Jumaat, 12 September 2014 | 5:36am

Strategi 'tahaluf siasah' PAS bawa padah

PAS yang dahulunya dilihat memiliki prinsip perjuangan kukuh kini mengalami kegoyahan kesan daripada 'tahaluf siasah' dengan DAP dan PKR. Kecelaruan semakin melebar apabila parti itu didominasi golongan berpendidikan sekular yang cuba membawa parti itu ke arah lebih terbuka dan liberal.

Suara golongan terbabit dilihat semakin dominan sehingga menenggelamkan ulama yang dulunya sangat ditaati. Ini menyebabkan golongan ulama terpaksa tunduk dengan tekanan mereka yang kini cuba menguasai kepemimpinan parti. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam kes kedudukan Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Pemimpin aliran liberal dalam PAS dilihat berani menyanggah keputusan pemimpin mereka daripada golongan ulama, termasuk keputusan rasmi yang keluar dari Dewan Ulama PAS Pusat yang mahukan Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar sekurang-kurangnya sehingga habis penggal Pilihan Raya 2013.

Pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat lekeh oleh golongan terbabit, termasuk akar umbi. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dengan cepat mengeluarkan kenyataan bahawa sidang rasmi media oleh Hadi yang menyokong Abdul Khalid hanya bersifat peribadi.

Hakikat perkembangan kepemimpinan PAS hari ini ialah golongan berpendidikan sekular yang menyertai PAS berjaya membawa pemikiran terbuka yang dilihat bercanggah dengan pemikiran asal parti itu. Golongan terbabit cuba 'mensintesiskan' pemikiran liberal dengan pemikiran Islam konservatif.

Kerjasama PAS dengan PKR dan DAP membawa lebih banyak kecelaruan dalam parti itu - Gambar hiasan
Kerjasama PAS dengan PKR dan DAP membawa lebih banyak kecelaruan dalam parti itu - Gambar hiasan

Ahli PAS liberal sokong Anwar

Golongan ini yang mahukan pembaharuan lebih agresif cenderung menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadi yang dulunya tegas kini semakin hilang kekuatan untuk terus meletakkan PAS pada landasan perjuangan yang asal. Kewujudan kumpulan yang pro-Anwar atau disebut juga kumpulan 'Anwarinas' ini membuktikan politik licik Anwar berjaya mewujudkan kelompok dalam PAS.

Pada hal kalau dianalisis, pemikiran Islam Anwar dilihat tidak selari dengan wadah perjuangan PAS. Anwar gemar mensintesiskan Islam dengan pemikiran liberal.

Datuk Dr Haron Din ketika mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen India, Mobashar Jawed Akbar yang diundang oleh Anwar ke Malaysia pada tahun 2012 pernah menyebut bahawa Anwar berjuang dengan caranya dan beliau bukan menubuhkan parti Islam. Justeru, Haron mengingatkan penyokong PAS agar tidak terkeliru hingga menyamakan fahaman liberal yang dibawa Anwar dengan perjuangan PAS.

Ketika bangkitnya era reformasi Indonesia, ramai pemikir liberal Indonesia turut terbabit dalam melahirkan idea liberal mengenai politik dan masyarakat Islam. Idea politik pemimpin liberal Indonesia itu banyak mempengaruhi Anwar. Justeru, jika PAS benar-benar berpegang kepada prinsip perjuangannya maka tidak mungkin PAS menerima pendekatan Islam yang dibawa Anwar.

Soalnya kenapa PAS masih boleh bersama dengan parti itu. Ini disebabkan PAS hilang roh dan prinsip perjuangan yang sebenar. PAS juga semakin lari roh perjuangannya apabila menerima DAP dalam projek 'tahaluf siasahnya.'

DAP dapat banyak manfaat politik kerana parti itu merasakan ada kalangan orang Melayu termasuk daripada PAS yang menjadi pembelanya. Malah, dalam waktu tertentu PAS menjadi jaguh mempertahankan DAP yang sering mempersendakan Islam dan orang Melayu di negara ini.

Matlamat perjuangan

Perubahan yang berlaku dalam perjuangan PAS itu meletakkannya kini lebih mengutamakan politik daripada dakwatul Islamiah serta kepentingan ummah. Hari ini, PAS menjadikan 'kuasa politik' sebagai matlamat utamanya. Perjuangan parti itu semata-mata mahu menjatuhkan saingan politiknya iaitu UMNO.

Untuk itu, PAS sanggup bersekongkol dengan DAP dan PKR yang ideologi kedua-duanya jauh berbeza dengan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Bila dikemukakan soalan kenapa PAS sanggup berbuat demikian maka jawapan yang diberikan adalah untuk menentang apa yang didakwanya kezaliman kerajaan yang diterajui UMNO. Kononnya kezaliman UMNO yang mendorong PAS melakukan 'tahaluf siasah' atau kerjasama politik dengan PKR dan DAP. Bagi PAS menentang UMNO adalah jihad. PAS menganggap UMNO parti sekular, taghut dan asabiyyah.

PAS mendakwa perjuangannya adalah benar, manakala UMNO berada pada landasan perjuangan yang batil dan zalim. Justifikasi yang diberikan PAS terhadap UMNO adalah keterlaluan. Suci sangatkah DAP dan PKR sehingga PAS sanggup bekerjasama dengan mereka? Bukankah DAP dan PKR pendukung politik sekular yang tidak akan mengizinkan roh Islam ditegakkan di negara ini.

