Ahad, 4 Disember 2022 | 11:42am
Masalah gagap menyebabkan kesukaran seseorang berkomunikasi dengan orang lain atau kefasihan terganggu. - Foto hiasan
Masalah gagap menyebabkan kesukaran seseorang berkomunikasi dengan orang lain atau kefasihan terganggu. - Foto hiasan

Bibir bergetar, mata berkerdip sebab gagap

Gagap antara masalah tidak boleh dipandang sepi, disebabkan itu seseorang berhadapan dengan gangguan percakapan hingga menjadikan bunyi, suku kata atau perkataan diulang atau berpanjangan dan mengganggu aliran ucapan normal.

Lebih leceh lagi, gangguan pertuturan ini mungkin disertai oleh kesukaran perilaku seperti mata berkerdip dengan cepat atau bibir bergetar.

Justeru, masalah gagap menyebabkan kesukaran seseorang berkomunikasi dengan orang lain atau kefasihan terganggu dan sering mempengaruhi kualiti hidup seseorang.

Ada kajian menunjukkan gagap menyebabkan kualiti kehidupan seseorang itu menurun berpunca daripada beberapa faktor antaranya, kurang fungsi sosial, iaitu mereka malu bersosial dan menonjolkan diri.

Dianggarkan tiga daripada 240,000 penduduk di negara ini mengalami masalah gagap.

Jejaskan kesihatan mental

Menurut Pegawai Pemulihan Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Centre, Asma Fatimah Rasli, masalah gagap ini memberi kesan terhadap fungsi emosi, individu mudah tersinggung dan sedih dengan cara mereka bercakap.

Asma Fatimah Rasli
Asma Fatimah Rasli

Malah, gagap boleh mengganggu kesihatan mental, iaitu mereka mudah merasa murung dan rasa tersisih.

Biasa dilaporkan seseorang itu memaklumkan mereka tidak yakin untuk naik ke atas pentas untuk bercakap di depan orang ramai disebabkan ada masalah gagap.

Keadaan itu digelar sebagai 'typical dysfluencies' atau kecelaruan percakapan biasa.

"Namun begitu, ciri-ciri sebenar orang yang gagap, mereka melakukan pengulangan bunyi atau perkataan seperti "ssss…saya..mama mama mama", pemanjangan perkataan atau bunyi perkataan tersekat-sekat.

"Gagap biasa berlaku kepada kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun. Ia boleh berlaku disebabkan mereka sedang mempelajari banyak perkataan baru.

"Tetapi, jika gagap ini berlaku lebih daripada enam bulan, ibu bapa diminta berjumpa psikoterapi dan pakar terapi pertuturan," katanya.

Punca gagap

Asma Fatimah berkata, masalah gagap boleh dikelaskan kepada dua sebab iaitu, masalah perkembangan bahasa dan gagap neurogenik.

Untuk perkembangan bahasa, kanak-kanak berumur tiga hingga lima tahun berpotensi mengalami gagap disebabkan perkembangan pesat bahasa yang mereka pelajari.

Jika gagap berlanjutan lebih enam bulan ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan intervensi secepat mungkin.

"Faktor genetik juga dilaporkan boleh menyumbang kepada gagap. Satu kajian pada pada 2013, mendapati kanak-kanak lelaki gagap dari usia kurang tiga tahun dengan sejarah keluarga yang positif boleh terus gagap jika gangguan ini berlanjutan lebih 12 bulan dan tidak dirawat.

"Gagap neurogenik boleh berlaku selepas strok, jangkitan atau kecederaan otak selepas sesuatu trauma,"katanya.

Kaitan dengan lidah pendek

Menurutnya, kajian menunjukkan gagap berkait rapat dengan masalah 'tongue tie' atau lebih dikenali sebagai 'lidah pendek'.

"Lidah pendek berlaku disebabkan frenulum di bawah lidah pendek, apa akan berlaku adalah pergerakan lidah terhad dan susah untuk menyebut bunyi dengan baik, contohnya bunyi

L, S dan T.

"Percakapan mereka agak pelat. Ciri-ciri lidah pendek dan gagap agak berbeza kerana gagap lebih kepada kelancaran percakapan, tetapi lidah pendek lebih kepada bunyi sebutan.

"Tetapi tidak mustahil untuk individu mempunyai kedua-dua situasi sekali gus," katanya.

Kesan gagap kepada individu

Kanak-kanak dan remaja juga memberi kesan jangka pendek terhadap keupayaan mereka untuk bersosial atau berkawan, lebih-lebih lagi jika mereka perlu bertukar sekolah atau kelas.

Rasa malu mahu mulakan bersembang, menjawab soalan di hadapan kelas dan paling sedih semasa ujian lisan di mana mereka perlu bercakap di hadapan.

"Mereka juga berpotensi dibuli dari segi mental, emosi mahupun fizikal. Bayangkan semasa bercakap, rakan mentertawakan, perli dan mengutuk, pastinya terguris hati mereka.

"Bagi kesan jangka panjang adalah cabaran bekerja, bayangkan jika mereka perlu berhadapan dengan pelanggan dan memerlukan mereka bercakap di hadapan orang luar.

"Pasti sangat mencabar dan mengganggu mental dan emosi mereka, seterusnya gagap boleh mengganggu hubungan antara dua insan, mereka yang gagap akan rasa kurang keyakinan untuk memulakan percakapan, banyak latihan dan semangat yang perlu dikumpulkan sebelum bercakap," katanya.

Langkah mencegah

Selain mengganggu pertuturan, katanya, gagap juga menyebabkan pergerakan badan yang tidak terkawal, seperti kelip mata, pergerakan kepala dan pergerakan mulut.

Hal ini akan lebih jelas semasa mereka gelisah, takut, cemas, seronok dan teruja.

"Antara kaedah terapi yang kita boleh lakukan pertama, tenangkan diri sebelum mula bercakap. Jika tenang, boleh susun perkataan dalam minda dengan lebih baik.

"Sesi terapi untuk individu juga dijalankan di depan cermin supaya individu sedar dan kawal pergerakan badan mereka," katanya.

Rawatan masalah pertuturan

Beliau berkata, untuk rawatan, lazimnya pakar terapi pertuturan akan mengadakan sesi terapi antaranya dengan menggunakan teknik 'Verbal Feedback Technique', iaitu banyak menggunakan puji-pujian terhadap bunyi percakapan, contohnya, 'cantik sebutan adik, what a smooth speech, sedapnya dengar suara adik, wah lancar adik cakap".

Terapi pertuturan juga akan menggunakan teknik 'slow down speech technique', kaedah ini memerlukan model oleh pasangan berbual dengan menggunakan bunyi dan percakapan perlahan dan menyebut perkataan satu demi satu.

"Contohnya, artis antarabangsa, Marilyn Monroe membesar dengan masalah gagap membesar dengan masalah kegagapan dan menerima terapi pertuturan sejak awal usia.

"Disebabkan dia penyanyi handal, pakar pertuturannya mengajar Marilyn Monroe bercakap menggunakan teknik menyanyi, kaedah ini membantunya lebih yakin bercakap di khalayak ramai," katanya.

Berita Harian X