Khamis, 15 September 2022 | 9:10am
Lebih awal menopaus, risiko wanita mendapat penyakit tanpa disedari jadi pembunuh dalam senyap. - Foto hiasan
Lebih awal menopaus, risiko wanita mendapat penyakit tanpa disedari jadi pembunuh dalam senyap. - Foto hiasan

Menopaus awal berisiko hidap penyakit jantung

MUNGKIN bagi sesetengah wanita fasa menopaus saat paling membimbangkan kerana mungkin diri sudah tidak mampu mempamerkan kemampuan dalam beberapa aspek termasuk dari segi kesihatan reproduktif.

Yang ditakuti juga adalah lebih awal menopaus, lebih cepat risiko wanita untuk mendapat penyakit yang tanpa disedari menjadi pembunuh dalam senyap.

Hakikatnya, fasa menopaus pasti ditempuhi semua wanita, namun ia bukan bermaksud berakhirnya perjalanan detik reproduktif mereka.

Sekumpulan penyelidik di Korea memberi amaran wanita yang lebih awal menopaus berisiko lebih tinggi mempunyai penyakit yang membunuh dalam senyap.

Ini kerana kajian terhadap lebih 1.4 juta wanita mendapati semakin muda usia menopaus, semakin tinggi risiko kegagalan jantung.

Usia 45 hingga 55 tahun adalah umur bagi kebanyakan wanita mengalami menopaus, iaitu apabila tempoh haid berhenti selama setahun.

Namun, ada sesetengah wanita mempunyai gejala itu sepanjang fasa itu selama bertahun-tahun sebelum tibanya detik pramenopaus dan selepas tempoh menopaus.

Hadapi masalah kegagalan jantung

Mengikut kajian itu, menopaus awal dikesan pada usia sebelum 45 tahun dan dianggap pramatang sebelum umur 40 tahun.

Kajian terdahulu yang dibuat juga menemui hubungan antara menopaus awal dengan penyakit kardiovaskular.

Kajian dilakukan penyelidik di Kolej Perubatan Universiti Korea, Seoul dan data dikumpul daripada Sistem Insurans Kesihatan Kebangsaan Korea (NHIS), membabitkan kira-kira 1.4 juta wanita berusia lebih 30 tahun dan pasca menopaus itu, mendapati dua peratus daripadanya melalui fasa 'perubahan' lebih awal.

Tahap kesihatan mereka dikaji dalam tempoh 10 tahun, di mana tiga peratus daripada jumlah itu didapati mengalami kegagalan jantung.

Sebanyak 3.2 peratus lagi didiagnosis dengan fibrilasi atrium atau degupan jantung tidak teratur dan kadar degupan laju secara tidak normal.

Dapatan kajian juga menunjukkan wanita yang mengalami menopaus pramatang mempunyai 33 peratus lebih tinggi risiko kegagalan jantung, manakala sembilan peratus lebih tinggi risiko fibrilasi atrium berbanding mereka yang tidak melalui keadaan berkenaan.

Ia selepas mengambil kira faktor yang mungkin menyumbang kepada masalah jantung termasuk merokok dan obesiti.

Wanita mengalami menopaus pramatang harus sedar bahawa mereka mungkin lebih berisiko mengalami kegagalan jantung atau fibrilasi atrium berbanding rakan sebaya yang lain.

Justeru, keadaan ini mungkin motivasi yang baik untuk menambah baik gaya hidup dengan berhenti merokok dan lebih aktif bersenam.

Risiko menghidapi penyakit adalah :

* Usia 40 tahun : Kegagalan jantung (39 peratus), manakala fibrilasi arteri (11 peratus).

* Usia antara 40 hingga 44 tahun: Kegagalan jantung (23 peratus) dan fibrilasi arteri (10 peratus).

* Usia antara 45 hingga 49 tahun: Kegagalan jantung (11 peratus) dan fibrilasi arteri (empat peratus).

Bagaimanapun, wanita yang lebih berusia mereka kecenderungan alami masalah jantung adalah rendah kerana hormon seks estrogen wanita melindungi jantung.

Sehubungan itu, penyelidik Korea menganggap penurunan mendadak dalam estrogen pada usia lebih awal mempercepatkan risiko penyakit jantung.

Selain itu, ada tanggapan penyakit jantung banyak menyerang lelaki menyebabkan sebilangan wanita mengabaikan penjagaan jantung.

Untuk kajian pada masa depan sejarah reproduktif harus dipertimbangkan secara rutin sebagai tambahan kepada faktor risiko tradisional seperti merokok apabila mengkaji risiko kemurungan, kegagalan jantung dan fibrilasi atrium, pada masa depan.

Sementara itu, mengikuti portal rasmi Kementerian Kesihatan, Myhealth, wanita akan melalui gejala tertentu untuk tempoh masa tertentu sebelum mereka mencapai menopaus seperti perubahan emosi, hormon dan badan panas (hot flushes) serta berpeluh.

Bagi mengurangkan simptom menopaus ada dua rawatan hormon, meliputi estrogen dan progestin. Fungsi estrogen adalah untuk mengurangkan simptom itu, manakala progestin berfungsi menghindar kanser berlaku semasa pengambilan estrogen.

Bagi pesakit yang tidak lagi mempunyai rahim (sudah melakukan pembedahan hysterectomy), estrogen saja memadai sebagai rawatan hormon (RH).

The Women's Health Inititive (WHI) adalah kajian yang paling besar pernah dilakukan untuk melihat kebaikan dan risiko serangan sakit jantung kepada wanita pasca menopaus yang mengambil RH.

Dalam kajian didapati, bagi mereka yang mengambil estrogen dan progestin; risiko serangan sakit jantung, kanser payu darah, darah beku dalam pembuluh darah dan strok meningkat sedikit jikalau RH diberi pada pesakit yang lebih tua (60 tahun ke atas).

Bagi yang hanya mengambil estrogen sahaja, risiko kanser payudara dan serangan sakit jantung tidak meningkat.

Mengenai serangan sakit jantung, masalah ini lebih berkaitan dengan usia pesakit.

Kajian mendapati risiko RH dan serangan sakit jantung tidak meningkat jika menopaus kurang daripada 10 tahun sebelum memulakan rawatan itu bagi mereka yang berusia 50 hingga 59 tahun ketika mengambil RH.

Bagi wanita yang berusia lebih 60 tahun atau menopaus lebih daripada 10 tahun (baru mula ubat RH) akan menpunyai risiko lebih tinggi mendapat serangan sakit jantung.- Agensi

Info:

Mengenai menopaus

* Satu keadaan, ovari berhenti berfungsi (tidak mengeluarkan telur) dan wanita berhenti mengeluarkan darah haid.

* Berlaku pada wanita berumur antara 45 -55 tahun.

* Wanita dikatakan pasca menopaus jika haid berhenti lebih daripada 12 bulan.

Tanda menopaus

* Hormon estrogen dalam badan akan berkurangan

* Menghasilkan simptom vasomotor seperti merasa 'panas' (hot flushes)

* Sakit otot dan sengal sendi

* Sukar tidur dan rasa resah

* Kurang daya ingatan

* Kering bahagian faraj

* Lemah lesu

* Perubahan emosi yang tidak menentu

Berita Harian X