Ahad, 5 Disember 2021 | 12:21pm
Kaedah terapi wap air boleh digunakan untuk mengecutkan saiz prostat.- Gambar hiasan
Kaedah terapi wap air boleh digunakan untuk mengecutkan saiz prostat.- Gambar hiasan

Terapi wap air pesakit prostat

GOLONGAN lelaki berusia 45 tahun ke atas perlu lebih berhati-hati kerana berisiko untuk mendapat hyperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat bukan kanser.

Prostat adalah salah satu organ terletak di bawah pundi kencing dan boleh membesar akibat pelbagai faktor termasuk hormon tidak seimbang serta kerana kencing tidak lawas.

Pakar Perunding Bedah Urologi, Prof Datuk Dr Khairul Asri Mohd Ghani, berkata gejala utama BPH adalah sukar membuang air kecil, secara perlahan atau menitis-nitis sekali gus menyebabkan ketidaklawasan.

Katanya, apabila gagal kencing sempurna, ia akan menyebabkan individu itu akan semakin kerap ke tandas kerana pundi kencing tidak dapat menampung air kencing seperti biasa.

"Kekerapan ke tandas terutama pada waktu malam ketika sedang tidur boleh menyebabkan seseorang itu sentiasa berasa rendah diri dengan masalah yang dihadapi," katanya.

Hubungan intim terjejas

Beliau berkata, keadaan itu juga boleh menyebabkan

hubungan intim juga akan terjejas kerana turut mengakibatkan kualiti hidup.

Punca utama seseorang kerap ke tandas kerana pundi kencing yang gagal dikosongkan sepenuhnya.

Ia menyebabkan prostat membesar dan salur kencing atau uretrea yang melalui prostat terhimpit oleh kelenjar prostat.

"Simptom BPH dan kanser prostat adalah sama. Justeru, penting mereka yang ada simptom ini perlu mendapatkan rawatan segera.

"Ramai mengambil mudah simptom itu kerana merasakan bukan perkara penting diberi perhatian dan malu berjumpa doktor," katanya.

Boleh menyebabkan kanser

Dr Khairul Asri berkata, jika gagal dikesan awal boleh menyebabkan kanser dan jika merebak ke tulang, tulang belakang atau paru-paru ia sukar dirawat.

Lebih 60 peratus pesakit kanser prostat yang mendapatkan rawatan di hospital sudah berada pada tahap empat.

"Berbanding di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, pesakit kanser datang mendapatkan rawatan ketika berada di peringkat awal dan peluang

sembuh sepenuhnya lebih tinggi," katanya.

Risiko lain punca penyakit prostat termasuk faktor keturunan, sindrom metabolik dan pemakanan.

Mereka yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi berisiko mendapat penyakit ini.

Dr Khairul Asri Mohd Ghani
Dr Khairul Asri Mohd Ghani

"Jika sebelum ini yang berusia 50 tahun ke atas dapat penyakit prostat, namun sejak 10 tahun ini, mereka berusia 40 tahun juga dijangkiti.

"Ini kerana gaya hidup masa kini termasuk banyak makan makanan segera antara penyebab penyakit ini," katanya.

Pemeriksaan awal perlu untuk mengenal pasti sama ada individu hidap prostat atau kanser prostat.

Sebagai permulaan, pemeriksaan fizikal terhadap individu akan dilakukan dengan memasukkan jari ke dubur untuk mengenal pasti penyakit.

"Ia diikuti dengan ujian darah bagi mengesan jumlah prostate-specific antigen (PSA) yang dapat mengenali kanser atau bukan.

"Apabila disyaki kanser, prosedur Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) kelenjar prostat dan proses pengambilan biopsi prostat akan dijalankan," katanya.

Peluang sembuh jika dikesan awal

Beliau berkata, jika kanser berada pada tahap awal iaitu satu sehingga tiga, rawatan pembedahan membuang kelenjar prostat akan dilakukan menggunakan teknologi terkini, iaitu kaedah pembedahan robotik.

Pada tahap itu, peluang pesakit sembuh antara 60 sehingga 80 peratus.

"Jika sudah tahap empat, peluang sembuh sukar selain pesakit perlu juga menjalani kemoterapi dan terapi hormon," katanya.

Terapi wap air kecutkan prostat

Kalau individu disahkan mendapat penyakit prostat, doktor akan memberikan ubat bagi mengecutkan dan mengawal simptom prostat.

Jika rawatan ubat gagal berikutan saiz kelenjar prostat yang besar, doktor akan melakukan pembedahan, iaitu mengikis prostat supaya pengaliran air kencing lancar semula.

Namun, ada juga teknologi terkini, iaitu kaedah terapi wap air boleh digunakan untuk mengecutkan saiz prostat.

"Teknik ini amat terkenal di luar negara dan tempoh rawatan yang menggunakan wap air tidak mengambil masa lama.

60 peratus pesakit kanser prostat yang mendapatkan rawatan di hospital sudah berada pada tahap empat. - Gambar hiasan
60 peratus pesakit kanser prostat yang mendapatkan rawatan di hospital sudah berada pada tahap empat. - Gambar hiasan

"Ia menggunakan tenaga perolakan untuk membuang tisu prostat obstruktif dan dengan tenaga haba yang bersasar kepada tisu prostat, ia mampu membunuh sel di kawasan kelenjar prostat yang terjejas dan seterusnya akan mengecut.

"Pesakit boleh memilih sama ada mahu menjalani prosedur ini dengan atau tanpa anestesia umum," katanya.

Kajian mendapati, terapi itu selamat dan berkesan selain mampu membantu memelihara fungsi seksual untuk jangka masa panjang.

"Rawatan ini membolehkan pesakit meningkatkan semula kualiti hidup mereka berikutan tidak lagi perlu ke tandas seperti sebelum itu.

"Malah mereka boleh menjalani kehidupan normal semula seperti memandu jauh tanpa perlu kerap berhenti ke tandas dan tidur cukup," katanya.

Kegagalan buah pinggang

Rawatan dibuat juga membantu mengurangkan risiko pesakit menghidap jangkitan saluran kencing (UTI), mendapat batu karang dan paling membimbangkan adalah kegagalan buah pinggang.

Justeru, Dr Khairul Asri menasihati individu yang menghidapi simptom atau gejala penyakit prostat, supaya jangan malu untuk menjalani pemeriksaan segera.

Katanya, pemeriksaan rawatan awal yang terbaik juga dapat mengelak sebarang komplikasi.

"Malah, jika membuat siasatan dengan tepat, ia dapat membantu mengelak berlaku kanser prostat," katanya.

Info: Mengenai penyakit prostat

  • Lebih 40 peratus lelaki derita prostat ketika berusia 50 tahun
  • Kanser prostat kanser kedua tertinggi dialami lelaki di Malaysia
  • Kaedah terapi wap air ambil masa 10 minit manakala tempoh sembuh antara 3 sehingga 6 bulan.
  • Berita Harian X