Isnin, 3 Oktober 2022 | 11:33am
Pengesanan awal barah pada tahap satu dapat menyelamatkan hampir 90 peratus nyawa. - Foto AFP
Pengesanan awal barah pada tahap satu dapat menyelamatkan hampir 90 peratus nyawa. - Foto AFP

Benjolan petanda barah payudara

MENUNGGU sehingga ada simptom dan jarang melakukan rutin pemeriksaan sendiri antara faktor peningkatan kes kanser payudara di negara ini kerana sudah berada pada tahap lewat, iaitu membabitkan peringkat tiga dan empat (terakhir) sehingga sukar diselamatkan.

Pakar Perunding Kanan Onkologi dan Radioterapi (Kanser), Hospital Pakar KPJ Damansara dan KPJ Selangor, Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin, berkata kira-kira 15 peratus barah kanser payudara di negara ini dikesan pada usia kurang 40 tahun dan angka ini semakin meningkat.

Katanya, rata-rata daripada pesakit ini beranggapan mereka bebas daripada serangan barah payudara sehingga timbul satu benjolan yang mungkin ketika itu sudah berada pada tahap tiga atau empat.

"Perkara ini yang dikesalkan kerana sekiranya sering

melakukan rutin pemeriksaan payudara di bilik mandi atau bilik tidur di hadapan cermin contohnya,

penyakit ini boleh dikesan awal dan mampu menyelamatkan nyawa.

"Malah, rawatan dilalui juga tidak rumit, kurang kos perbelanjaan dan akhirnya kehidupan pesakit akan kembali pulih kepada normal sekiranya rawatan perubatan optimum awal dapat diberikan oleh doktor.

Seeloknya wanita berusia 20 tahun ke atas lakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan selepas haid. - Foto hiasan
Seeloknya wanita berusia 20 tahun ke atas lakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan selepas haid. - Foto hiasan

Pemeriksaan sendiri setiap bulan sebagai langkah awal mengesan sebarang benjolan. - Foto hiasan
Pemeriksaan sendiri setiap bulan sebagai langkah awal mengesan sebarang benjolan. - Foto hiasan

"Ini terbukti melalui pengesanan awal barah pada tahap satu dapat menyelamatkan hampir 90 peratus nyawa berbanding tahap empat, iaitu hanya lebih kurang 20 peratus saja," katanya.

Malaysia catat kematian tertinggi di ASEAN

Berdasarkan data dari Globocan (Global Cancer Observatory), iaitu platform berasaskan web interaktif

yang menampilkan statistik barah global pada 2012, Malaysia mencatatkan peratusan kematian tertinggi dalam kalangan pesakit barah payudara di ASEAN iaitu

sebanyak 24.7 peratus.

Manakala Filipina mencatatkan 23.3 peratus; Indonesia (21.5 peratus); Singapura (19.6 peratus) dan Thailand serta Vietnam masing-masing (13.8 peratus).

Beliau berkata, barah payudara ini tidak mengenal kelas sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya dan ia menyerang sesiapa saja yang tidak menjaga kesihatan.

Justeru, golongan B40 antara yang sering ditekankan oleh kerajaan untuk mendapatkan pemeriksaan saringan percuma kerana sekiranya lambat didiagnos, ia boleh memberi kesan kepada kehidupan harian, selain jangan terlalu percaya kepada momokan mengenai rawatan di hospital.

"Sehingga hari ini, masyarakat kita apabila didiagnos dengan barah payudara, mereka takut untuk mendapatkan rawatan di hospital, kononnya doktor pakar hospital hanya tahu bedah sana, bedah sini.

"Mereka takut dan mengelak mendapat rawatan di hospital sehingga penyakit ini membawa kesengsaraan dan maut," katanya.

Percaya rawatan alternatif

Beliau berkata, pesakit juga lebih percaya kepada bahan rawatan alternatif dipromosikan dengan pelbagai kelebihan untuk merawat, walhal tidak dapat dipastikan sama ada ia boleh memberi reaksi negatif atau positif pada tubuh badan.

"Lama-kelamaan dek kerana gagal mendapatkan rawatan sepatutnya daripada pakar bertauliah, akhirnya nyawa mereka gagal untuk diselamatkan," katanya.

