Sering kali batuk dianggap masalah ringan dan boleh diubati dengan membeli ubat di kaunter tanpa perlu berjumpa doktor sehingga keadaan bertukar menjadi teruk, baru bertindak mendapatkan rawatan lanjut.
Umumnya, batuk adalah tindakan refleks semula jadi daripada badan untuk menyingkirkan bendasing dan kuman yang dapat membantu menghalang salur pernafasan terkena sebarang jangkitan dan memasuki paru-paru sekali gus menyebabkan penyakit serius seperti radang paru-paru (pneumonia).
Tindakan refleks itu akan menghasilkan lendir atau kahak. Justeru, jangan pandang remeh mengabaikan kaedah rawatan yang betul.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga dan Gaya Hidup, MSU Medical Centre, Dr Faridah Mohd Zin, berkata batuk boleh berlaku dengan pelbagai sebab dan puncanya perlu dikenal pasti.
Namun, katanya jika batuk akut berlaku kurang daripada tiga minggu, biasanya ia disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria boleh dirawat sendiri atau perlu mendapatkan rawatan doktor bergantung kepada keadaan seseorang.
Kebiasaannya, mereka menghadapi masalah ini memilih membeli ubat batuk di kaunter kerana lebih mudah, cepat dan mungkin keberkesanannya sama jika mendapatkan ubat diberi doktor.
"Bagaimanapun, mereka yang memilih untuk merawat sendiri perlu tahu bagaimana menilai kondisi badan jika batuk tidak henti, bertambah teruk dan mempunyai beberapa simptom disifatkan berbahaya.
"Individu ini seharusnya tahu, sekiranya dalam tempoh dua hari batuk tiada perbezaan dan keadaan bertambah buruk, sewajarnya ke klinik untuk memastikan punca batuk itu.
"Adakalanya ubat batuk dibeli di kaunter tidak sesuai merawat punca sebenar batuk dan mungkin ia memerlukan antibiotik atau ubat antiviral.
"Antara gejala memerlukan rawatan perubatan ialah suhu tinggi mencecah 38.5 darjah Celcius, keluar darah ketika batuk, sukar bernafas atau suara bertukar, wajah menjadi kebiruan.
"Ini adalah simptom yang sangat tidak elok untuk kesihatan," katanya.
Jangan ambil dos berlebihan
Dr Faridah menjelaskan, apabila memilih untuk merawat sendiri batuk, selain memantau kondisi badan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua hari pengambilan ubat, mereka juga perlu mematuhi kadar pengambilannya seperti ditetapkan pada produk itu.
Kebiasaannya setiap produk ubat batuk dijual di kaunter, sudah tertera berapa dos dan kekerapan diambil untuk memastikan gejala batuk surut dalam tempoh ditetapkan.
"Jangan sesekali anda mengambil dos berlebihan dengan tujuan untuk cepat baik atau memilih jenis ubat tidak sesuai mengikut peringkat umur kerana boleh memberi kesan sampingan yang teruk.
"Umpamanya, kanak-kanak bawah usia empat tahun tidak digalakkan diberi ubat batuk jenis yang menghentikan batuk kerana boleh membawa kesan sampingan serius.
"Amat penting mematuhi label, baca arahan ditetapkan, ikut dos dibenarkan kerana jika anda mengubah sendiri, nyawa mungkin menjadi taruhan.
"Seelok-eloknya pastikan dos itu betul, gunakan syringe atau pengukur yang sudah diberikan, menggunakan sudu di rumah dan sebagainya.
"Kesannya mungkin dihadapi seperti bengkak muka, muntah, susah bernafas, tidak aktif dan asyik hendak tidur," katanya.
Dapatkan ubat batuk dilesenkan KKM
Dr Faridah menjelas, amat penting memastikan ubat batuk dibeli di kaunter adalah premis berdaftar dan ubat didaftar di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
"Jangan sesekali berani membeli ubat yang tidak didaftarkan di bawah KKM membahayakan kesihatan," katanya.
Mengulas mengenai kematian kanak-kanak 300 kanak-kanak di Gambia, Indonesia dan Uzbekistan, selepas minum ubat batuk dibeli di kedai, katanya mungkin disebabkan memilih untuk merawat sendiri.
"Berdasarkan kes global dilaporkan tahun lalu itu, ia juga mungkin tidak peka dengan perubahan kondisi berlaku pada tubuh sehingga meragut nyawa.
"Walaupun tiada maklumat mengenai kes global itu, apa-apa pun sekiranya kita ingin melakukan rawatan sendiri di rumah, pastikan peka dengan keadaan tubuh," katanya.
Beliau menjelaskan, memandangkan ramai beranggapan ubat batuk tidak mendatangkan kesan serius walaupun hakikatnya ia boleh memberi kesan, jika tersalah penggunaan, jangan sesekali mencuba memberi jenis dan dos berbeza tanpa mengikut arahan tertera atau nasihat daripada doktor.
"Setiap arahan itu jelas untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan setiap produk dijual di pasaran," katanya.
Hati-hati ubat batuk herba
Menyentuh mengenai pilihan ubat alternatif atau tradisional yang kebanyakannya berasaskan herba, beliau menjelaskan herba bukan suatu ubat, tetapi ia di bawah kategori makanan tambahan.
Secara amnya, ubat alternatif ini tiada kajian saintifik tidak seperti ubatan didaftarkan di KKM yang melalui pelbagai ujian klinikal untuk memastikan kesannya sama pada setiap orang.
Malahan, ubat klinikal ini terbukti keberkesanan dan keselamatannya pada peringkat awal penggunaan kerana sudah didaftar dan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk mendapat kelulusan, tetapi ubat alternatif, kebanyakannya hanya berdasarkan kepada testimoni pengguna.
"Setiap pengguna berbeza kesannya. Herba terkandung dalam produk mempunyai bahan aktif yang mungkin tidak diketahui.
"Jadi utamakan keselamatan dan pastikan jika batuk berpanjangan dan tidak kebah dapatkan segera rawatan di klinik.
"Ini kerana ia mungkin disebabkan oleh asma, asid reflux atau kesan sampingan terhadap ubatan. Ia mungkin juga disebabkan penyakit bahaya seperti penyakit tibi dan kanser," katanya.