Sabtu, 21 Februari 2015 | 8:59am

Status sifar GST semua buku galak budaya membaca

Sebagai pensyarah, penulis dan orang yang suka membeli buku, saya sedikit risau dengan langkah kerajaan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk buku.

Dengan kecenderungan membeli begitu banyak buku dalam setahun, jika GST dikenakan terhadap buku, sudah pasti ini akan menyebabkan saya memperuntukkan lebih banyak wang untuk tujuan tersebut.

Maksudnya, saya perlu berbelanja lebih menjelang 1 April nanti sedangkan saya perlukan wang itu untuk membeli lebih banyak buku sebagai penulis dan pensyarah. Semua itu adalah untuk kebaikan pelajar dan pembaca juga akhirnya.

Bagi rakyat, kenaikan harga buku disebabkan cukai GST akan menyebabkan mereka semakin tidak berminat membeli buku. Satu daripada sebab rakyat tidak minat membaca dan membeli buku adalah kerana harga buku yang mahal. Berbanding buku di Indonesia, misalnya harga buku di negara kita adalah relatif mahal.

Kecualikan GST terhadap buku

Kerajaan patut mengecualikan GST terhadap semua buku dan tidak mengehadkan hanya kepada buku tertentu. Sesiapa yang mengunjungi kedai buku di negara ini sebagai amalan, tentu sedar bahawa buku dalam bahasa Inggeris, terutama buku rujukan begitu mahal. Dengan wang saku, biasiswa dan pinjaman yang tidak seberapa, sudah tentu cukai itu akan menyebabkan kocek pelajar universiti semakin nipis. Status sifar GST untuk buku akan memberi harga terbaik, dan ini tentu akan membantu pembeli dan pembaca buku.

Buku akademik yang dijual pada harga yang tinggi di pasaran apabila ditambah dengan GST, pasti menyebabkan harga buku melonjak sehingga menjejaskan perbelanjaan pelajar. Adakah kerajaan akan menambah nilai baucar buku sesudah GST dikenakan nanti?

Baucar yang diberikan kerajaan kini, jika digunakan untuk membeli buku rujukan dalam bahasa Inggeris, terutama bagi kursus sains tulen hanya cukup untuk membeli dua atau tiga buah buku sahaja. Pelajar kolej dan universiti memerlukan banyak buku rujukan dan untuk bergantung hanya kepada buku di perpustakaan adalah tidak munasabah kerana jumlah naskhah sesuatu judul adalah terhad.

Pelajar pasti paling terjejas jika GST dikuatkuasakan terhadap pembelian buku. GST terhadap buku akan membebankan mereka, termasuk ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membiayai pembelian buku. Sepatutnya semua jenis buku dikecualikan daripada GST kerana ia pasti lebih membebankan golongan pelajar yang memerlukan perbelanjaan besar untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Tanpa menafikan bahawa kebanyakan negara utama dari segi ekonomi, hanya dua daripada 18 negara terbabit tidak mengenakan cukai GST untuk buku, hakikat bahawa cukai tersebut akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan pelajar, adalah tidak dinafikan. Dengan kadar GST di negara terbabit antara lima peratus hingga 25 peratus, kadar GST untuk buku juga berbeza. Denmark, New Zealand, Australia dan Austria adalah antara negara yang mengenakan cukai GST dan cukai buku yang tinggi, manakala United Kingdom dan Norway mengenakan cukai GST sifar.

Enam daripada negara terbabit mengenakan cukai penuh GST untuk buku, tetapi 10 buah mengenakan cukai regresif. Amerika Syarikat tidak mempunyai cukai jualan atau VAT/GST, namun semua kecuali lima daripada 50 negeri, mengenakan cukai jualan, dan kebanyakan tidak mengecualikan cukai untuk buku.

Galakkan budaya membaca

Bagi rakyat, cukai berkenaan membebankan ketika kita berusaha menggalakkan mereka mengamalkan budaya membaca. Bagi menggalakkan minat membaca, kita bukan hanya perlu menerbitkan buku dalam pelbagai bidang yang memenuhi cita rasa pembaca, tetapi juga menjualnya dengan harga yang munasabah dan mampu dibeli kebanyakan rakyat.

Kemajuan negara ditentukan oleh rakyat yang berilmu dan mahir dalam pelbagai bidang; dan buku adalah satu daripada sumber ilmu terpenting. Justeru, ada gesaan terhadap kerajaan agar mengenakan kadar GST sifar ke atas semua buku dan tidak sekadar mengehadkannya kepada buku teks, buku latihan, ensiklopedia, buku agama, kamus dan buku kanak-kanak sahaja.

Kadar cukai enam peratus akan dikenakan bagi semua buku jenis lain, mengikuti amalan sesetengah negara luar. Jika kita menggunakan kaedah kadar GST sifar terpilih, ini tentu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Kerajaan perlu mengkategorikan semua jenis buku tanpa mengira genre, sebagai barangan tanpa cukai GST. Kita perlu memastikan harga buku adalah dalam kemampuan rakyat supaya rakyat terus membaca buku untuk membantu kita memacu pembangunan negara.

Berita Harian X