Rabu, 15 Disember 2021 | 12:06pm
Pelbagai jenis teknik senaman perlu dilakukan elak sakit belakang wanita hamil semakin serius. - Gambar hiasan
Pelbagai jenis teknik senaman perlu dilakukan elak sakit belakang wanita hamil semakin serius. - Gambar hiasan

Tekanan emosi penyebab sakit belakang

KAJIAN menunjukkan 50 hingga 80 peratus ibu mengandung mengalami masalah sakit pinggang ketika hamil.

Justeru, penjagaan kesihatan tulang belakang menjadi lebih penting dalam setiap peringkat kehamilan wanita.

Antara punca sakit belakang disebabkan kenaikan berat badan, perubahan postur, hormon dan stres. Berat badan wanita hamil lazimnya akan bertambah sekitar 11 hingga 16 kilogram (kg), sekali gus menambah beban pada tulang belakang mereka.

Kehamilan akan mengubah pusat graviti wanita kerana perlu menyesuaikan postur dan pergerakan untuk menampung perut yang semakin membesar.

Tubuh wanita menghasilkan hormon relaksin ketika hamil yang membolehkan ligamen di kawasan pelvis dan sendi menjadi lebih longgar sebagai persediaan untuk proses kelahiran.

Ia membolehkan ligamen menyokong tulang belakang yang mengendur, lalu menjurus kepada ketidakstabilan dan kesakitan.

Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang dan Trauma, Dr Lim Sze Wei, berkata tekanan emosi boleh menyebabkan ketegangan otot di bahagian belakang badan, yang mungkin akan dirasai sebagai kesakitan atau kekejangan.

"Tiada istilah lambat atau awal bagi wanita untuk melindungi tubuh daripada komplikasi sakit pinggang ketika hamil," katanya.

Mempersiapkan tubuh sebelum hamil

Wanita boleh mencegah atau mengurangkan sakit belakang sebelum mereka hamil dengan menguatkan tubuh terutama kaki, abdomen dan bahagian belakang badan dengan melakukan senaman secara bersederhana.

Sebelum hamil, wanita seharusnya mengambil langkah penjagaan prakehamilan dengan mendapat nasihat doktor untuk merangka pelan mengenai pelbagai jenis teknik senaman.

"Sesetengah senaman seperti berjalan, mengayuh mesin basikal selama 20 hingga 30 minit sehari dapat membina kekuatan kaki.

"Pelbagai senaman ringkas dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut, selain melindungi tulang belakang apabila proses kehamilan mula menginjak peringkat demi peringkat.

Pelbagai senaman ringkas dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut wanita mengandung. - Gambar hiasan
Pelbagai senaman ringkas dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut wanita mengandung. - Gambar hiasan

"Dengan kekuatan ini, tubuh dapat mengekalkan keseimbangannya ketika perut mula membesar dan menarik pinggang ke hadapan," katanya.

Mengurus sakit belakang ketika hamil

Risiko sakit belakang berlaku ketika memasuki bulan kelima hingga ketujuh kehamilan, mungkin boleh bermula lebih awal.

Lazimnya, kesakitan akan mula dirasai sekitar minggu ke-18 dan akan memuncak pada minggu ke-24 hingga ke-36.

Ketika fasa ini, wanita hamil harus mengamalkan tabiat sihat untuk memastikan tubuh diberi sokongan sebaiknya.

"Untuk mencegah atau meringankan masalah sakit belakang ketika mengandung, wanita patut memantau kenaikan berat badan, mengamalkan diet sihat, bekerjasama dengan pakar obstetrik ginekologi (OB) untuk proses kehamilan yang sihat," katanya.

Penjagaan postur

Penjagaan postur disokong dengan kaedah ergonomik ketika duduk atau berdiri membantu meringankan beban pada pinggang.

Postur tidur secara mengiring dengan penggunaan bantal sokongan diletakkan di antara lutut, di bawah abdomen atau di bahagian belakang badan disarankan ketika mengandung.

"Elakkan pakai kasut tumit tinggi dan selipar. Dapatkan kasut baharu jika saiz berubah, gunakan kasut tumit rendah dengan sokongan arkus untuk membantu tulang belakang mengekalkan lengkungan betul," katanya.

Senaman sebagai langkah pencegahan penting untuk masalah sakit belakang, tetapi hadkan aktiviti berintensiti tinggi.

Berjalan, berenang atau yoga adalah senaman yang efektif untuk membina kekuatan pelvis, pinggul, dan pinggang ketika hamil, tetapi lebih baik dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu mengenai cara bersenam dengan selamat ketika hamil.

Pengurusan stres

Pengurusan stres ketika hamil mempunyai kelebihannya dari segi fizikal dan emosi.

Urutan pranatal, meletakkan pad panas pada pinggang dan melebihkan rehat, kaedah ideal mengurus stres di samping menyokong kesihatan tulang belakang.

Kebanyakan wanita menganggap beban pada belakang adalah sebahagian proses kehamilan yang tidak dapat dielakkan.

"Mereka tidak berusaha mencegah atau merawatnya. Tanggapan ini salah. Jika mengalami sakit belakang yang teruk dan berlarutan lebih dua minggu, mereka patut merujuk pembekal perkhidmatan kesihatan.

"Doktor boleh mendiagnos dengan tepat punca kesakitan dan merangka protokol rawatan serta terapi sesuai membantu menghindari atau mengurangkan sakit pinggang," katanya.

Penjagaan pasca kehamilan

Kesakitan berlarutan atau baru dialami pada bahagian pinggang selepas kehamilan, disebut sebagai sakit belakang postpartum.

Biasanya akan surut selepas enam bulan selepas anak dilahirkan, namun ia boleh berterusan lebih lama.

"Majoriti wanita merasai sakit belakang postpartum mengalami simptom komplikasi ini akibat perubahan disumbang oleh kehamilan pada sistem rangka otot yang berlarutan selepas melahirkan anak." katanya.

Kesakitan ini biasanya dialami ketika melakukan aktiviti pergerakan badan, seperti berjalan, mengangkat, membongkok, atau mendukung bayi.

"Ini boleh diredakan dengan berehat, bersenam dan melakukan rawatan di rumah," katanya.

Tip pencegahan sakit belakang:

• Mulakan rutin senaman seawal mungkin selepas melahirkan anak untuk mengembalikan tona otot abdomen dan belakang.

• Cuba dapatkan semula berat badan normal dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan anak

• Elakkan memusing badan terlalu kerap

• Hampirkan bayi ke dada sebelum mengangkat, jangan unjurkan tangan ketika mengangkat bayi

• Untuk mengangkat bayi dari lantai, bengkokkan lutut (bukannya pinggang), cangkung, tegangkan otot perut dan angkat menggunakan otot kaki

• Sakit belakang di bahagian atas boleh diakibatkan aktiviti penyusuan. Atasi dengan rapatkan bayi ke dada dan bukan membongkok ke arah bayi

• Gunakan kerusi menegak, bukannya sofa lembut agar tulang belakang dapat diberikan sokongan lebih baik

• Wanita digalakkan mendapatkan rawatan bagi menangani simptom sakit belakang

• Jika sakit belakang tidak surut, rujuk doktor untuk mengetahui ujian atau rawatan tambahan patut dilakukan.

Berita Harian X