Ahad, 19 Jun 2022 | 11:43pm
Neuroblastoma boleh didiagnosis sejak lahir dengan usia paling lazim antara dua hingga tiga tahun. - Gambar hiasan
Neuroblastoma boleh didiagnosis sejak lahir dengan usia paling lazim antara dua hingga tiga tahun. - Gambar hiasan

Barah saraf serang kanak-kanak

FAKTOR pemakanan ibu sewaktu hamil bukan satu daripada punca anak yang dikandung menghidap neuroblastoma, iaitu kanser sistem simpatetik.

Malah, ia juga tiada kaitan dengan gaya hidup atau penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Statistik menunjukkan 30 orang pesakit kanak-kanak menghidap neuroblastoma setiap tahun di Malaysia.

Mengulas mengenainya, Pakar Hematologi dan Onkologi Pediatrik Hospital Tunku Azizah, Dr Teh Kok Hoi, berkata kanser ini tumbuh daripada sel yang bakal membentuk sistem saraf simpatetik.

Katanya, neuroblastoma boleh bermula sejak lahir lagi dengan usia paling lazim antara dua hingga tiga tahun.

Dr Teh Kok Hoi.
Dr Teh Kok Hoi.

Penyakit ini jarang berlaku selepas kanak-kanak berusia 10 tahun. Ketumbuhan neuroblastoma paling kerap berlaku membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Simptom kanser Dr Teh berkata, kanser ini berasal daripada sel primitif atau pra-matang yang dipanggil neuroblast.

Sel ini terdapat di beberapa kawasan dalam badan seperti kelenjar adrenal di atas ginjal kiri dan kanan dan di sepanjang rantaian simpatetik di kiri kanan tulang belakang.

"Akibat mutasi genetik, sel ini membiak di luar kawalan sehingga terbentuk ketumbuhan atau tumor," katanya.

Mengulas tentang cara mengesan atau mengenal pasti penyakit yang dideritai kanakkanak ini, beliau berkata ia bergantung kepada tempat timbulnya ibu kanser seperti kelenjar adrenal dengan bengkak di bahagian perut.

"Pakar perubatan juga akan melihat simptom terjadinya bengkak di leher, sekiranya kanser timbul daripada ganglion simpatetik di situ.

Selain itu, pesakit mungkin kelihatan lemah anggota atau lumpuh atau mengadu sakit belakang sekiranya saraf utama atau saraf tunjang tertekan.

"Jika sudah merebak ia bergantung pula kepada organ yang terjejas seperti hati dengan bengkak di bahagian perut atau lebam di sekeliling mata (raccoon eyes)," katanya.

Katanya, pesakit juga mungkin demam berpanjangan tanpa sebab selain susut berat badan. Rawatan untuk kanser Mengulas lanjut ber kenaan kaedah rawatan untuk kanser neuroblastoma.

Beliau berkata, ia bergantung kepada stratifikasi pesakit, iaitu sekiranya risiko rendah dengan memantau keadaan tumor dan pesakit itu sendiri sahaja.

"Seterusnya risiko sederhana di mana pesakit akan diberikan ubat kemoterapi, pembedahan, radioterapi dan ubat isotretinoin (untuk mematangkan saki baki sel kanser daripada neuroblastoma ke Ganglioneuroblastoma ke Ganglioneuroma).

"Bagi pesakit kanser risiko tinggi, ubat kemoterapi (pelbagai jenis ubat akan digunakan untuk mematikan sel kanser yang sudah merebak ke sumsum dan tulang), pembedahan, high dose chemotherapy and autologous stem cell rescue, radioterapi, dan imunoterapi diperlukan," katanya.

Beliau berkata, pembedahan juga dilakukan untuk mengeluarkan ibu ketumbuhan itu.

"Bagi pesakit yang berada dalam kumpulan berisiko rendah, kemungkinan hanya rawatan ini diperlukan sahaja.

"Sama ada ketumbuhan dapat dibuang sepenuhnya atau tidak akan bergantung kepada saiz dan lokasinya. "Ketumbuhan yang terletak berdekatan dengan atau melekat kepada organ atau struktur penting mungkin dibuang sepenuhnya.

"Dalam kes seperti ini pakar bedah akan membuang sebanyak tumor yang mungkin. Selepas itu kaedah lain seperti kemoterapi dan radioterapi akan digunakan untuk membunuh sel-sel kanser yang masih tertinggal," katanya.

Peluang sembuh

Beliau berkata, dari segi peluang untuk sembuh, 90 peratus pesakit kanser neuroblastoma dalam ka tegori risiko rendah dapat sembuh dengan adanya pemantauan daripada pakar perubatan.

"Bagi pesakit kategori risiko sederhana peluang sembuh adalah 80 peratus manakala untuk pesakit kategori risiko tinggi, peluangnya hanya 25 peratus tanpa imunoterapi.

"Oleh itu, pentingnya kesedaran daripada seluruh keluarga terutama ibu bapa untuk mengesan sebarang simptom yang dialami oleh anak-anak mereka. "Kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit ini dilihat sangat rendah," katanya.

Tiada cara bagi mengelak penyakit ini, namun rawatan perlu dimulakan dengan kadar segera dengan tidak melengahkan masa," katanya.

Info;

Mengenai neuroblastoma

* Barah paling utama ditemui dalam kalangan bayi.

Simptom neuroblastoma

* Benjolan atau pembengkakan pada perut anak yang tidak rasa sakit

* Wajah, kaki, leher atau dada bagian atas bengkak

* Susah bernafas atau menelan makanan

* Penurunan berat badan tanpa penyebab jelas

* Buang air kecil bermasalah

* Kelopak mata terkulai dan anak mata mengecil pada satu mata

* Tidak mampu gerakan tubuh tertentu

* Mata tampak menonjol

Kaedah rawatan

* Rawatan berbeza-beza mengikut umur

* Tahap penyakit dan kehadiran atau ketidakhadiran beberapa faktor ramalan terutama pada kromosom dan gen

* Pembedahan

* Kemoterapi

* Radioterapi

Berita Harian X