Sabtu, 24 September 2022 | 8:13am
Cahaya biru gajet boleh menjejaskan akil baligh awal dan kesuburan - Foto hiasan
Cahaya biru gajet boleh menjejaskan akil baligh awal dan kesuburan - Foto hiasan

Cahaya biru gajet, punca kanak-kanak akil baligh awal, jejas kesuburan

PENDEDAHAN kepada cahaya biru daripada alat peranti atau gajet pada usia muda boleh meningkatkan risiko akil baligh awal dan merosakkan kesuburan mereka.

Kajian mendapati pendedahan kepada cahaya biru daripada telefon dan tablet sewaktu zaman kanak-kanak boleh meningkatkan pengeluaran hormon pembiakan, meningkatkan risiko akil baligh awal serta mengganggu kesuburan pada masa akan datang golongan itu.

Pasukan penyelidik Turki yang membuat uji kaji makmal terhadap tikus, mendapati apabila kerap terdedah kepada cahaya biru ia meningkatkan tahap hormon pembiakan binatang itu.

Keadaan itu menyebabkan tikus mengalami akil baligh lebih awal dan perubahan pada ovari yang berpotensi merosakkan kesuburan.

Penyelidik dari Ankara City Hospital, Turkey, Dr Aylin Kilinç Uğurlu dalam satu kenyataannya menjelaskan pendedahan cahaya biru, mampu mengubah tahap melatonin dan hormon pembiakan serta menyebabkan permulaan akil baligh lebih awal dalam model tikus itu.

Katanya, semakin lama pendedahan itu semakin awal permulaannya.

Sebelum ini, sudah dilaporkan bahaya cahaya biru boleh menjejaskan tidur. Kini pakar bimbang penggunaan gajet yang berleluasa dalam kalangan belia ketika ini juga boleh menjadi lebih berbahaya daripada yang dibayangkan.

Ramai kanak-kanak main gajet

Justeru, cahaya biru gajet juga boleh menjelaskan lonjakan dalam akil baligh sebelum matang apabila kanak-kanak melalui akil baligh.

Ini yang dikhuatiri kerana ketika wabak COVID-19 berjuta-juta kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa untuk menatap skrin gajet setiap hari.

Akil baligh awal sebelum juga dikaitkan dengan kadar kemurungan dan kebimbangan yang lebih tinggi sepanjang hayat, kanser payudara dan rahim.

Penyelidik yang membentangkan penemuan mereka di Mesyuarat Tahunan Persatuan Endokrinologi Pediatrik Eropah ke-60, mengumpulkan 18 tikus betina untuk kajian itu.

Tikus itu dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu, salah satu diletakkan pada kitaran cahaya biasa, manakala dua lagi terdedah kepada sama ada enam atau 12 jam cahaya biru setiap hari.

Dalam kedua-dua kumpulan cahaya biru, akil baligh berlaku dengan ketara lebih awal daripada apa yang dijangkakan.

Malah, tikus dalam kumpulan 12 jam mempunyai akil baligh lebih awal daripada kumpulan enam jam, menunjukkan kaitan antara peningkatan pendedahan cahaya biru dan masa akil baligh.

Tikus dalam dua kumpulan cahaya biru juga menunjukkan paras estradiol dan hormon pembiakan luteinisasi yang tinggi, yang konsisten dengan permulaan akil baligh.

Selain itu, perubahan fizikal dalam tisu ovari tikus turut diperhatikan oleh pasukan penyelidik.

Cahaya biru beri kesan samping

Penyelidik tidak pasti sejauh mana penemuan ini konsisten dengan manusia, tetapi ia masih menunjukkan potensi risiko yang boleh dibawa oleh peranti yang sentiasa dijadikan aktiviti seharian itu.

Uğurlu berkata, memandangkan ini kajian tikus, mereka tidak dapat memastikan bahawa penemuan ini akan direplikasi pada kanak-kanak, tetapi data ini mencadangkan pendedahan cahaya biru boleh dianggap sebagai faktor risiko untuk permulaan akil baligh yang lebih awal.

Dalam perkembangan sama, tikus dalam kajian itu juga didapati mempunyai tahap melatonin yang lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka, selaras dengan bahaya cahaya biru terhadap tidur manusia.

Justeru, penyelidik bimbang generasi kanak-kanak kecil yang dibesarkan dalam dunia di mana peranti hampir digunakan setiap masa akan menyebabkan kadar akil baligh sebelum kematangan sekali gus ia membawa banyak kesan sampingan negatif.

Akil baligh awal

Kadar akil baligh awal pada gadis muda hari ini semakin meningkat dan sudah berlaku beberapa dekad.

Umpamanya, purata umur akil baligh di Amerika Syarikat (AS) juga menurun daripada umur biasa yang diiktiraf secara biologi, iaitu 10 ke 12 tahun untuk wanita.

Kanak-kanak perempuan kulit hitam dan Hispanik biasanya mengalami akil baligh lebih awal secara purata.

Ada pendapat lain sebelum ini, ia berpunca daripada gaya hidup zaman kanak-kanak dan ada teori ia dikaitkan dengan ketidakseimbangan hormon tertentu.

Terdapat juga keburukan jangka panjang seperti kaitan antara akil baligh awal dan kanser yang kini sedang meningkat serta pengalaman traumatik disebabkan kanak-kanak perempuan membesar terlalu cepat. - Agensi

INFO: Guna gajet berlebihan beri kesan negatif kepada mata, antaranya:

* Mata kering

* Peningkatan rabun jauh

* Sensitif terhadap cahaya.

* Juling

* Mata kerap berair secara berlebihan

* Kerosakan saraf mata akibat pendedahan cahaya biru daripada gajet

* Kerap mengadu sakit kepala atau mata sakit atau penat

* Sukar menganggar jarak.

* Melihat objek menjadi dua (double vision)

Berita Harian X