Ahad, 2 November 2014 | 8:15am

Potensi WIEF tarik minat negara bukan Islam

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri 'Annoucement of Syndacated Islamic Facilities for Battersea Phase 3 Holding Company Limited Organised by Maybank Islamic' pada Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-10. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri 'Annoucement of Syndacated Islamic Facilities for Battersea Phase 3 Holding Company Limited Organised by Maybank Islamic' pada Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-10. - Foto BERNAMA

Inisiatif Malaysia menganjurkan ForumEkonomi Islam Dunia (WIEF) sejak 10 tahun lalu ternyata membuahkan hasil apabila forum tahunan itu kini bukan saja menjadi medan penting menghubungkan aktiviti perniagaan dan perdagangan sesama negara Islam, malah turut merangkumi negara bukan Islam.

Menyedari potensi besar ditawarkan oleh pasaran negara Islam yang mencecah 1.8 bilion orang, khususnya dalam industri produk halal dan kewangan Islam, kini semakin banyak peserta bukan Islam menyertai forum ini. Pada masa yang sama banyak negara Islam turut berminat menganjurkan WIEF, selepas London (Britain) muncul sebagai negara bukan Islam pertama menganjurkannya pada tahun lalu.

Kelas baharu aktiviti ekonomi dunia

Dengan gabungan nilai sebanyak AS$7 trilion (RM22.4 trilion), industri produk halal dan kewangan Islam kini muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia. Perkembangan pesat kedua-dua industri berkenaan telah mewujudkan kelas baharu aktiviti ekonomi dunia dan ia sejajar dengan kematangan ekonomi Islam global. Tidak hairanlah bilangan penyertaan forum anjuran Yayasan WIEF ini terus meningkat pada setiap kali penganjurannya, bermula dengan 400 orang ketika kali pertama dianjurkan di Kuala Lumpur pada tahun 2006 dan meningkat kepada 2,000 pada tahun lalu.

Penganjuran kali ke-10 di Dubai pada tahun ini merekodkan penyertaan terbesar apabila menarik penyertaan 2,792 peserta termasuk 518 dari Malaysia, dengan 29 topik utama dibincangkan. Ia turut dihadiri sembilan ketua negara dan pemimpin termasuk Naib Presiden, Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Kazakhstan, Nursultan Abishuly Nazarbayev.

Forum ini terbukti berjaya menjadi gelanggang penting menghubungkan antara sesama negara Islam dan antara negara bukan Islam. Seperti kata Najib, sebagai pengasas WIEF sejak 10 tahun lalu, Malaysia juga sedang mencari kaedah bagi menjadikan forum tahunan itu lebih berkesan, antaranya mewujudkan pasukan khas bagi menangani isu yang dibangkitkan.

Ia termasuk cadangan pembangunan wakaf yang boleh diperhalusi oleh pasukan khas supaya segala hasil cadangan berkenaan dapat dibentangkan pada forum WIEF seterusnya. WIEF bukan sahaja memperkukuhkan hubungan bisnes dan ekonomi negara Islam, tetapi sebagai jambatan kepada negara bukan Islam.

WIEF juga akan dijadikan platform berkesan untuk Malaysia memainkan peranan sebagai pemimpin negara Islam di pentas antarabangsa dalam pelbagai isu berbangkit, termasuk pendidikan dan peranan wanita. Melalui forum ini, Malaysia boleh menunjukkan kepemimpinannya dalam aspek tertentu sebagai pemikir global. "Semua mengakui Malaysia adalah pelopor dan pemimpin global dalam bidang perbankan Islam.

Ramai minta kita membantu mereka termasuk dari segi latihan. Kita akan berikan peluang dan sesi khusus kepada negera kecil yang agak tenggelam apabila berada di forum antarabangsa seperti Forum Ekonomi Davos," kata Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF. Peningkatan perhatian dan minat masyarakat dunia terhadap WIEF turut diakui Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam yang menyatakan semakin banyak komuniti perniagaan bukan Islam di seluruh dunia berminat menyertai WIEF berikutan pelbagai peluang perniagaan yang diwujudkan sepanjang penganjurannya sejak tahun 2006.

'Jambatan' komuniti perniagaan

Katanya, minat sama juga ditunjukkan oleh banyak negara bukan Islam untuk menganjurkan forum berasakan ekonomi itu, selepas London (Britain) termasuk Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan Malta. "Sepanjang 10 tahun penganjurannya, WIEF ternyata terbukti berfungsi sebagai 'jambatan' menghubungkan komuniti perniagaan dari seluruh dunia, termasuk dalam kalangan ahli perniagaan bukan Islam.

"Jambatan yang diwujudkan sepanjang penganjuran WIEF ini kemudian diterjemahkan ke dalam bentuk perniagaan dan pelaburan sebenar di antara pihak yang terbabit. Jadi, ini adalah antara kejayaan yang dicapai sepanjang penganjuran WIEF sehingga kini dan ia (kejayaan) tidak boleh diukur dalam bentuk kewangan," katanya.

Kewujudan WIEF semakin mendapat perhatian dan perkembangannya diikuti rapat oleh banyak negara termasuk bukan Islam. Ia berikutan keupayaannya menjadi medan mempertemu komuniti perdagangan dari seluruh dunia, termasuk negara kecil yang tidak berpeluang atau langsung tidak dijemput menyertai forum ekonomi global lain, khususnya Forum Ekonomi Davos.

Selain itu, ketidakupayaan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memainkan peranannya dalam memperkukuh dan memperluaskan rantaian perniagaan serta perdagangan dalam kalangan negara Islam, menjadikan WIEF dilihat lebih relevan untuk memainkan peranan itu.

Berita Harian X