Jumaat, 7 Januari 2022 | 11:00am
Rawatan kanser, imunoterapi berfungsi memanfaatkan sistem imun pesakit untuk melawan kanser. - Gambar hiasan
Rawatan kanser, imunoterapi berfungsi memanfaatkan sistem imun pesakit untuk melawan kanser. - Gambar hiasan

Imunoterapi rawatan melawan kanser

PERJUANGAN melawan kanser mengambil masa panjang bagi pesakit yang menderita penyakit itu.

Di Malaysia, hampir sembilan daripada 10 orang pesakit kanser paru-paru didiagnosis pada peringkat akhir.

Kanser paru-paru sejenis kanser yang boleh membawa maut kerana diagnosis di peringkat akhir lazimnya dikaitkan dengan kadar kelangsungan hidup yang lebih rendah.

Bagi pesakit menghidap kanser di peringkat lanjutan, peluang untuk sembuh sangat tipis, justeru rawatan ditetapkan bertujuan mengawal tumor dan melegakan simptom.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Respiratori, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Liam Chong Kin, dengan adanya rawatan sesuai, wujud harapan baru kerana jangka hayat mereka dapat dipanjangkan.

Rawatan kanser terkini ini dikenali sebagai imunoterapi, yang berfungsi memanfaatkan sistem imun pesakit untuk melawan kanser.

Dengan imunoterapi, ramai pesakit kanser paru-paru di peringkat lanjutan mula menyaksikan kelegaan yang lama dan kadar kelangsungan hidup lebih panjang.

"Bagi sesetengah orang, tambahan jangka hayat selama beberapa bulan mungkin tidak begitu bermakna untuk mereka, tetapi untuk yang lain, ia nikmat yang sangat berharga.

"Sesetengah pesakit mengambil peluang ini untuk menjalani kehidupan sepenuhnya, meluangkan masa bersama keluarga melakukan perkara yang mereka sukai.

"Walaupun imunoterapi dialu-alukan sebagai salah satu kejayaan terbesar dalam bidang onkologi oleh banyak pihak, ia masih tidak terdapat di hospital awam di Malaysia.

"Ia belum lagi disenaraikan dalam Formulari Ubat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang juga dikenali sebagai Buku Biru. Ini bermakna pesakit mengalami masalah kewangan atau pesakit tidak mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi mungkin tidak boleh menerima rawatan imunoterapi yang mereka perlukan," katanya.

Bertahan hidup lebih lama

Mempunyai akses kepada rawatan kanser yang boleh menyelamatkan nyawa harus menjadi hak dan bukan keistimewaan.

Justeru, katanya KKM wajar mengkaji kemungkinan untuk mewajibkan akses imunoterapi.

Akses yang lebih luas kepada rawatan yang efektif dan inovatif bukan hanya bermanfaat tetapi sangat diperlukan terutama golongan kurang berkemampuan.

Ini khususnya untuk penyakit seperti kanser paru-paru yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, jantina dan tabiat gaya hidup.

Malah, kajian menunjukkan mereka yang tidak pernah merokok seumur hidup juga boleh menghidapi kanser paru-paru.

Dr Chong Kin berkata, beban penyakit juga dianggap tinggi kerana kadar bertahan hidup relatif lima tahun untuk kanser paru-paru hanya serendah 11 peratus, iaitu yang terendah di antara semua jenis kanser di Malaysia dengan masa bertahan hidup median hanya 6.8 bulan.

"Oleh itu, rawatan kanser paru-paru harus dilihat sebagai satu keutamaan negara.

"Ini penting untuk menjadikan penjagaan kesihatan yang berkualiti boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat supaya Malaysia boleh menjadi negara yang lebih inklusif.

"Saya percaya dengan meluaskan akses imunoterapi kepada golongan yang memerlukannya, kita dapat mengutamakan keperluan penting masyarat.

"Akses kepada rawatan yang berkesan adalah satu langkah yang penting untuk menguatkan rakyat kita dan seterusnya, membina negara ke arah masa depan yang lebih cerah dan sihat," katanya

Berita Harian X