Ahad, 2 Januari 2022 | 12:25pm
Bakteria dijumpai di kawasan pembiakan tikus dan air bertakung seperti sungai, kolam serta lopak air.- Gambar hiasan
Bakteria dijumpai di kawasan pembiakan tikus dan air bertakung seperti sungai, kolam serta lopak air.- Gambar hiasan

Air kencing tikus boleh bawa maut

KEJADIAN banjir pada 18 Disember lalu mengejutkan negara dan terburuk pernah melanda Selangor serta Pahang, selain hujan berterusan di Pantai Timur serta lain kawasan semakin membimbangkan.

Banjir teruk bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda bernilai jutaan ringgit.

Ketika ini, usaha masih dijalankan untuk mengawasi mangsa banjir dan membantu mereka untuk kembali pulih serta menjalani kehidupan seperti biasa.

Anggota dari agensi penyelamat, agensi kerajaan, sukarelawan dari badan bukan kerajaan (NGO) kini juga sedang giat membantu mangsa banjir membersihkan kawasan kediaman yang ditenggelami banjir.

Pada masa sama, mereka turut membantu menjaga keselamatan dan mendapatkan keperluan harian kepada mangsa banjir.

Bahaya air kencing tikus

Pengerusi Bersama Kluster Perubatan dan Kesihatan Akademi Profesor Malaysia, Prof Dr Zamberi Sekawi, mengingatkan semua individu berwaspada mengenai kesan dan peningkatan kepada penularan penyakit berjangkit akibat banjir.

Dr Zamberi Sekawi
Dr Zamberi Sekawi

Pada musim banjir, antara jenis penyakit berjangkit yang dikenal pasti mudah untuk menjangkiti adalah penyakit kencing tikus (leptospirosis), kepialu, kolera, hepatitis A, melioidosis dan penyakit bawaan air yang lain.

Selain itu, penyakit bawaan vektor seperti denggi juga akan meningkat.

Justeru, ketika ini perlu ditekan mengenai bahaya penyakit leptospirosis terutama kepada mangsa banjir dan sukarelawan serta anggota agensi penyelamat.

Penularan wabak leptospirosis yang besar di Malaysia pernah dilaporkan berlaku pada 2014 di Kelantan ekoran kejadian banjir besar pada ketika itu.

"Sekiranya tiada langkah pencegahan diambil semasa pasca banjir, saya menjangkakan kes jangkitan leptospirosis meningkat pada kejadian banjir kali ini.

"Semua pihak yang terbabit dengan bencana ini perlu diberi peringatan supaya dapat mengambil tindakan pencegahan dengan lebih awal daripada dijangkiti leptospirosis.

"Penyakit ini boleh membawa maut jika rawatan segera tidak diberikan.

"Leptospirosis adalah penyakit berjangkit berpunca daripada kuman bakteria leptospira boleh didapati pada air kencing tikus.

Ia boleh juga dijumpai pada air kencing haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing serta haiwan lain seperti lembu dan haiwan liar.

Orang ramai perlu berwaspada penyakit bawaan air ketika banjir.- Gambar hiasan
Orang ramai perlu berwaspada penyakit bawaan air ketika banjir.- Gambar hiasan

Golongan berisiko

Lazimnya, bakteria ini akan dijumpai di kawasan pembiakan tikus dan air bertakung seperti sungai, kolam serta lopak air.

Ketika banjir, bakteria akan lebih mudah menjangkiti manusia dan memasuki badan melalui kawasan luka pada kulit, makanan, minuman yang dicemari serta organ seperti mata.

Katanya, gejala yang akan timbul akibat leptospirosis ini boleh dikenal pasti selepas lima hari sehingga dua minggu dijangkiti.

Kebiasaannya, pesakit akan mengadu demam panas, sakit kepala, loya dan muntah, sakit otot, mata merah dan cirit-birit.

Jika dibiarkan berterusan, penyakit ini akan berlarutan dan pesakit boleh mendapat komplikasi seperti keradangan selaput otak (meningitis), pendarahan paru-paru, kegagalan hati dan kerosakan buah pinggang.

"Kematian boleh berlaku akibat kegagalan mendapatkan rawatan segera terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti penghidap penyakit kronik dan orang tua," katanya.

Langkah pencegahan

Justeru, langkah pencegahan sebaiknya dengan mengelak terdedah dengan air banjir, jaga kawasan luka dibalut, mata dan mulut supaya tidak dijangkiti penyakit.

Pastikan amalan membasuh anggota badan yang terdedah kepada air banjir menggunakan air bersih dan dilakukan dengan segera.

"Jangan biarkan anak bermain air banjir manakala sukarelawan dan anggota penyelamat disarankan sentiasa memakai kasut but getah kalis air.

"Penting untuk mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya berasa kurang sihat dan mengalami tanda-tanda itu .

"Sentiasa menjaga kebersihan diri dan memastikan pembuangan sampah terutama sampah makanan yang teratur supaya tidak menarik perhatian tikus, " katanya.

Bagi anggota kesihatan disarankan lebih peka dengan gejala penyakit ini supaya dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal bagi mengelak komplikasi yang boleh membunuh.

Berita Harian X