Selasa, 9 Ogos 2022 | 11:03am
KKM sedia Program Imunisasi Kebangsaan membolehkan bayi, kanak-kanak dapatkan suntikan vaksin.
KKM sedia Program Imunisasi Kebangsaan membolehkan bayi, kanak-kanak dapatkan suntikan vaksin.

5 penyakit berjangkit kerap serang kanak-kanak

SALAH satu punca utama mengakibatkan kematian kanak-kanak adalah disebabkan penyakit berjangkit kerana sistem imun atau daya tahan mereka melawan jangkitan masih lemah.

Penyakit berjangkit seperti cacar berjaya dihapuskan di seluruh dunia, manakala jangkitan penyakit lain dapat dikurangkan dalam tempoh 50 tahun yang lalu melalui pelaksanaan vaksin.

Malangnya, pada tahun 2020, terdapat penurunan yang ketara dalam pengambilan vaksin kanak-kanak disebabkan oleh perintah berkurung dan sekatan pergerakan yang dijalankan di seluruh dunia.

Vaksinasi kanak-kanak penting dalam membantu melindungi anak daripada penyakit berjangkit agar dapat menjalani kehidupan yang kekal sihat dan selamat bersama keluarga dan masyarakat.

Program Imunisasi Kebangsaan

Malaysia sudah lama menyediakan perkhidmatan imunisasi percuma untuk kanak-kanak bagi tujuan mencegah penyakit berjangkit.

Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) diperkenalkan pada awal 1950an dan kemudiannya diikuti oleh Program Perkembangan untuk Imunisasi (EPI) pada tahun 1989.

Kini, Malaysia menyediakan imunisasi terhadap 13 penyakit utama kanak-kanak. Melalui program ini, bayi dan kanak-kanak diberikan vaksin untuk membantu menguatkan sistem imun mereka dengan merangsang sel pertahanan.

Malaysia menyediakan imunisasi terhadap 13 penyakit utama kanak-kanak. - Foto/NSTP
Malaysia menyediakan imunisasi terhadap 13 penyakit utama kanak-kanak. - Foto/NSTP

Dengan itu, kanak-kanak dilindungi dari komplikasi yang disebabkan oleh penyakit yang boleh mengancam nyawa. Pakar perubatan mengesyorkan ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penyakit lain kanak-kanak hingga boleh mengancam nyawa.

Pakar Perunding Pediatrik dan Ketua Jabatan Pediatrik dari Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Rakhee Yadav, berkata vaksin tambahan yang disyorkan untuk melindungi bayi dan kanak-kanak adalah penting kerana ada lima penyakit yang kerap menyerang golongan itu.

Justeru, vaksin terhadap penyakit ini tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.

1. Rotavirus

Sejenis virus amat mudah dijangkiti kanak-kanak sebelum atau pada usia lima tahun. Virus ini menjangkiti usus dan menyebabkan cirit-birit dan muntah yang teruk.

Di Malaysia, kira-kira 22 hingga 50 peratus daripada kes cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh Rotavirus

2. Cacar air

Jangkitan akan menyebabkan ruam, kulit melepuh dan kegatalan yang tidak selesa. Penyakit ini sangat mudah berjangkit kerana ia merebak melalui sentuhan dan cecair pernafasan.

Vaksin terhadap virus Varicella Zoster ini akan mengurangkan risiko penularan dan komplikasi yang lebih serius.

Virus Influenza (yang juga dikenali sebagai flu) ini berbeza dari selesema biasa kerana ia boleh menyebabkan jangkitan teruk pada salur pernafasan termasuk tekak, hidung dan paru-paru.

Virus Influenza boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. - Gambar hiasan
Virus Influenza boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. - Gambar hiasan

Gejala yang akan dialami termasuk demam, sakit tekak, sakit sendi serta otot dan kelesuan. Kegagalan mendapatkan rawatan bagi kesan virus influenza boleh menyebabkan anak berhadapan risiko seperti pneumonia (radang paru-paru), penyakit paru-paru dan masalah jantung.

4. Hepatitis A

Disebabkan oleh virus Hepatitis A, yang boleh dijangkiti melalui air atau makanan yang dicemari najis yang mengandungi virus Hepatitis A.

Penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi seperti sakit perut, bengkak pada hati dan demam kuning atau jaundice.

5. Meningococcal

Membabitkan sejenis jangkitan bakteria yang menyebabkan radang pada lapisan otak dan saraf tunjang. Penyakit ini biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, namun lima hingga 10 peratus yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit.

Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, antara komplikasi yang boleh berlaku adalah masalah sistem saraf seperti lumpuh, pekak dan boleh menyebabkan kematian.

5. Meningococcal

Justeru, Dr Rahkee menekankan lima penyakit yang disebutkan itu tidak mempunyai rawatan khusus untuk merawatnya.

Oleh itu, langkah pertahanan terbaik untuk melindungi anak anda daripada penyakit adalah adalah dengan pencegahan melalui vaksin.

Tambah beliau, penyakit itu mudah menular di pusat asuhan kanak-kanak dan sekolah. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan lima vaksin tambahan tersebut bagi bayi dan kanak-kanak.

"Biasanya kanak-kanak akan mengalami demam, sakit pada tempat suntikan dan kelesuan selepas vaksinasi.

"Ketidakselesaan ini adalah sementara tapi faedahnya berjangka panjang," katanya.

Dapatkan vaksin tambahan

Dr Rakhee berkata, KKM melalui Program Imunisasi Kebangsaan sudah menyediakan perlindungan yang menyeluruh kepada masyarakat dan rakyat Malaysia dalam langkah mencegah penyakit.

Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan supaya anak-anak mendapat vaksin tambahan yang disyorkan bagi memaksimumkan perlindungan terhadap penyakit.

Jadual Imunisasi tambahan disediakan sebagai garis panduan untuk ibu bapa membuat pilihan sama anak perlu melengkapkan kesemua vaksin tambahan ataupun tidak.

Untuk mendapatkan perundingan lanjut mengenai kesesuaian mana-mana vaksin untuk anak dan cara pencegahan penyakit berbahaya, segeralah berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak.

Yang pasti, penjagaan kesihatan anak dan orang sekeliling penting. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Berita Harian X