Ahad, 13 Februari 2022 | 11:02am
Implan koklea mampu bantu kanak-kanak mendengar, belajar bertutur dan berkomunikasi. - Gambar hiasan
Implan koklea mampu bantu kanak-kanak mendengar, belajar bertutur dan berkomunikasi. - Gambar hiasan

Telinga bionik beri harapan baharu

TIDAK terkejut atau terjaga ketika mendengar bunyi kuat, tiada tindak balas konsisten terhadap bunyi, tidak mengendahkan nama ketika dipanggil, gagal bertutur mengikut umur yang sepatutnya, dan kurang tumpuan antara tanda-tanda seseorang kanak-kanak mengalami kecacatan pendengaran.

Masalah pendengaran bukan perkara remeh. Kajian mendapati tiga bayi dalam 1,000 kelahiran bermasalah pendengaran dan jumlah ini bertambah sekiranya bayi mempunyai faktor risiko yang lebih tinggi untuk mendapat itu.

Pengesanan awal terhadap masalah pendengaran sangat penting supaya bayi dan kanak-kanak mempunyai peluang bertutur secara verbal, seterusnya boleh memasuki sekolah aliran perdana dan meluaskan peluang pekerjaan ketika dewasa.

Namun, masalah pendengaran bukan pengakhir kehidupan. Sejajar dengan kepesatan teknologi perubatan, masalah kecacatan pendengaran boleh diatasi dengan pembedahan implan koklea.

Implan koklea atau nama popularnya 'telinga bionik' satu daripada kaedah terkini membantu individu mempunyai kecacatan pendengaran, termasuk bayi dan kanak-kanak.

Implan koklea adalah peranti yang dimasukkan ke dalam koklea pesakit melalui pembedahan bagi membolehkan pesakit mendengar.

Alat canggih dan berteknologi tinggi ini mampu membantu individu bermasalah pendengaran untuk mendengar dan mengenal pasti bunyi, seterusnya membantu mereka belajar bertutur dan berkomunikasi.

Kecacatan pendengaran terbahagi mengikut jenis dan tahap, iaitu konduktif, sensorineural atau campuran, tahap ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk.

Implan koklea dikhususkan untuk individu yang mempunyai kecacatan pendengaran jenis sensorineural pada tahap teruk dan sangat teruk.

Perbezaan alat bantu pendengaran dan implan koklea

Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi) Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Siti Aminah Kamaludin, berkata masyarakat perlu memahami perbezaan antara fungsi implan koklea dengan alat bantu pendengaran konvensional.

Katanya, alat bantu pendengaran konvensional berfungsi menguatkan bunyi, sel rerambut di koklea akan mengesan bunyi dan menghantar impuls elektrik ke saraf pendengaran, manakala implan koklea menggantikan fungsi koklea yang rosak bagi memproses bunyi untuk dihantar ke otak.

"Pemproses bunyi akan menukarkan isyarat akustik bunyi kepada isyarat elektrik yang akan dihantar ke bahagian implan.

Pengesanan awal mengenai gejala masalah pendengaran boleh lakukan rawatan segera. - Gambar hiasan
Pengesanan awal mengenai gejala masalah pendengaran boleh lakukan rawatan segera. - Gambar hiasan

"Implan di koklea menghantar isyarat elektrik ke spiral ganglion dan transmisi elektrik akan melalui saraf auditori yang kemudiannya akan ditafsirkan oleh otak.

Pemilihan calon implan koklea adalah persetujuan bersama profesional perubatan dan keluarga.

Siti Aminah berkata, pemasangan implan koklea pada seseorang pesakit perlu mendapatkan pandangan dan persetujuan dari kesemua profesional perubatan berkaitan, termasuk Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Audiologis, Terapis Pertuturan, pakar lain termasuk radiologi, neurologi, psikiatri, psikologi dan pegawai kerja sosial perubatan.

Ia mengambil kira demografi dan keperluan pesakit, perkembangan pesakit sebelum dan selepas pemasangan implan koklea. Ada beberapa proses perlu dilalui pesakit sebelum menjalani pembedahan implan koklea.

"Pemilihan pesakit implan koklea berdasarkan pandangan ahli dan pakar perubatan, selain kesediaan, komitmen ibu bapa serta keluarga untuk bersama memastikan anak mencapai perkembangan sebaiknya selepas pembedahan implan koklea." katanya.

Punca masalah pendengaran

Kira-kira 90 peratus kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran kekal ini adalah daripada ibu bapa normal (tiada masalah pendengaran).

Justeru, ibu bapa sangat mengharapkan anak boleh berkomunikasi dan bertutur.

Antara penyebab masalah pendengaran ialah bawaan dan mutasi genetik, jangkitan ibu semasa mengandung seperti Rubella dan cytomegalovirus, jaundis atau demam kuning yang teruk pada bayi, kecacatan struktur telinga, kepala dan leher serta ubatan ototoksik.

Faktor genetik antara punca kecacatan pendengaran boleh dikenal pasti jika ada kecacatan pendengaran dalam kalangan ahli keluarga.

Siti Aminah Kamaludin.
Siti Aminah Kamaludin.

"Namun, dalam kes tiada kecacatan pendengaran pada ahli keluarga, puncanya disebabkan oleh genetik sukar untuk dikenal pasti, melainkan ujian genetik dilakukan kepada semua bayi dan kanak-kanak yang ada kecacatan itu," katanya.

Pantau perkembangan pendengaran, pertuturan anak sejak awal

Siti Aminah berkata, kecacatan pendengaran boleh dikesan awal melalui saringan pendengaran dilakukan seawal bayi baru lahir.

Mengesan awal keupayaan pendengaran penting supaya perkembangan pertuturan, kognitif, sosial dan interaksi kanak-kanak boleh menyamai rakan sebaya.

Jangan terlepas 'usia emas' bayi dan kanak-kanak. Ketika itu perkembangan otak pesat berlaku dari dalam kandungan sehingga usia dua tahun. Otak banyak belajar mengenai dunia sekeliling melalui deria pendengaran dan penglihatan.

"Pemerolehan bahasa dan pertuturan mencapai kepesatan sama seiring kedua-dua deria itu.

Jika tidak dirawat pada 'usia emas' peluang untuk berkomunikasi secara pertuturan verbal menjadi tipis.

"Pengesanan dan rawatan awal amat penting bagi menggalakkan pergaulan dan komunikasi kanak-kanak dengan rakan sebaya di sekolah sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan membantu kecemerlangan akademik," katanya.

Kecacatan pendengaran adalah tersembunyi. Justeru, amat penting ibu bapa membawa anak mendapatkan ujian pendengaran dan rawatan secepat mungkin supaya mencapai peluang lebih baik untuk masa depannya.

Info:

Mengenai implan koklea

* Peranti dimasukkan ke dalam koklea melalui pembedahan supaya dapat mendengar.

* Meliputi pemproses bunyi dan elektrod yang diimplan di koklea.

Tahap Pendengaran:

* Tahap pendengaran normal: 0-20dB

* Rendah (25-40dB)

* Sederhana (45-65dB)

* Teruk (70-90dB)

* Sangat Teruk (melebihi 90dB)

Berita Harian X