Jumaat, 4 November 2022 | 12:31pm
Korek hidung boleh mengakibatkan jangkitan bakteria merebak ke otak.- Foto hiasan
Korek hidung boleh mengakibatkan jangkitan bakteria merebak ke otak.- Foto hiasan

Korek hidung berisiko jadi nyanyuk, pelupa

Mengorek hidung suatu perkara biasa dilakukan sesiapa sahaja meskipun ada kalanya bukan pun untuk membuang tahi atau kotoran yang bersarang di dalamnya.

Mana tidaknya, tabiat mengorek hidung dirasakan begitu seronok dan melekakan, namun janganlah terlalu kerap kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Kajian terkini oleh pakar dari Universiti Griffith di Queensland, Australia, mendapati perbuatan itu mampu meningkatkan risiko nyanyuk dan Alzheimer atau pelupa.

Kajian itu mendedahkan tabiat mengorek hidung boleh mengakibatkan jangkitan bakteria yang boleh merebak ke otak melalui saraf olfaktori, iaitu saraf kranium pertama, membekalkan reseptor pembauan di mukosa nasal, khusus bagi deria bau.

Bakteria tertentu yang berada di otak akan merangsang pemendapan protein beta amiloid, berpotensi membawa kepada perkembangan penyakit Alzheimer.

Beta amiloid membentuk plak yang dianggap bertanggungjawab terhadap banyak gejala Alzheimer, seperti hilang ingatan, masalah bahasa dan tindakan sukar diramal.

Ini kerana, saraf olfaktori menghubungkan rongga hidung ke otak menyebabkan bakteria yang menembusinya mampu memintas rintangan darah otak, iaitu mekanisme selektif menentang laluan bahan seperti bakteria dan toksik dari darah ke bendalir serebrospinal serta otak.

Kajian dibuat ke atas tikus itu menunjukkan Chlamydia pneumoniae, iaitu bakteria menyebabkan jangkitan saluran pernafasan seperti radang paru-paru, menggunakan laluan berkenaan bagi mendapatkan akses kepada sistem saraf pusat.

Ia antara lain mendapati paras bakteria dalam otak boleh dikesan masing-masing dalam tempoh 72 jam hingga sebulan, selain haiwan terbabit membina gumpalan plak protein, dikaitkan dengan Alzheimer.

Bakteria menembusi ke saraf otak

Ketua Clem Jones Centre for Neurobiology and Stem Cell Research, Universiti Griffith, Prof James St John, berkata kajian lain menunjukkan terdapat Chlamydia pneumoniae dalam plak Alzheimer pada manusia ketika menggunakan analisis bedah siasat.

Bagaimanapun, katanya, tidak diketahui bagaimana bakteria itu menembusi kawasan berkenaan, selain sama ada ia menyebabkan patologi Alzheimer atau hanya dikaitkan dengannya.

"Kajian kami ke atas tikus menunjukkan bakteria sama boleh bergerak dengan cepat ke saraf bau dan memulakan patologi serupa dengan Alzheimer, " katanya.

Kajian sama turut mengaitkan bukti daripada beberapa kajian lain yang mencadangkan hubungan antara patogen dan demensia (nyanyuk). - AGENSI

Berita Harian X