Jumaat, 19 September 2014 | 10:06am

Peranti moden 'toksik' hapus budaya membaca

JIKA kita ingin membina sebuah masyarakat maju yang sarat nilai positif, kita wajar belajar daripada kesilapan masyarakat Barat.

Masyarakat Barat lebih dahulu maju daripada kita, terutama sejak kira-kira 400 tahun lalu. Oleh itu, mereka sudah menempuh pelbagai pancaroba dan menjadi saksi kepada pelbagai kelemahan, di samping kejayaan.

Belajar daripada kesilapan orang lain adalah lebih baik berbanding kita melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi kesilapan yang sama. Banyak kesilapan masyarakat Barat dapat kita lihat. Antaranya termasuklah sekularisme yang membelakangkan agama, kebebasan bersosial dan sebagainya.

Tulisan ini memberi fokus kepada aspek negatif yang sedang melanda generasi muda di Barat, khususnya di United Kingdom (UK), akibat kemajuan teknologi peranti moden. 'Toksik' berkenaan dikesan apabila kira-kira satu perempat atau 25 peratus generasi muda di UK didapati mula menjauhkan diri daripada membaca buku. Tidak mustahil peratusan ini akan terus meningkat.

Generasi muda di negara maju, termasuk di negara sedang membangun, mula dibiasakan dengan hidup yang didampingi peranti moden. Terdapat pelbagai peranti moden yang sudah mengubah gaya hidup manusia. Bagaimanapun, sepuluh yang dianggap paling berpengaruh ialah peralatan permainan komputer, iPod, webcam, GPS, tablet seperti iPad, Bluetooth, kamera digital, stesen TV berbayar, TV digital 3D dan yang paling utama telefon bimbit yang kini mempunyai pelbagai fungsi.

Kandungan yang ditawarkan oleh peranti moden itu menyebabkan penggunanya boleh mendapatkan pelbagai maklumat serta keperluan, daripada data sampailah kepada hiburan. Sebahagian mereka yang keliru bahawa data adalah ilmu, mungkin menganggap 'ilmu' yang ada dalam peranti moden membolehkan mereka melupakan buku.

Kurang gemar membaca buku

Akibatnya, kini satu perempat generasi muda di UK mula menjarakkan diri daripada membaca buku. Golongan ini bergantung sepenuhnya kepada informasi serta kandungan yang ada dalam peranti moden, umpamanya sumber internet. Sikap demikian seolah-olah menolak kepentingan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan. Gejala ini sudah disedari oleh pakar pendidikannya.

Daya saing masa depan setiap negara bergantung kepada generasi muda yang kukuh ilmu pengetahuannya. Sebab itu, pakar pendidikan di UK membimbangi gejala generasi muda yang kurang gemar membaca buku. Lebih-lebih lagi kini kandungan peranti moden belum dapat memindahkan semua ilmu yang selama ini diterbitkan dalam bentuk buku. Di samping itu, kandungan dalam peranti moden seperti internet, ada yang tidak boleh dipertanggungjawabkan kesahihannya.

Untuk mengatasi gejala ini, pakar pendidikan di UK mencadangkan agar setiap kanak-kanak harus dibiasakan membaca buku cerita, sekurang-kurangnya 10 minit sehari. Buku cerita biasanya memang disenangi oleh kanak-kanak. Kebiasaan membaca buku cerita 10 minit sehari, diharapkan akan menyuburkan minat membaca mereka yang akan berterusan sepanjang hayat.

Generasi muda kita juga sebenarnya sedang menghadapi gejala yang sama. Budaya membaca dalam masyarakat kita belum kukuh, lalu dipengaruhi pula oleh fenomena penggunaan peranti moden yang meluas. Dalam hal ini kita wajar berasa bimbang, seperti juga Barat bimbang akan kelemahan daya saing masa depan, jika hanya diserahkan kepada generasi muda, mereka yang kurang membaca buku.

Minat membaca berterusan

Barat sudah menemukan satu penyelesaian, iaitu menggalakkan kanak-kanak mula membaca buku cerita sekurang-kurangnya 10 minit sehari. Harapan mereka, penyelesaian itu akan menanam minat membaca yang mendalam dan berterusan. Ini bererti mereka tidak akan melupakan peranan buku, di samping peranan peranti moden yang tidak dapat dielakkan.

Kita wajar menerapkan penyelesaian yang sama kepada generasi muda kita. Untuk tujuan itu, terlebih dahulu harus dikenal pasti buku cerita kanak-kanak berilustrasi yang terbaik, yang ada di pasaran. Atau kita boleh merancang penerbitan buku cerita kanak-kanak berilustrasi, khusus bagi tujuan ini, yang setiap satu boleh selesai dibaca dalam tempoh 10 minit. Kita boleh mengisi kandungannya dalam beberapa jilid, mengandungi 365 cerita untuk bacaan setahun.

Langkah seterusnya adalah tindakan

proaktif ibu bapa untuk membiasakan anak mereka membaca bahan berkenaan. Di samping itu, pihak sekolah boleh juga meningkatkan minat membaca pelajar melalui projek Nilam umpamanya. Perpustakaan Negara Malaysia dan agensi yang berkaitan juga wajar menggerakkan kempen ini secara berterusan.

'Toksik' peranti moden harus dimusnahkan dengan ramuan membaca buku. Daya saing masa depan Malaysia kita serahkan kepada generasi muda yang membaca, kerana mereka yang berilmu akan lebih berkuasa.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Berita Harian X