Berdasarkan kajian dilakukan, didapati lebih kurang 30 peratus pesakit kanser di Malaysia gagal melakukan rawatan perubatan di hospital kerajaan, mencuba rawatan alternatif.

Trend ini amat membimbangkan dan antara puncanya akibat memperoleh salah maklumat di media sosial.

Buat pemeriksaan sendiri setiap bulan

Dr Aminudin berkata, seeloknya wanita berusia 20 tahun ke atas melakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan selepas haid.

Bagi wanita berusia 40 tahun ke atas disarankan melakukan ujian saringan barah payudara dengan mammogram atau ultrasound payudara walaupun tiada gejala dirasai dan sekiranya ada perubahan, perlu diperiksa lanjut oleh doktor pakar bedah payudara.

"Ini kerana kita mahu pastikan sekiranya ada ia adalah pada tahap satu atau dua dan bukannya tiga atau empat.

"Kajian menunjukkan kalau kesan lebih awal, peratus sembuh lepas rawatan barah payudara peringkat awal lebih 90 peratus dibandingkan hanya 10 hingga 15 peratus saja untuk peringkat lewat yang sudah merebak ke organ lain.

"Selain itu wanita mengandung juga disarankan untuk sentiasa melakukan pemeriksaan di payudara kerana barah payudara adalah barah paling biasa dalam kalangan mereka, disebabkan itu penting mengesannya lebih awal," katanya

Jenis barah payudara

Beliau berkata, barah payudara terbahagi kepada Triple Negative Breast Cancer (TNBC),

Hormone Receptor+ (ER/PR+) dan Her 2+.

"Rawatan barah payudara ini bergantung kepada jenisnya selain daripada kemoterapi kerana banyak rawatan terkini yang terbukti berkesan untuk merawat bermula daripada peringkat awal hingga peringkat lewat.

"Rawatan perubatan kini semakin canggih dan kurang kesan sampingan seperti rawatan immunoterapi yang mengaktifkan sel imun T cell untuk membunuh secara khusus sel barah berkesan untuk 'Triple Negatif Breast Cancer' (TNBC), selain rawatan terapi target untuk Her2+ dan rawatan hormon target untuk ER/PR+.

"Rawatan radioterapi berteknologi tinggi seperti Volumetric Modulated Arc Therapy (VMAT), Radioterapi Imej Berpandu (IGRT), Deep Inspiration Breath Hold Radiation Therapy (DIBH) dan Terapi Radiasi Tubuh Stereotaktik (SRS/SBRT) juga berupaya merawat barah payudara dengan lebih berkesan," katanya.

Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin.
Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin.

Justeru, beliau menasihatkan wanita muda terutamanya untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, jangan terlalu makan makanan berlemak, aktif bersukan, jangan

mengambil alkohol, menghisap rokok dan sebagainya.

"Saya juga mengingatkan wanita rawatan hormon untuk kesuburan seperti persenyawaan in-vitro atau In Vitro Fertilisation (IVF) dan pil perancang hormon juga meningkatkan risiko barah payudara terutama yang muda.

"Terapi penggantian hormon (HRT) juga berisiko dalam kalangan wanita putus haid.

"Sekarang ini genetik keluarga juga boleh menjadi faktor risiko seperti mutasi genetik BRCA 1 dan 2 ," katanya.

Info:

Tanda kanser payudara:

* Bengkak pada sebahagian payudara
* Kulit jadi berkedut seperti kulit limau
* Puting masuk ke dalam atau sakit
* Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
* Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.
* Ketulan pada bahagian ketiak

Tahap Kanser Payudara

* Tahap 0 – Kanser setempat (Cancer in Situ)
* Tahap I – Kanser kurang dari 2 sentimeter (sm)
* Tahap II – Kanser 2 hingga 5 sm tanpa atau dengan bengkakan kelenjar di ketiak
* Tahap III – Kanser besar dari 5 sm atau penglibatan kelenjar ketiak banyak
* Tahap IV – Kanser merebak ke luar payudara dan babitkan organ lain dalam tubuh
* Tahap I & II – peringkat awal dan boleh disembuhkan.
* Tahap IV – tidak boleh disembuh

Berita Harian X