Ahad, 25 Januari 2015 | 6:27am

Etnik di Sabah, Sarawak terima baik status Bumiputera

Baru-baru ini saya diminta untuk mengisi borang tuntutan sesudah menyampaikan ceramah kepada sebuah jabatan kerajaan. Dalam borang itu ada pelbagai butir yang perlu saya isi, termasuk agama dan kaum. Saya tertanya-tanya, apa relevannya butiran itu untuk borang tuntutan? Tetapi, kita kelihatannya telah terlalu obses dengan amalan sedemikian untuk sekian lama meskipun ada ketikanya ruangan atau butir berkenaan tidak relevan langsung.

Baru-baru ini, kerajaan persekutuan memutuskan untuk mengklasifikasi status Bumiputera di Sarawak meliputi tiga kaum majoriti utama - Iban, Bidayuh dan Orang Ulu - dalam borang kerajaan berkuat kuasa serta-merta sebagai memenuhi permintaan kerajaan Sarawak, sekali gus menghapuskan ruangan 'lain-lain.' Langkah itu diterima baik oleh semua pihak sebagai pengiktirafan bahawa Malaysia ialah negara pelbagai kaum yang unik. Malaysia terdiri daripada lebih 80 etnik. Sabah mempunyai 32 kaum seperti Kadazandusun, Murut, Bajau dan Rungus. Di Sarawak terdapat 28 etnik, dengan etnik terbesar ialah Iban, sebanyak 30 peratus, diikuti Cina 24 peratus, Melayu 23 peratus, Bidayuh 8 peratus, Melanau 6 peratus dan Orang Ulu 5 peratus. Bagi mereka di luar Sarawak, istilah Dayak dan Orang Ulu sukar difahami. Sebenarnya, Dayak dengan jumlah 1.25 juta daripada 2.6 juta penduduk Sarawak terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, manakala Orang Ulu pula satu kategori besar yang merujuk kepada lebih 20 etnik minoriti lain seperti Kenyah, Kayan, Kelabit, Lahanan, Kejaman, dan Ukit. Adakah Sabah akan mengikuti Sarawak, bukan sahaja dengan menghapuskan 'lain-lain' tetapi juga kategori Bumiputera Islam dan bukan Islam yang dipersepsi ada agenda politik?

Perlu perbetul keadaan

Perjuangan untuk membetulkan keadaan sudah berlaku sekian lama dan tindakan terbaharu kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan keprihatinan dan sensitiviti beliau terhadap aspirasi dan sentimen penduduk di kedua-dua negeri terbabit. Mengapakah kaum terbabit mahu perkara ini diperbetulkan? Dengan mengkategorikan mereka sebagai 'lain-lain,' seolah-olah mereka ialah rakyat asing, tidak penting, pinggiran dan rakyat kelas dua.

Dalam satu acara di Kapit baru-baru ini, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menjelaskan, masyarakat Sarawak mempunyai identiti dan budaya mereka sendiri serta tidak harus dilihat sebagai 'lain-lain' di negara ini. "Kita bukan 'lain-lain,' tetapi kita ialah orang, manusia. Kita ialah anak Sarawak berbilang kaum, mempunyai budaya dan warisan masing-masing. Sekarang kita boleh menulis Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh, Bumiputera Melanau dan Bumiputera Orang Ulu dalam ruangan kaum itu. Tiada lagi istilah 'lain-lain' dalam mana-mana borang kerajaan untuk menentukan sesuatu bangsa Bumiputera selain Melayu, Cina dan India di negeri ini," kata beliau. Menurutnya, 'lain-lain' bukan menggambarkan kaum dan tidak sesuai digunakan di Sarawak.

Batal ruangan 'lain-lain'

Kerajaan Persekutuan perlu memberi pengiktirafan sewajarnya terhadap penduduk di Sabah dan Sarawak dengan tidak menganggap mereka sebagai 'lain-lain' dalam hal yang berkaitan dengan kategori kaum, terutama membabitkan borang rasmi. Perincian terhadap etnik di Sabah dan Sarawak perlu dinyatakan dengan jelas bagi memudahkan pengenalan kerana setiap etnik bangga dengan jati diri masing-masing.

Tidak adil bagi rakyat Bumiputera di negeri terbabit dikategorikan sebagai "lain-lain" dalam borang kerana mereka rakyat Malaysia. Dengan mengkategorikan sedemikian seolah-olah mereka tidak mempunyai taraf yang sama seperti kaum lain di negara ini.

Tindakan terbaharu kerajaan membayangkan kesediaannya untuk mendengar suara rakyat, dan lebih penting, melaksanakannya, selaras dengan gagasan 1Malaysia. Konsep keterangkuman perlu direalisasikan, bukan sekadar sebagai slogan. Langkah ini sudah pasti akan menyebabkan kaum terbabit berasa mereka benar-benar diterima sebagai rakyat Malaysia.

Kebanyakan borang pentadbiran kerajaan sekarang hanya meletakkan kategori etnik Melayu, Cina dan India, manakala etnik lain di Sabah dan Sarawak dikategorikan sebagai lain-lain. Mungkin masyarakat dominan tidak terasa, tetapi bagi kaum terbabit, mereka bagai dilayan kelas dua. Seorang profesor Iban di sebuah universiti enggan mengisi borang soal selidik apabila mendapati bahawa kaum Iban dikategorikan di bawah 'lain-lain'.

Sudah tiba masanya kaum-kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai satu daripada rumpun bangsa utama di Malaysia. Langkah terbaharu kerajaan begitu signifikan dan bererti, dan menuju ke arah yang betul dalam pembentukan sebuah negara bangsa.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X