Khamis, 29 September 2022 | 10:30am
Pemindahan buah pinggang beri peluang pesakit hidup lama dan menjimatkan belanja berbanding dialisis. - Foto hiasan
Pemindahan buah pinggang beri peluang pesakit hidup lama dan menjimatkan belanja berbanding dialisis. - Foto hiasan

Peluang hidup lebih lama, kurang belanja

BAGI pesakit buah pinggang tahap akhir (ESKD), pilihan rawatan alternatif yang baik adalah dengan melakukan transplan atau pemindahan buah pinggang.

Langkah itu sebagai penawar yang efektif bagi meningkatkan peluang pesakit hidup lebih panjang dan memperbaiki kualiti kehidupan, selain membantu mengurangkan perbelanjaan perubatan jangka panjang.

Bagi pesakit ESKD, kebarangkalian kedua-dua buah pinggang gagal berfungsi boleh berlaku untuk menyingkirkan bahan buangan dan cecair berlebihan daripada tubuh.

Ketua Unit Transplan Renal, Ketua Jabatan Nefrologi dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal di Hospital Selayang, Dr Wong Hin Seng, berkata rawatan dialisis sama ada hemodialisis atau peritoneal dialisis ditetapkan untuk menjalankan fungsi ini secara artifisial.

Katanya, walaupun dialisis boleh menyelamatkan nyawa, ia tidak dapat menggantikan sepenuhnya fungsinya, walaupun salah satu daripada buah pinggang pesakit.

Situasi itu mendedahkan pesakit kepada pelbagai komplikasi kesihatan akibat ESKD dan rawatan dialisis itu seperti keletihan, kekejangan otot, anemia, penyakit tulang renal dan penyakit jantung.

Malah, hanya 52 peratus pesakit di Malaysia menjalani rawatan dialisis masih hidup selepas lima tahun memulakan rawatan itu, sebaliknya jangka hayat melebihi lima tahun bagi pesakit yang menjalani transplan buah pinggang kira-kira 90 peratus.

Jimat masa dan wang

Beliau berkata, kualiti hidup pesakit ESKD yang menjalani rawatan dialisis kemudiannya menerima transplan buah pinggang juga meningkat kerana buah pinggang didermakan mampu menggantikan buah pinggang yang tidak lagi berfungsi.

"Manfaat paling ketara, pesakit (keluarga mereka) tidak perlu lagi merancang kehidupan mereka berdasarkan jadual dialisis pesakit. Bagi pesakit menjalani hemodialisis, mereka perlu meluangkan masa empat jam di pusat hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.

"Bagi pesakit menjalani dialisis peritoneal ambulatori berterusan, perlu menjalani proses dialisis empat kali sehari dengan setiap kali antara 30 hingga 40 minit," katanya.

Malah, bagi pesakit menjalani dialisis peritoneal automatik mungkin menawarkan fleksibiliti paling tinggi berbanding pilihan dialisis lain, mereka masih perlu menjalani prosedur lapan hingga 10 jam setiap hari, biasanya semasa tidur pada waktu malam.

Dr Wong Hin Seng.
Dr Wong Hin Seng.

Pemindahan buah pinggang

Katanya, pemindahan buah pinggang membantu pesakit agar tidak perlu memberikan komitmen tinggi dari segi masa.

Sebaliknya, pesakit yang menerima buah pinggang didermakan hanya perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan sepanjang hayat untuk memastikan tubuh tidak menolak buah pinggang didermakan dan sudah tentunya, mengamalkan gaya hidup sihat.

Dialisis adalah rawatan sepanjang hayat dan boleh membabitkan kos tinggi dalam jangka panjang.

Ada kajian mendedahkan kos tahunan seorang pesakit hemodialisis adalah RM39,790, manakala kos seorang pesakit menjalani dialisis peritoneal ambulatori adalah RM37,576.

Walaupun dua pertiga (67.1 peratus) pesakit dialisis ditaja oleh kerajaan, 14.9 peratus membiayai sendiri, manakala selebihnya dibiayai badan kebajikan (13.2 peratus), majikan (1.3 peratus), insurans (0.5 peratus dan sumber-sumber lain

Perkhidmatan transplan disediakan hospital kerajaan, iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang menerima subsidi tinggi.

Pesakit menjalani pembedahan pemindahan hanya membayar RM1,000 untuk keseluruhan prosedur dan turut diberikan ubat-ubatan imunosupresan yang mahal, sepanjang hayat mereka, secara percuma.

Pesakit tunggu organ daripada penderma

Dr Hin Seng berkata, pendermaan organ di Malaysia mesti sukarela dan tidak boleh dibuat untuk sebarang ganjaran atau pampasan (tunai, harta dan perkembangan kerjaya).

Walaupun majoriti organ hanya boleh diambil daripada penderma yang sudah meninggal dunia, buah pinggang salah satu daripada dua organ boleh didermakan oleh penderma masih hidup (organ yang satu lagi sebahagian daripada hati).

Ini amat penting buat pesakit ESKD kerana jumlah penderma organ sudah meninggal dunia amat sedikit di Malaysia. Data MyKAS (Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia), terdapat 10,278 pesakit ESKD sedang menunggu transplan buah pinggang.

Walaupun, hanya 20 hingga 40 transplan buah pinggang membabitkan penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun, iaitu kira-kira satu dalam sejuta populasi (pmp).

Namun, penderma masih hidup hanya boleh mendermakan salah satu buah pinggang kepada pasangan, saudara tahap pertama atau tahap kedua. Saudara tahap pertama adalah ibu bapa, anak, atau adik beradik kandung.

Saudara tahap kedua adalah datuk atau nenek, cucu, ibu atau bapa saudara, anak saudara atau adik beradik tiri.

Penderma masih hidup juga boleh menderma kepada saudara lebih jauh atau bukan ahli keluarga menjalani penilaian sebuah jawatankuasa bebas yang dilantik oleh KKM, iaitu Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC) KKM sebelum prosedur itu boleh dijalankan.

Organ penderma masih hidup lebih baik

Secara keseluruhannya lebih baik pesakit menerima organ daripada penderma masih hidup yang menjalani penilaian untuk menentukan kesesuaian dan tahap kesihatan sebelum prosedur.

Ini kerana buah pinggang penderma yang meninggal dunia diambil dan disimpan di dalam ais (biasanya selama beberapa jam) sebelum dipindahkan ke dalam tubuh penerima.

Penderma sudah meninggal dunia juga berkemungkinan mengalami kecederaan buah pinggang sebelum pengambilan organ.

Oleh itu, buah pinggang daripada penderma sudah meninggal dunia biasanya mempunyai tahap boleh hidup cantuman (graf) yang lebih rendah, di mana buah pinggang dipindahkan tidak dapat bertahan lama berbanding daripada penderma masih hidup.

Kadar tahunan kehilangan cantuman, pesakit perlu menjalani dialisis semula kerana cantuman itu gagal adalah empat peratus.

Kebarangkalian ini sebenarnya masih baik berbanding pesakit ESKD yang meneruskan dialisis dan tidak menjalani transplan buah pinggang.

Pesakit ESKD yang menerima buah pinggang didermakan mempunyai peluang lebih baik untuk hidup lebih lama dan dengan kualiti hidup lebih baik, berbanding pesakit meneruskan dialisis.

Pesakit itu boleh meneruskan semula kerjaya, tanpa halangan kepada pekerjaan mereka sekiranya masih dalam usia bekerja.

Berita Harian X