Malah isu hak istimewa orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga ditentang oleh DAP. Usah lupa bahawa DAP dalam 'Setapak Declaration' pada 29 Julai 1967 membuat resolusi menentang hak istimewa orang Melayu. Dalam kedudukan mereka belum lagi menguasai Kerajaan Persekutuan banyak perkara berkaitan kedudukan Islam dan orang Melayu di negara ini yang dipertikaikan.

Tidakkah PAS sedar DAP adalah parti yang bersifat sekular secara total. DAP sentiasa menegaskan bahawa parti itu tidak dapat menerima kewujudan negara Islam dalam apa bentuk sekali pun. Mendiang Karpal Singh, Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng pernah menegaskan bahawa Malaysia mesti kekal sebagai negara sekular.

Umpama 'boneka' DAP

Peliknya, PAS turut terpukau dengan retorik Guan Eng. Apa yang PAS dapat di Pulau Pinang selepas sedekad bekerjasama dengan DAP? Apa yang jelas, PAS langsung tidak diberi peranan yang boleh dibanggakan. Penolakan secara halus oleh DAP terhadap PAS di Pulau Pinang boleh dilihat daripada barisan EXCO kerajaan negeri itu. Jika ada pun seorang dua Melayu dari PAS dan PKR dalam majlis EXCO hanyalah sebagai boneka semata-mata.

Demikian juga dengan PKR, parti kacukan sosialis dan liberal ini sentiasa menghindarkan diri membicarakan isu Melayu dan Islam. Ia lebih mesra dengan perjuangan DAP yang memperjuangkan 'Malaysia Malaysian,' iaitu cita-cita dan perjuangan asal Lee Kuan Yew yang memimpin parti PAP.

Persoalannya, bolehkah PAS yang berjiwa Islam berasa tenang dan tenteram kerana kedua-dua sekutunya itu mempunyai ideologi yang jauh berbeza. PAS sepatutnya sedar, sejak dahulu lagi ia mempunyai banyak persamaan dengan UMNO. PAS sendiri asalnya lahir dari sebuah Biro Agama UMNO. Perpisahan bermula pada 15 Ogos 1951 apabila Ketua Biro Agama UMNO, Ahmad Fuad Hassan bersama beberapa rakannya yang tidak berpuas hati keluar dari UMNO dan menubuhkan Persatuan Alim Ulama seMalaysia (PAS).

Pada 31 Mei 1955 PAS didaftarkan sebagai sebuah parti politik dikenali Parti Islam seTanah Melayu. Sejak itu PAS yang berwadahkan politik mula bertanding dalam pilihan raya bermula dengan Pilihan Raya Persekutuan 1955.

Bagaimanapun selepas lebih tiga dekad wadah perjuangan PAS berlandaskan Islam dan nasionalisme Melayu, parti itu mula mengubah haluan apabila pada awal tahun 1980-an muncul Hadi yang mengambil-alih pucuk kepemimpinan dengan membawa konsep kepemimpinan ulama dan menolak semangat nasionalisme Melayu yang selama ini diperjuangkan PAS.

Konsep kepemimpinan ulama lahir hasil daripada ilham kejayaan revolusi Syiah Iran (tahun 1979). Hadi ketika itu antara aktivis PAS yang terpukau dengan kejayaan revolusi Syiah pimpinan Imam Khomeini.

Antara pegangan PAS ketika itu ialah tidak akan bersama dengan mana-mana parti yang tidak berlandaskan perjuangan Islam. PAS tidak mahu bersama UMNO atau mana-mana parti yang tidak Islam. PAS tegas dengan pendirian berjuang bersendirian.

Namun, selepas dirasakan sukar memperjuangkan negara Islam dalam negara berbilang kaum ini, Hadi akhirnya menukar haluan dengan memperjuangkan 'negara berkebajikan' dan seterusnya melakukan 'taaluf siasah' dengan DAP dan PKR.

Maknanya, konsep kerjasama dengan bukan Islam yang selama ini diamalkan UMNO mula ditiru oleh PAS. Cumanya PAS mengunakan istilah yang dilihat Islamik.

Walaupun Perlembagaan UMNO tidak menyebut menegakkan negara Islam sebagai agendanya, namun semangat perjuangannya tetap mempunyai matlamat memperjuangkan Islam. Sumbangan UMNO dalam menegakkan syiar Islam adalah hakikat yang diketahui umum dan dapat dibuktikan dengan jelas.

Kerjasama dengan UMNO

PAS harus kembali menilai perjuangannya yang sudah tersasar itu. Sepatutnya PAS dan UMNO menumpukan perbincangan secara serius mengenai beberapa masalah umat yang bersifat mendasar, dengan menjadikan kuasa politik sebagai mekanisme menjayakan agenda penyatuan dan kemajuan ummah. PAS mesti matang dalam berpolitik dengan mengutamakan kepentingan umat Islam.

Kedua-dua parti Melayu itu harus berganding bahu demi masa depan dan kekuatan ummah di negara ini. Fokus haruslah diberikan kepada menyelesaikan masalah ummah di negara ini secara bersepadu.

Isu yang bersifat teknikal dan retorik seperti persoalan mengenai negara Islam dan pelaksanaan undang-undang Islam jangan dijadikan titik pertikaian yang boleh menajamkan perpecahan dan perbalahan kedua-dua parti itu.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Berita Harian X