Jumaat, 21 Oktober 2022 | 4:49pm
Rancang keluarga demi kesejahteraan bersama. - Gambar hiasan
Rancang keluarga demi kesejahteraan bersama. - Gambar hiasan

Rancang keluarga jamin kesejahteraan hubungan

KUALA LUMPUR: Menentukan masa yang sesuai untuk mempunyai anak, jarak kehamilan dan bilangan anak yang diingini bersama pasangan adalah perlu bagi menjamin kesejahteraan sesuatu hubungan.

Pelbagai kaedah dan pelan perancangan keluarga boleh didapati selain kempen serta pendedahan terhadap kepentingannya diketengahkan pihak tertentu seperti Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri.

Seiring dunia berevolusi, wanita dilihat semakin cenderung untuk berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat pakar untuk membuat keputusan sebelum mengamalkan pelan perancangan keluarga.

Ahli Farmasi Alpro Pharmacy, Jah Hanini Johari, berkata wanita mempunyai dua jenis pilihan untuk merancang keluarga, iaitu kontraseptif jangka pendek dan panjang.

Bagi kontraseptif jangka pendek, ia memerlukan wanita untuk mengambilnya secara kerap dan boleh berbalik sekiranya mereka berhenti menggunakannya kerana kesan kontraseptif akan hilang serta-merta dan menjadikan kesuburan wanita kembali normal.

Kontraseptif jangka panjang tidak bergantung kepada ingatan untuk mengambil atau menggunakannya bagi menjadikannya berkesan.

Oleh itu, ia sesuai buat wanita yang selalu lupa mengambil pil perancang atau bagi mereka yang membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga beberapa tahun kemudian.

"Wanita boleh memilih untuk menggunakan kondom, pil atau suntikan setiap tiga bulan bagi kesan jangka pendek.

"Kontraseptif jangka panjang seperti Peranti Intrauterin (IUD), Implan Kontraseptif dan Sistem Intrauterin (IUS) berkesan dalam memastikan anda bebas hamil sehingga tiga, lima atau 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara BH bertajuk 'Perancangan Keluarga: Fakta, Mitos & Cabaran di Malaysia', secara maya di platform Facebook BH, baru-baru ini.

Ia dihoskan oleh Datin Seri Fazilah Hani Harun dan turut dihadiri tetamu jemputan, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Prince Court Medical Centre Sdn Bhd, Dr Maiza Tusimin.

Jah berkata, antara semua cara kontraseptif, wanita kerap memilih untuk mengamalkan pil pencegah kehamilan.

"Bagi yang jenis pil lebih mudah untuk didapati contohnya di kedai farmasi sahaja berbanding jenis IUD, suntikan hanya boleh didapati di klinik atau hospital sahaja dan di bawah rawatan doktor," katanya.

Jenis pil perancang juga terbahagi kepada jenis pil perancang jenis bercampur (COC), pil hormon progestrin sahaja (POP) dan pil kecemasan.

"Biasanya ahli farmasi akan membuat penilaian dengan bertanyakan beberapa soalan penting bagi memilih pil hormon yang paling sesuai dengan keadaan kesihatan serta gaya hidup wanita.

"Contoh soalan lazim yang akan ditanya adalah umur, menyusukan badan atau tidak, ada kanser payu dara, masalah kardiovaskular, migrain, merokok, diabetes atau obesiti. Semua ini akan menentukan jenis pil untuk individu," katanya.

Jah berkata, pil perancang mempunyai 91 peratus keberkesanan untuk mencegah kehamilan sekiranya diambil setiap hari pada masa yang sama.

Kondom memberikan perlindungan tambahan terhadap kebanyakan penyakit kelamin.

"Pil kontraseptif kecemasan mendedahkan badan kepada lonjakan hormon justeru lebih banyak kesan sampingan untuk penggunaan jangka panjang.

"Penggunaan pil kontraseptif kecemasan yang kerap sebenarnya akan meningkatkan risiko kehamilan yang tidak diingini, oleh itu untuk keselamatan jangka panjang, kaedah lain seperti pil kontraseptif oral adalah disyorkan," katanya.

Sesetengah pil kontraseptif boleh menambahbaik keadaan kulit dan rambut, selain membantu menangani gejala seperti jerawat, sindrom pramenstruasi (PMS) seperti senggugut, dan pendarahan haid yang tidak teratur.

Bagaimanapun, ada sesetengah pihak mengatakan pil perancang boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan ia berkemungkinan mengganggu hubungan kelamin.

Dr Maiza berkata, penyelidikan tidak dapat membuktikan sebarang hubungan antara pil ini dan kenaikan berat badan.

"Malah, generasi semasa pil kawalan kelahiran yang menggunakan dos hormon yang lebih rendah dan mengandungi sejenis progestin boleh membantu mengurangkan pembendungan air yang berkaitan dengan kitaran haid.

"Rujuk pakar obstetrik dan ginekologi atau ahli farmasi untuk mengetahui pil kontraseptif mana yang paling sesuai untuk anda," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pil kontraseptif dan mendapatkan nasihat profesional penjagaan kesihatan jika wanita ingin memulakan pil kontraseptif oral, tanya Ask Maya melalui kotak chat Facebook.

Penafian: Untuk maklumat lanjut sila rujuk doktor atau ahli farmasi. Maklumat yang diberikan hanya untuk maklumat dan tidak dimaksudkan sebagai pengganti nasihat oleh pengamal perubatan berdaftar. Maklumat ini tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis masalah kesihatan atau untuk ubat sendiri. Bayer Co. (M) Sdn. Bhd. tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kerugian yang timbul daripada akses kepada atau penggunaan maklumat yang diberikan.

Nombor kelulusan: PP-YAZ-MY-0532-1(10/22)

Berita Harian X