Ahad, 6 November 2022 | 11:00am
Individu mempunyai berat badan berlebihan berisiko hidap masalah otot lantai pelvik lemah. - Foto hiasan
Individu mempunyai berat badan berlebihan berisiko hidap masalah otot lantai pelvik lemah. - Foto hiasan

Kerap terkencing sebelum tiba bilik air

Serba-serbi tak kena. Apa tidaknya terbatuk, bersin, tertawa, melompat atau mengangkat barang berat menyebabkan seseorang itu mudah terkencing.

Situasi itu sekali gus mengganggu kualiti seharian seseorang yang berpunca daripada masalah otot lantai pelvik lemah.

Lantas ia menyebabkan seseorang itu sukar mengawal desakan untuk membuang air kecil sehingga mereka selalu 'terkucil' walaupun belum sempat sampai ke bilik air.

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan berisiko untuk mendapat masalah otot lantai pelvik yang lemah.

Menurut Pengarah Perubatan dan Operasi Klinik Amisi, Datin Dr Ismaliza Ismail, masalah otot lantai pelvik lemah itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira lelaki mahupun wanita.

"Namun, mengikut kajian, golongan wanita lebih senang untuk mendapat masalah berkenaan kerana kita boleh hamil dan melalui fasa menopaus.

"Kajian juga menunjukkan, kebanyakan individu yang akan mendapat masalah ini adalah dalam kalangan mereka yang berusia 35 tahun dan ke atas.

"Ini disebabkan ketika lingkungan umur itu kita akan mengalami proses penuaan, hormon tidak stabil dan ada sesetengah wanita sudah melalui proses bersalin banyak kali. Jadi kebanyakan pesakit menunjukkan gejala ini selepas berumur 35 tahun," katanya.

Vagina sering gatal

Dr Ismaliza berkata, mereka yang berusia bawah 35 tahun juga boleh mendapat masalah berkenaan, namun perkara itu jarang berlaku.

Tambahnya, bila susah untuk mengawal untuk buang air, ia sekali gus akan mengganggu pergerakan seseorang itu untuk melakukan aktiviti harian.

"Ada pesakit yang datang dan mengadu susah untuk solat kerana asyik nak terkucil, malas nak bersosial dan kalau nak keluar pun nak pergi ke kawasan berdekatan sahaja.

"Bila nak keluar, mereka tak mahu pakai baju berwarna cerah. Malah masalah ini juga terkait dengan isu seksual kerana bila asyik nak terkucil sudah tentu pesakit itu tidak sedia untuk melakukan hubungan bersama pasangan.

Datin Dr Ismaliza Ismail.
Datin Dr Ismaliza Ismail.

"Ada juga pesakit yang mengatakan alat sulit atau vagina mereka sering gatal disebabkan sering memakai tuala wanita," katanya.

Jenis terkucil

Ketika ditanya sama ada wanita yang bersalin secara pembedahan kurang untuk mendapat masalah otot lantai pelvik lemah mahupun inkontensia (incontinence), Dr Ismaliza memaklumkan perkara itu tidak benar.

"Jika bercakap mengenai inkontensia, ia ada beberapa jenis antaranya 'stress urinary incontinence' iaitu terkucil disebabkan tekanan.

"Kedua, adalah 'urge incontinence' yang kebiasaannya disebabkan oleh saraf.

"Ketiga, berkaitan 'mix incontinence' dan keempat, dikenali sebagai 'over active bladder'. Keempat-empat ini faktornya berlainan. Jadi jenis terkucil ini pun banyak jenis. Kalau 'stress incontinence' ia banyak berkait dengan masalah otot lantai pelvik yang lemah.

"Jadi bila ditanyakan sekiranya bersalin secara pembedahan lagi kurang mendapat inkontensia, jawapannya adalah tidak," katanya.

Punca otot lantai pelvik lemah

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat masalah otot lantai pelvik yang lemah adalah melihat kepada berapa banyak kali wanita itu mengandung.

"Bila mengandung ia akan menyebabkan berat badan bertambah dan ia memberi tambahan berat kepada tubuh, contohnya otot lantai sepatutnya boleh tampung 50 (kilogram) tetapi terpaksa tampung 80 (kilogram).

"Katakan seseorang itu mengandung beberapa kali dan beratnya tidak turun dan statik, ia mungkin punca kepada berat badan berlebihan.

"Namun, tidak semestinya hanya orang berbadan besar sahaja boleh dapat situasi itu, tetapi ia lebih berisiko berbanding dengan mereka yang kurus," katanya.

Langkah mengekang terkucil

Mengenai langkah untuk menghindari daripada masalah otot lantai pelvik lemah, Dr Ismaliza berkata, masyarakat perlu mengamalkan cara hidup sihat, menjaga pemakanan, tidak mempunyai penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi kerana ia boleh mengganggu kesihatan otot.

"Untuk wanita kita sarankan mereka membuat senaman kegel kerana ia membantu otot itu menjadi lebih kuat," katanya.

Dr Ismaliza berkata, selain amalan itu, ada juga ubat untuk membantu merawat masalah berkenaan, namun beberapa perkara perlu dilihat terlebih dahulu sebelum rawatan diberikan.

"Contohnya, individu itu mendapat masalah berkenaan disebabkan berat badan berlebihan, kita akan minta dia untuk mengurangkan berat terlebih dahulu kerana itu faktor utama dia dapat masalah ini kerana kalau buat rawatan pun perkara yang sama akan berlaku.

"Sebab itu, kita akan kenal pasti dahulu punca dia mendapat masalah itu, kemudian baru diteruskan dengan rawatan selanjutnya," katanya.

Kerap terkucil perlu rawatan segera

Beliau menyifatkan, isu masalah otot lantai pelvik lemah itu masih asing dalam kalangan masyarakat di negara ini dan ia menimbulkan rasa ketidakselesaan terutamanya kepada golongan wanita.

"Semua orang akan membuang air kecil, itu adalah perkara yang normal. Namun, apabila batuk, ketawa, melompat atau melakukan apa sahaja aktiviti boleh terkucil, perkara sebegini tidak normal.

"Mereka perlu dapatkan rawatan segera dan lakukan pemeriksaan," katanya.

INFO:

Langkah-langkah senaman kegel:

1. Kenali daya kemutan

* Caranya perlu 'berhenti' kencing sewaktu anda sedang membuang air kecil.

* Sekiranya berjaya langkah ini dengan betul, anda menemui otot mengawal saluran kencing yang betul.

2. Gunakan teknik senaman kegel dengan betul

* Selepas menjumpai otot mengawal saluran kencing yang betul, anda perlu baring di atas katil.

* Keadaan tenang bantu lakukan senaman kegel dengan lebih selamat

* Perlu regangkan otot lantai pelvik dan menahannya selama 5 saat

* Ulangi senaman ini 4 - 5 kali sehari

* Jika dapat kawal senaman ini dengan lebih baik, anda boleh tingkatkan durasi regangannya 10 saat.

3. Pastikan fokus anda terjaga

* Senaman kegel berjalan lancar, anda hanya tumpu pada otot lantai pelvik

* Tidak digalakkan menahan nafas sewaktu lakukan langkah ini

* Lakukan secara konsisten

* Untuk kesan optimum, buat secara konsisten

Berita Harian X