Ahad, 6 November 2022 | 11:21am
Individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes dan darah tinggi, berisiko mendapat pradiabetes - Foto hiasan
Individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes dan darah tinggi, berisiko mendapat pradiabetes - Foto hiasan

70 peratus pesakit pradiabetes tidak dapatkan rawatan

KOTA BHARU: Sebanyak 70 peratus pesakit pradiabetes yang tidak mendapat rawatan akan mendapat penyakit diabetes sekali gus menyumbang kepada peratusan ketinggian cabaran besar di Malaysia.

Berdasarkan laporan, kira-kira lima hingga 10 peratus populasi pradiabetes didiagnos diabetes setiap tahun.

Pradiabetes adalah satu keadaan di mana gula dalam darah seseorang melebihi tahap normal tetapi tidak cukup tinggi untuk dilabelkan sebagai diabetes dan ia adalah peringkat awal bagi pesakit yang memungkinkan mereka mendapat penyakit diabetes.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Suhaila Mohd Yusoff, berkata pradiabetes tidak menunjukkan sebarang gejala, namun perlu diingat mereka yang mempunyai faktor tertentu berisiko mendapat penyakit itu.

"Golongan yang berisiko kebiasaannya adalah mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan, sejarah keluarga menghidap diabetes, darah tinggi dan juga kolestrol.

"Selain itu, wanita yang mempunyai sejarah diabetes ketika mengandung dan melahirkan anak yang besar melebihi empat kilogram turut berisiko untuk mendapat pradiabetes," katanya dalam kenyataan.

Dr Siti Suhaila berkata, pradiabetes tidak memberikan sebarang gejala kepada penghidapnya dan hanya kaedah saringan sahaja mampu untuk mengetahui seseorang itu berada dalam fasa prediabetes.

"Bagaimanapun, implikasi pradiabetes adalah sama seperti diabetes di mana penghidapnya juga berisiko untuk menghidap penyakit kardiovaskular (penyakit jantung dan strok) serta mengalami komplikasi pada mata, saraf serta buah pinggang.

"Pengesanan pradiabetes boleh dilakukan melalui ujian saringan toleransi gula, ujian minum air gula, ujian purata gula tiga bulan atau HbA1c yang mana hasil bacaan ujian itu dapat disimpulkan sama ada terdapat pradiabetes atau tidak," katanya.

Beliau berkata, bagi langkah pencegahan ia bermula di usia 30 tahun orang ramai dinasihatkan untuk membuat saringan sekali setahun, walau bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai faktor risiko perlu menjalani ujian saringan lebih awal.

"Kos rawatan dapat dikurangkan sekiranya pengesanan pradiabetes dan intervensi dilakukan pada peringkat awal," katanya.

Berita Harian X