KACANG bambara atau lebih dikenali sebagai 'kacang poi' adalah tanaman yang masih asing dalam kalangan petani di Malaysia, namun ia berpotensi meningkatkan sekuriti makanan negara.
Berasal dari Afrika sub-Sahara, kacang bambara sangat terkenal sebagai hidangan yang tinggi dengan kandungan protein, karbohidrat dan mineral.
Menurut pegawai penyelidik kanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Mohd Zulkhairi Azid, pasaran kekacang di negara ini dijangka meningkat kepada 3.1 peratus pada 2023.
Katanya, 61 peratus rakyat di negara ini sudah mula bertukar kepada pemakanan yang berasaskan tumbuhan.
"Selain itu, purata pemakanan kacang dalam kalangan masyarakat juga adalah tinggi, iaitu sebanyak 1 kilogram (kg) setahun.
"Oleh itu, kacang bambara adalah tanaman yang sangat sesuai bagi meningkatkan sekuriti makanan negara memandangkan ia sangat mudah untuk ditanam," katanya kepada BH.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Produk Inovasi MARDI pada Hari Inovasi MARDI 2022 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS) Serdang, baru-baru ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Beliau berkata, kacang bambara tidak memerlukan penjagaan yang rumit, malah boleh ditanam di kawasan tanah berpasir dan kering.
Katanya, tanaman itu juga mempunyai daya tahan tinggi terhadap iklim kemarau.
"Kacang bambara juga mempunyai kandungan potasium yang tinggi berbanding pisang, kacang merah dan kacang tunggak (kacang mata hitam).
"Di Afrika, penduduk miskin luar bandar mengamalkan pemakanan kacang bambara bagi menggantikan protein haiwan yang sukar didapati," katanya.
Tinggi kandungan asid lemak
Tambah Mohd Zulkhairi, antara kelebihan kacang bambara juga tinggi dengan kandungan asid lemak yang dapat menurunkan berat badan, mengurangkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan fungsi kognitif.
Katanya, hasil penyelidikan juga mendapati berbanding kacang badam, pengambilan kacang bambara tidak akan menyebabkan batu karang dalam buah pinggang.
Katanya, setiap 100 gram kacang bambara mampu memberikan 407 kalori tenaga dan 17.1 miligram protein.
"Ia juga mempunyai nilai nutrisi yang lengkap dan boleh membantu mengurangkan pemakanan tidak seimbang dan menambah baik nutrisi.
"Susu kacang bambara juga sangat sedap dan berkhasiat, malah mampu menggantikan susu lembu, kacang soya dan juga badam," katanya.
Mohd Zulkhairi berkata, setakat ini kacang bambara banyak ditanam di utara dan sangat digemari sebagai kudapan.