Sabtu, 4 Februari 2023 | 9:29am
Imunoterapi boleh digunakan sebagai rawatan
Imunoterapi boleh digunakan sebagai rawatan

Imunoterapi lawan kanser

Hari Kanser Sedunia disambut 4 Februari setiap tahun (hari ini) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser yang dideritai dalam pelbagai bentuk, kesan, cara rawatan dan pemulihannya.

Teknologi merawat kanser semakin meningkat sejak kebelakangan ini, antara teknologi baharu yang dikenal pasti berkesan dalam merawat kanser ialah rawatan imunoterapi, sudah ada di Malaysia.

Imunoterapi rawatan yang unik, iaitu menggunakan sistem imun badan untuk melawan kanser.

Menurut Pakar Perunding Onkologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Hafizah Zaharah Ahmad, sistem imun seperti sepasukan polis di dalam tubuh, ia direka untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan dan penyakit.

Sistem imun juga boleh melindungi tubuh daripada pembentukan kanser.

Kebiasaannya, ia dapat mengesan dan menghapuskan sel rosak atau sel yang bermutasi dalam badan lalu, menghapuskannya sebelum ia

menjadi ancaman ketara.

Namun, kanser masih boleh berlaku apabila sistem imun tidak cukup kuat untuk

membunuh sel kanser atau apabila sel kanser bersembunyi daripada sistem imun (sel

kanser berupaya menyerupai sel normal yang lain).

Perbezaan imunoterapi daripada rawatan lain?

Mengulas lanjut, imunoterapi berbeza sebagai pengubatan kanser kerana lebih bersasar dan merawat pesakit dengan bertindak ke atas sistem imun mereka.

"Imunoterapi pula menggunakan sistem imun untuk melawan kanser yang boleh meningkatkan atau mengubah cara sistem imun berfungsi supaya ia boleh mengenali dan membunuh sel-sel kanser," katanya.

Sel kanser bermula daripada sel-sel normal, sistem imun tidak selalunya dapat mengecam sel kanser sebagai ancaman.

Sel kanser ini diibaratkan seperti boleh menekan

butang 'brake' pada sel imun lalu menyebabkan sistem imun tidak dapat menyerangnya.

'Checkpoint inhibitors' (sejenis imunoterapi) pula akan menurunkan semula 'brake' ini daripada sistem imun dan membantu ia mengenali serta menyerang sel-sel kanser.

Pelbagai ejen imunoterapi akan diberikan dalam bentuk infusi ke dalam vena (IV) dengan kekerapan setiap dua, tiga atau empat minggu sekali dan boleh diberikan secara sendiri atau digabungkan dengan terapi sasaran atau kemoterapi.

Sebelum menjalani rawatan perlu buat ujian biomarker kerana tak semua pesakit sesuai jalani inumoterapi. - Foto hiasan
Sebelum menjalani rawatan perlu buat ujian biomarker kerana tak semua pesakit sesuai jalani inumoterapi. - Foto hiasan

Bagi tahap kanser yang lebih ketara, rawatan imunoterapi secara amnya akan dijalankan selama dua tahun berserta pemantauan rapi daripada doktor pakar.

Memastikan pesakit mendapat rawatan yang sesuai walaupun imunoterapi mungkin dilihat sebagai sebuah sinar harapan untuk pesakit kanser,

Dr Hafizah menekankan tidak semua kanser akan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan imunoterapi.

Sebelum memulakan imunoterapi, pesakit perlu menjalani ujian biomarker tertentu seperti

ujian PD-L1 yang perlu dilakukan terhadap spesimen kanser untuk memastikan pesakit akan

mempunyai tindak balas terhadap rawatan.

Imunoterapi boleh digunakan sebagai rawatan

untuk pelbagai jenis kanser termasuk kanser paru-paru bukan sel kecil, payudara

tiga kali ganda negatif, kanser kepala dan leher, kanser serviks, gastrik, esofagus, pundi kencing, melanoma (sejenis kanser kulit), hati, karsinoma sel renal serta endometrium dan kolon.

Dr Hafizah berkongsi pengalamannya dengan pesakit yang bertindak balas dengan

baik terhadap rawatan imunoterapi termasuk seorang pesakit wanita dirawatnya dua tahun lalu dengan kanser kulit tahap lanjut yang merebak dan tidak bertindak balas terhadap rawatan kemoterapi.

Bagaimanapun, selepas menjalani imunoterapi

pesakit itu kekal dalam keadaan remisi sehingga ke hari ini.

"Seorang lagi pesakit sedang menjalani rawatan imunoterapi di bawah rawatan saya

ialah seorang lelaki yang menghidap kanser kolon tahap empat.

"Ujian biomarker telah dilakukan pada spesimen kanser beliau dan disahkan sesuai untuk imunoterapi. Keputusan pengimejan terbaharu beliau menunjukkan kanser sudah hampir pulih sepenuhnya.

"Bagaimanapun, tidak semua pesakit sesuai untuk menjalani imunoterapi. Seperti dijelaskan

di atas, ujian biomarker khas perlu dijalankan sebelum menentukan kesesuaian rawatan ini,"

kata Dr Hafizah.

Dr Hafizah Zaharah Ahmad.
Dr Hafizah Zaharah Ahmad.

Kesan sampingan, simptom dan alahan

Seperti mana-mana rawatan lain, imunoterapi juga memberikan kesan sampingannya.

"Kesan sampingan imunoterapi berbeza kerana mekanisme tindakannya juga berbeza. Rawatan ini dapat diterima baik oleh pesakit, dengan kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan seperti rasa letih, ruam kulit atau sakit otot atau sendi.

"Walaupun jarang berlaku, sesetengah pesakit juga boleh menunjukkan reaksi alahan termasuk pening, jantung berdegup laju, muka bengkak atau masalah pernafasan.

"Pesakit juga perlu tahu jika mereka mengalami tindak balas autoimun yang boleh menyebabkan masalah serius kepada paru-paru, usus, hati, kelenjar hormon, buah pinggang, kulit atau lain-lain.

"Antara simptom perlu diberi perhatian ialah cirit-birit, sakit perut yang teruk, batuk yang semakin teruk, sesak nafas atau kesukaran bernafas," katanya.

Setiap pesakit mempunyai perjalanan tersendiri untuk bebas daripada kanser, tetapi Dr Hafizah memberi jaminan penyelidikan kanser mendorong rawatan kanser ke era baru dapat membawa kepada kadar kawalan kanser atau kadar penyembuhan lebih tinggi.

Beliau mengesyorkan orang ramai mengambil insurans perubatan bagi menguruskan kos rawatan yang semakin meningkat, pesakit harus berunding dengan doktor untuk mencari pilihan rawatan terbaik apabila disahkan dengan diagnosis kanser.

Berita Harian X