuk menggalasnya. ITBM memperlihatkan kemampuannya dalam bidang penerbitan dan penterjemahan. Akan tetapi agensi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, pihak swasta, persatuan penulis dan Kementerian Luar juga wajar berganding bahu untuk mengantarabangsakan sastera kita.

Berita Harian X