Ahad, 16 Januari 2022 | 10:30am
Tiga daripada 10 rakyat Malaysia menderita hipertensi mengalami tekanan darah tinggi. - Gambar hiasan
Tiga daripada 10 rakyat Malaysia menderita hipertensi mengalami tekanan darah tinggi. - Gambar hiasan

Hidap penyakit 'tersembunyi'

TIGA daripada 10 rakyat Malaysia menderita hipertensi mengalami tekanan darah tinggi, namun hanya separuh daripada mereka sedar mereka menghidap penyakit 'tersembunyi' ini.

Walaupun 90 peratus daripada pesakit yang tahu mereka menghidap hipertensi mengambil ubat-ubatan, hanya separuh dapat mengawal tekanan darah mereka dengan baik.

Ini bermakna kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi tidak terkawal sama ada kerana tidak sedar mereka menghidap penyakit ini atau tidak mendapat terapi yang optimum.

Keadaan itu, seterusnya mendedahkan mereka kepada komplikasi seperti serangan jantung, strok dan pelbagai penyakit jantung lain.

Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja Penyahsarafan Renal Malaysia (MyRDN), Prof Datin Dr Chia Yook Chin berkata, penyahsarafan renal boleh membantu merawat sesetengah pesakit hipertensi.

"Sebagai contoh, mereka yang mengalami hipertensi rintangan, sering tidak dapat mematuhi rutin pengambilan ubat-ubatan walaupun sudah menerima nasihat dan kaunseling atau mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan untuk penyakit komorbiditi lain.

"Penyahsarafan renal adalah sejenis prosedur invasif minimum di mana gelombang frekuensi radio disasarkan pada saraf simpatetik renal (buah pinggang) untuk mengurangkan aktivitinya yang menyumbang kepada masalah hipertensi.

"Ia dijalankan di bawah anestesia dan sedatif, dan pesakit biasanya dibenarkan pulang sehari selepas menjalani prosedur itu," katanya.

Keputusan awal dari ujian percubaan klinikal yang sedang dijalankan menunjukkan pesakit hipertensi tidak terkawal yang mengambil satu hingga tiga ubat-ubatan antihipertensi mengalami penurunan tekanan darah sistolik sebanyak 9.0 mmHg dan penurunan tekanan darah diastolik sebanyak 6.0 mmHg (diukur secara berterusan dalam tempoh 24 jam melalui pengawasan ambulatori) enam bulan selepas menjalani prosedur itu.

Mengawal tekanan darah tinggi

Pengerusi bersama MyRDN dan ahli majlis Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Dr Ong Tiong Kiam berkata, penyahsarafan renal adalah sejenis prosedur selamat dan agak ringkas, namun penting untuk menguruskan jangkaan pesakit mengenai hasilnya.

Penurunan tekanan darah secara berperingkat, dalam masa beberapa bulan dan pesakit masih perlu meneruskan pengambilan ubat-ubatan seperti biasa sebaik saja menjalani prosedur itu.

Dalam jangka panjang, pesakit boleh mengawal tekanan darah mereka dengan lebih baik, walaupun mereka mungkin tidak akan dapat menghentikan terus pengambilan ubat-ubatan antihipertensi.

Manfaat kaedah ini adalah penurunan risiko kerosakan organ dan penyakit jantung seperti serangan jantung dan strok akibat hipertensi tidak terkawal."

Penyahsarafan renal ini perlu mengetahui pengubahsuaian gaya hidup dan ubat-ubatan antihipertensi masih perlu diteruskan untuk merawat tekanan darah tinggi.

Penyahsarafan renal berfungsi sebagai rawatan tambahan untuk mengekalkan penurunan tekanan darah tinggi bagi pesakit memenuhi kriterianya.

Berita Harian X