Rabu, 19 Oktober 2022 | 1:58pm
Golongan wanita juga berisiko tinggi mendapat penyakit jantung.- Foto hiasan
Golongan wanita juga berisiko tinggi mendapat penyakit jantung.- Foto hiasan

Golongan wanita berisiko penyakit jantung iskemik

APABILA ditanya mengenai golongan mana yang berisiko besar mendapat penyakit jantung, pastinya golongan lelaki menjadi tumpuan.

Tidak dinafikan, gaya hidup lelaki terutama mereka yang merokok, menjadi penyebab terbesar kepada kes-kes kematian akibat penyakit jantung dalam kalangan lelaki.

Namun, golongan wanita juga tidak terkecuali menjadi penyumbang kepada kadar kematian akibat penyakit jantung.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 13.4 peratus kematian membabitkan wanita yang menghidap penyakit jantung iskemik dilaporkan sehingga tahun 2020.

Penyakit jantung iskemik adalah disebabkan oleh salur darah yang tersumbat sehingga lebih 70 peratus dan tidak mampu untuk menyalurkan darah ke jantung seperti yang diperlukan.

Pakar Perunding Kardiologi dan Kardiak Elektrofisiologi Hospital Serdang,  Dr Nor Halwani Habizal berkata, simptom penyakit jantung iskemik yang ada pada pesakit wanita adalah sedikit berbeza dan ini menyebabkan mereka kurang peka terhadap masalah jantung tersebut.

Apabila ditanya mengenai punca utama yang menyebabkan penyakit jantung berlaku, Dr Halwani berkata aktiviti harian, rutin pemakanan dan stress menjadi punca yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung dalam kalangan wanita.

"Saya menyeru kepada golongan suami dan bapa agar peka dengan keadaan kaum wanita di sekeliling anda dan tidak mengambil mudah terhadap simptom seperti stress dan sakit dada."

Beliau berkata demikian pada program Bicara BH bertajuk 'Awas! Risiko penyakit jantung golongan wanita' yang diadakan secara maya di Facebook BH, baru-baru ini.

Rancangan ini dihoskan oleh Ahmad Suhael Adnan dan turut dihadiri panel jemputan, Pengarah ICL dan Perunding Kanan Kardiologi Hospital Serdang, Dr Kamaraj Selvaraj.

Pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang turut berkongsi pengalaman beliau sebagai salah seorang pesakit jantung bersempena sambutan Hari Kebaya Merah yang diadakan baru-baru ini.

"Sejujurnya saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan mengalami masalah jantung kerana saya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan saya merupakan atlet negara. 

"Namun, setelah didiagnos, barulah saya menyedari akan simptom-simptom kecil yang berlaku sebelum ini.

Antara simptom yang pernah dialami seperti sesak dada dan kesukaran bernafas namun tidak menyangka ia adalah simptom penyakit jantung," katanya ketika sesi temubual.

Dr Halwani berkata, selain mengalami sakit dada, wanita yang menghidap penyakit jantung juga mengalami simptom seperti muntah, loya, sakit pada belikat dan sakit kepala.

"Nasihat saya, wanita-wanita yang mengalami simptom seperti ini agar segera menjalani pemeriksaan kesihatan terutama golongan berisiko tinggi mendapat penyakit jantung," katanya. 

Penyakit jantung dapat dikesan awal melalui Ujian Stress atau Elektrokardiogram yang dijalankan di mana-mana klinik atau pusat kesihatan.

Hospital Serdang menjadi salah satu pusat rawatan yang dilengkapi dengan pelbagai alatan perubatan bagi penyakit jantung.

Terdapat dua kaedah rawatan yang diberikan kepada pesakit jantung iaitu Invasif Kardiologi dan Non-Invasif Kardiologi.

Dr Kamaraj berkata, apabila mereka mendapati bahawa ada masalah yang berlaku pada jantung pesakit, mereka akan segera melakukan rawatan Invasif Kardiologi.

"Rawatan Invasif seperti Angiogram adalah kusus bagi penyakit jantung iskemik bagi mencari salur darah yang tersumbat.

"Selain itu kami juga akan melakukan kajian Elektrofisiologi bagi mengetahui keadaan jantung dan menukar injap jantung," tambahnya lagi.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih cakna akan tahap kesihatan diri agar tidak terlepas pandang akan simptom-simptom kecil yang berlaku terutamanya golongan wanita.

Saringan kesihatan seperti saringan kencing manis dan darah tinggi juga penting bagi mengelakkan bermulanya masalah jantung.

"Bersenam, kurangkan makanan berminyak dan kurangkan stress dalam kehidupan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat," tambah Dr Kumaraj.

Dapatkan rawatan segera jika anda mengalami sebarang simptom penyakit jantung di klinik atau pusat kesihatan berhampiran.

Berita Harian X