Jumaat, 21 Oktober 2022 | 9:15am
10,000 langkah antara inisiatif untuk gaya hidup sihat. - Foto hiasan
10,000 langkah antara inisiatif untuk gaya hidup sihat. - Foto hiasan

10,000 langkah bukan cara turunkan berat badan, jadi apa manfaatnya?

BERJALAN 10,000 langkah antara kaedah untuk menurunkan berat badan?

Sejauh mana kenyataan itu benar? Sebenarnya menurut pakar kesihatan, bilangan kalori yang dibakar bergantung kepada pelbagai faktor termasuk umur, berat, intensiti dan jarak.

Tiada jumlah jarak berjalan kaki boleh menghalang penambahan berat badan dengan sendirinya.

Menurut satu kajian yang menunjukkan piawaian yang diamalkan secara meluas bahawa berjalan 10,000 langkah sehari semata-mata untuk menurunkan berat badan mungkin tidak berkesan.

Ini berdasarkan hasil kajian penyelidik Brigham Young University, Amerika Syarikat, membabitkan 120 pelajar kolej baru untuk tempoh sepanjang enam bulan pertama.

Menurut kajian itu, berat badan pelajar bertambah walaupun berjalan lebih daripada 15,000 langkah.

Pelajar dalam kajian itu, memperoleh purata kira-kira 1.5 kilogram (kg) sepanjang tempoh kajian.

Pertambahan berat purata satu hingga empat kilogram biasanya diperhatikan pada tahun akademik pertama di kolej.

"Senaman sahaja bukan cara yang paling berkesan untuk menurunkan berat badan," kata penulis utama kajian yang juga profesor sains senaman Brigham Young University, Bruce Bailey.

"Jika anda melakukan 10,000 langkah, ia mungkin mempunyai manfaat dalam meningkatkan aktiviti fizikal, tetapi kajian kami menunjukkan ia tidak akan diterjemahkan bagi mengekalkan berat badan atau mencegah penambahan berat badan," kata Bailey

Sebagai sebahagian daripada kajian itu, peserta memakai pedometer 24 jam sehari untuk kajian selama enam minggu.

Secara purata, pelajar berjalan kira-kira 9,600 langkah setiap hari sebelum kajian.

Menjelang akhir kajian, mereka dalam kumpulan 10,000 langkah purata 11,066 langkah; mereka dalam kumpulan 12,500 langkah purata 13,638 langkah; dan peserta dalam kumpulan 15,000 langkah purata 14,557 langkah sehari.

Walaupun menerusi aktiviti itu, berat badan tidak terjejas oleh peningkatan langkah berjalan itu, terdapat kesan positif terhadap corak aktiviti fizikal, yang mungkin mempunyai faedah dari segi emosi dan kesihatan yang lain.

Mereka juga mendapati, masa sedentari atau tidak aktif telah dikurangkan secara drastik dalam kedua-dua kumpulan 12,500 dan 15,000 langkah.

Dalam kumpulan 15,000 langkah, masa sedentari berkurangan sebanyak 77 minit sehari.

"Cadangan berjalan itu sebenarnya memberi faedah yang paling terbaik bagi membuang sikap gaya hidup yang tidak aktif.

"Walaupun ia tidak menyebabkan penambahan berat badan dengan sendirinya, tapi, ada langkah yang lebih baik untuk anda menguruskan berat badan," kata Bailey tanpa memperincikan mengenainya.

Berita Harian X