Ahad, 23 Oktober 2022 | 1:04pm

Pesakit darah tinggi berisiko hidap strok mata

MASALAH penglihatan mata akibat komplikasi kencing manis (retinopati diabetes) sudah biasa didedahkan dalam kalangan masyarakat, namun risiko darah tinggi yang turut membawa kesan sama kurang diketahui umum yang dikenali sebagai retinopati hipertensi.

Retinopati hipertensi ialah suatu keadaan, penglihatan pesakit terganggu akibat keadaan darah tinggi yang kronik dan tidak terkawal sehingga menyebabkan kerosakan pada pembuluh darah atau salur darah di mata.

Berdasarkan statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, dianggarkan lebih tiga juta rakyat Malaysia yang mempunyai masalah darah tinggi berhadapan dengan risiko retinopati hipertensi akibat tekanan darah yang tidak terkawal, selain kurang kesedaran berkaitan komplikasi berkenaan.

Berdasarkan statistik juga menunjukkan tiga daripada 10 rakyat Malaysia menghidap darah tinggi.

Seramai 6.4 juta menghidap penyakit berkenaan, namun hanya 3.4 juta yang mendapatkan rawatan secara berkala dan situasi berkenaan antara punca utama kes membabitkan retinopati hipertensi turut meningkat dari semasa ke semasa.

4 peringkat retinopati hipertensi

Pakar Oftalmologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Shahidatul Adha Mohamad, berkata kurang pengetahuan berkaitan retinopati hipertensi dalam kalangan masyarakat menjadi antara punca utama pesakit yang dirujuk ke hospital adalah dalam kategori peringkat keempat iaitu pada kondisi paling teruk.

Katanya, terdapat empat peringkat retinopati hipertensi yang akan berlaku kepada pesakit selepas tiga hingga lima tahun menghidap masalah darah tinggi yang tidak dikawal.

"Bagi peringkat pertama sehingga kedua biasanya tiada sebarang gejala dialami pesakit. Hanya pada peringkat ketiga dan keempat pesakit akan mula mengalami masalah kabur dan gangguan pada penglihatan akibat kebocoran pembuluh darah pada lapisan saraf retina dan juga pembengkakan pada saraf optik.

"Biasanya komplikasi ini berlaku akibat tekanan darah meningkat secara akut atau mendadak melebihi 180/110, yang disebut krisis hipertensi." katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan.

Buat pemeriksaan berkala

Dr Shahidatul Adha berkata, statistik juga menunjukkan majoriti pesakit berusia 30 sehingga 40-an juga lebih berisiko mendapat serangan retinopati hipertensi peringkat keempat dan strok mata berbanding warga emas.

Justeru, mereka yang disahkan menghidap darah tinggi ketika usia muda disarankan untuk patuh mengambil ubatan dan boleh terus melakukan pemeriksaan mata secara berkala.

"Selain itu, lebih ramai lelaki yang berhadapan masalah ini kerana golongan terbabit berisiko lebih tiga kali ganda untuk menghidap darah tinggi berbanding wanita," katanya.

Rawatan elak serangan strok mata

Dr Shahidatul Adha yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam perkhidmatan oftalmologi berkata, tekanan darah tinggi yang kronik menyebabkan pembuluh darah arteri pada retina menjadi tebal dan menyempit sehingga mengganggu aliran oksigen ke bahagian mata seterusnya mengganggu saraf optik.

Keadaan retina mata.
Keadaan retina mata.

Menurutnya, retinopati hipertensi adalah masalah serius kerana turut memberi risiko serangan strok mata.

Terdapat dua jenis serangan strok mata yang berbeza apabila pembuluh darah vena tersumbat ataupun apabila pembuluh darah arteri tersumbat.

"Strok mata akibat pembuluh darah vena tersumbat menyebabkan berlaku pendarahan sangat teruk dan bengkak pada saraf retina.

"Antara rawatan diberikan melalui kaedah suntikan ubat anti-VEGF ke dalam mata untuk menyekat pertumbuhan salur darah baru dan menyurutkan bengkak pada makula, rawatan laser, dan juga suntikan steroid ke dalam mata," katanya.

"Sekiranya, pembuluh darah arteri yang tersumbat, bekalan oksigen ke seluruh saraf retina akan terputus.

"Strok mata jenis ini boleh mengakibatkan kebutaan kekal seawal 90 minit selepas serangan berlaku. Rawatan awal diberikan dalam tempoh enam jam pertama termasuklah urutan mata, pemberian ubat titis, bernafas ke dalam beg pernafasan semula atau menyedut karbogen.

"Sekiranya melepasi 24 jam dan penglihatan masih lagi teruk, tiada apa yang dapat kami lakukan untuk mengembalikan penglihatan asal."

"Justeru, pesakit mengalami serangan strok mata hendaklah mendapatkan rawatan segera kerana tempoh kritikal untuk peluang pulih adalah tipis. Sekalipun penglihatan tidak dapat dipulihkan, tetapi pemeriksaan dan rawatan lanjut perlu untuk mengelakkan risiko kebutaan ke sebelah mata lagi.

Oleh itu, adalah penting untuk pesakit mempunyai pengetahuan berkaitan kesihatan mata.

Langkah pencegahan

Dr Shahidatul Adha berkata, persepsi masyarakat yang takut untuk rawatan mata yang dianggap menyakitkan perlu diubah kerana proses rawatan sebenarnya adalah tidak seperti yang difikirkan.

"Rawatan laser mata atau suntikan anti-VEGF adalah percuma di hospital kerajaan, bagaimana pun, membabitkan kos ribuan ringgit jika dilakukan di hospital swasta bergantung kepada jenis rawatan.

"Retinopati hipertensi boleh dicegah dengan mengawal tekanan darah tinggi, mengamalkan cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan, melakukan senaman, tidak merokok dan tidak minum alkohol, dan yang paling penting mengelak daripada tekanan," katanya.

Info: Mengenai retinopati hipertensi

Bentuk retinopati terjadi pada penderita tekanan darah tinggi yang menyebabkan kerosakan pada pembuluh darah atau salur darah di mata.

Gejala retinopati hipertensi

* Penurunan penglihatan

* Penglihatan ganda

* Mata bengkak

* Sakit kepala

Dr Shahidatul Adha menunjukkan kondisi mata yang mungkin boleh menyebabkan strok mata akibat retinopati hipertensi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dr Shahidatul Adha menunjukkan kondisi mata yang mungkin boleh menyebabkan strok mata akibat retinopati hipertensi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dr Shahidatul Adha membuat pemeriksaan dan konsultasi mata di Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual di HUSM. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dr Shahidatul Adha membuat pemeriksaan dan konsultasi mata di Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual di HUSM. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Kondisi mata yang diperlukan dalam rangka pemeriksaan bagi pesakit darah tinggi komplikasi serius. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Kondisi mata yang diperlukan dalam rangka pemeriksaan bagi pesakit darah tinggi komplikasi serius. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X