Rabu, 19 Oktober 2022 | 11:27am
Tidak menjaga kebersihan mulut boleh beri perubahan kepada lidah dan petanda berdepan dengan penyakit tertentu. - Foto hiasan
Tidak menjaga kebersihan mulut boleh beri perubahan kepada lidah dan petanda berdepan dengan penyakit tertentu. - Foto hiasan

Tompokan putih pada lidah petanda awal 'pembunuh senyap'

TABIAT individu yang tidak menjaga kebersihan mulut atau ketagihan rokok melampau boleh menyebabkan perubahan pada lidah.

Lebih parah lagi, situasi itu sebagai petanda mungkin menghidapi penyakit tertentu yang boleh membawa maut.

Tompokan putih dan bintik kecil di mulut dan lidah mungkin tidak berbahaya, tetapi kadangkala ia boleh memberikan beberapa petunjuk terhadap kesihatan anda secara keseluruhan.

Justeru, ketika anda memberus gigi, perhatikan keadaan lidah pasti terdapat banyak kemungkinan yang bakal ditemui.

1. Bintik putih yang boleh dikikis

Tompok putih yang boleh dibersihkan dengan berus gigi boleh menjadi seriawan mulut atau dikenali sebagai kandidiasis mulut, iaitu sejenis jangkitan kulat pada mulut.

Menurut Pakar Perubatan National Health Service (NHS), dari Pusat Perubatan Woodlands, Didcot,

Dr Rachel Ward, situasi itu sering dikaitkan dengan pedih, rasa yang tidak enak dan kesukaran makan dan minum.

"Walaupun sariawan mulut perkara biasa dan mudah dirawat, ia bakal berulang dan menimbulkan satu lagi masalah kesihatan asas seperti masalah sistem imun atau berkurangan," jelasnya.

2. Tompok putih pada lidah dan dalam mulut

Mempunyai tompok putih pada lidah juga dikenali sebagai Leukoplakia.

"Hal ini disebabkan oleh pendedahan kronik kepada perengsa seperti merokok. Kebanyakannya tidak berbahaya tetapi boleh menjadi prakanser dan memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor gigi atau doktor,

3. Ulser mulut

Ulser di mulut dan lidah biasa berlaku, walaupun menyakitkan, ia biasanya akan sembuh dengan sendirinya dalam beberapa hari.

Sekiranya anda mempunyai ulser yang tidak sembuh atau benjolan baru pada lidah, ia boleh menjadi tanda kanser mulut dan anda harus segera berjumpa doktor atau doktor gigi,

4. Lidah geografi

Lidah geografi - Situasi yang muncul secara tiba-tiba apabila lidah anda kelihatan seperti ada peta garis besar.

Ia adalah keadaan biasa dan tidak serius tetapi boleh menyebabkan pedih jika anda makan makanan tertentu seperti buah sitrus atau makanan pedas.

Cara terbaik untuk mencegah ialah dengan mengelakkan makanan yang boleh mengundang rasa pedih.

5. Lidah berbulu

Individu yang mengalami lidah berbulu tidak benar-benar mempunyai bulu pada lidah.

Istilah 'lidah berbulu' digunakan untuk menggambarkan bonjolan kecil yang tidak normal pada permukaan lidah, kata GP.

Keadaan ini agak biasa, jangka masa pendek dan tidak berbahaya. Lidah berbulu terjadi akibat kekurangan rangsangan pada bahagian atas lidah menyebabkan terlalu banyak bakteria atau pertumbuhan yis dalam mulut.

Bakteria ini terkumpul pada unjuran bulat kecil yang dipanggil papila dan terletak di sepanjang lidah. Pada tahap yang teruk, papila boleh membesar hingga 15 kali ganda panjang normal dan ia akan kelihatan seperti rambut. - (Susunan Nuratikah Athilya Hassan) - Agensi

Berita Harian X