Ahad, 2 Oktober 2022 | 10:30am
Ubat mengandungi bahan farmaseutikal dan kimia jika dibuang merata berisiko dapat pelbagai masalah kesihatan dan pencemaran alam. - Foto hiasan
Ubat mengandungi bahan farmaseutikal dan kimia jika dibuang merata berisiko dapat pelbagai masalah kesihatan dan pencemaran alam. - Foto hiasan

Sebiji pil semahal beg tangan berjenama mewah

SETIAP kali sakit kebanyakan orang bergegas ke klinik, farmasi atau hospital berjumpa doktor, mendapat rawatan dan mengambil ubat namun, sejauh manakah ubat itu digunakan?

Isu buang ubat termasuk ada yang dibeli sebiji berharga semahal beg tangan jenama mewah, tapi akhirnya tidak dimakan dan dibuang begitu sahaja tanpa melupuskan cara betul hingga menjurus kepada pembaziran.

Isu ini sebenarnya membabitkan aspek perundangan dan kesannya membawa kepada masalah kesihatan penyakit tidak berjangkit. Justeru wajar diberi perhatian kerana ia juga akan memberi implikasi kepada alam sekitar akibat cara pelupusan ubat yang tidak tepat.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi, Siti Hawa Mohd Nor, ubat mengandungi bahan farmaseutikal dan kimia yang jika dibuang merata boleh menyebabkan pelbagai masalah dari segi kesihatan dan berlakunya pencemaran kepada alam sekitar.

Kos melupuskan ubat dianggarkan berjumlah RM10.6 juta atau RM2.12 juta setahun. - Foto hiasan
Kos melupuskan ubat dianggarkan berjumlah RM10.6 juta atau RM2.12 juta setahun. - Foto hiasan

"Pencemaran alam sekitar yang mungkin kita tak rasa sekarang, tetapi pada masa depan akan nampak impaknya daripada apa yang kita buat sekarang.

"Lebih membimbangkan, ubat yang dilupus dengan cara yang tidak betul boleh memberi kesan kepada orang ramai kerana ada ubat tertentu yang mengandungi bahan yang boleh menyebabkan kerosakan sel, menjejaskan fungsi otak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sembang Bersama Pakar bertajuk 'Pelupusan Ubat Yang Betul: Perlu Ke?' disiarkan secara dalam talian anjuran Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (IKRAM Health) dengan kerjasama sebuah hospital.

Program dikendalikan oleh Ketua Seksyen Klinikal Jabatan Farmasi Hospital Sungai Buloh, Dr Syamhanin Adnan selaku moderator turut disertai Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang sebagai ahli panel.

Kos lupus ubat setahun RM2.12 juta

Siti Hawa berkata, pelbagai garis panduan melupuskan ubat sudah dikeluarkan pihak berkaitan antaranya cara menguruskan sisa farmaseutikal pada 2009, garis panduan pengendalian dan pengurusan sisa klinikal pada 2014 dan program pemulangan ubat pada 2016.

Siti Hawa Mohd Nor
Siti Hawa Mohd Nor

Katanya, ramai orang beranggapan apabila dipulangkan lebihan ubat, ia akan digunakan kepada pesakit lain namun pandangan itu tidak tepat sebaliknya ubat terbabit dilupuskan mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Jika orang ramai mengetahui kos ditanggung untuk melupuskan ubat, saya percaya mereka akan lebih menghargai ubat ini sebab perbelanjaannya bukan murah.

"Bagi kos sepanjang 2015 hingga 2019, kos melupuskan ubat ini dianggarkan berjumlah RM10.6 juta bersamaan dengan RM2.12 juta setahun.

"Untuk makluman, syarikat tunggal menguruskan sisa ini di semua fasiliti kerajaan dan swasta adalah Kualiti Alam Sdn Bhd. Kos pelupusan ubat melalui syarikat ini adalah sekitar RM2,760 untuk satu tan dan kos pengangkutan untuk membawa sisa ini ialah RM180 per palet," katanya.

Kesan sampingan lebihan ubat

Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada lebihan ubat ini ialah disebabkan pesakit sudah meninggal dunia, ubat diterima menyebabkan kesan sampingan, perubahan dos pada ubat serta ada pesakit yang tidak memakan langsung ubat diberikan.

Katanya, bagi menangani masalah terbabit, KKM melaksanakan beberapa program antaranya membuka kaunter pemulangan ubat serta program 'patient own medication' (pesakit bawa ubat sendiri).

"Bagi program 'patient own medication', kita minta pesakit membawa ubat mereka sendiri. Jika pesakit ada lebihan ubat di rumah, mereka diminta membawanya dan jika ubat itu tidak cukup, barulah kita beri ubat tambahan.

"Dahulu ketika saya berkhidmat di Hospital Seremban, ada ubat kanser dipulangkan yang mana sebiji harganya mencecah ribuan ringgit, harga ubat ibarat boleh beli beg berjenama mahal. Masyarakat tak nampak perkara ini sebab di fasilitik KKM, ubat diberikan secara percuma," katanya.

Ubat menyebabkan pencemaran

Sementara itu, Amrahi berkata, berdasarkan kajian dilakukan oleh BMC Publis Health pada tahun lalu, sebanyak 84 peratus daripada 1,184 responden menyimpan ubat yang tidak digunakan.

Amrahi Buang
Amrahi Buang

Katanya, sebanyak 25 peratus lagi membuangnya di tong sampah atau lubang tandas dan hanya 27 peratus mengembalikan ubat menerusi program pemulangan ubat.

"Pada pandangan saya dari segi tanggungjawab untuk menguruskan perkara ini, ia perlu membabitkan semua pihak. Mengambil contoh apa akan terjadi kalau ubat antibiotik dibuang ikut suka, beberapa perkara akan berlaku.

"Kalau dibuang dalam tong sampah, maka ia akan berakhir di tempat pelupusan sampah dan jika di sana, ia boleh menyebabkan berlakunya pencemaran.

"Kalau ubat itu dibuat di longkang atau lubang tandas, ia akan pergi ke loji kumbahan dan boleh mengakibatkan kontaminasi kepada sistem air dan akhirnya memberi impak terus kepada manusia, haiwan, hidupan akuatik dan sebagainya.

Beliau berkata, loji kumbahan tidak berupaya merawat sisa kimia dalam air kumbahan dan ia boleh menyebabkan pencemaran sistem pengairan.

"Satu kajian di Jerman, dianggarkan 16,000 tan sisa ini dilupuskan setiap tahun dan daripada jumlah itu, antara 60 hingga 80 peratus dibuang dalam lubang tandas atau tong sampah di rumah.

"Di United Kingdom (UK) pula, kos melupuskan ubat dianggarkan berjumlah antara sehingga 150 juta pound. Jadi apa yang saya ingin sampaikan bahawa impaknya amat besar," katanya.

Justeru, beliau berharap semua pihak termasuk komuniti farmaseutikal dan masyarakat dapat memainkan peranan bagi menangani isu terbabit.

INFO

Cara pengendalian ubat tidak diperlukan:

Langkah 1

*Asingkan ubat melepasi tarikh luput, ubat tak digunakan, ubat yang rosak, berubah bentuk fizikal, warna dan ubat disimpan dalam bekas.

Masukkan ubat diasingkan ke dalam bekas sesuai.

Langkah 2

* Bawa ubat ke farmasi hospital dan klinik kesihatan berhampiran untuk tindakan lanjut.

Langkah 3

* Beri tahu keluarga, kawan, saudara mara dan jiran program pemulangan ubat kepada farmasi

Berita Harian X