Khamis, 25 November 2021 | 10:55am

Cara baru rawat osteoartritis

SAKIT sendi lutut atau osteoartritis merupakan penyakit yang lazim dideritai terutama golongan berusia sehingga boleh menyebabkan kualiti hidup menurun apabila pergerakan menjadi terbatas.

Lebih membimbangkan, penyakit itu menyebabkan seseorang terpaksa mengehadkan pergerakan akibat tidak tahan sakit. Malah, ada yang sanggup duduk atau baring seharian dan berusaha mengelak naik atau turun tangga serta berjalan jauh.

JENIS OSTEOARTRITIS

Pakar Ortopedik Pusat Perubatan Sunway, Dr Suhail Suresh Abdullah berkata, terdapat dua jenis osteoartritis iaitu primer dan sekunder. Osteoartritis primer sering berlaku kepada golongan berusia disebabkan beberapa faktor termasuk berat badan berlebihan dan melakukan pelbagai aktiviti harian.

Osteoartritis sekunder pula berlaku akibat kemalangan jalan raya yang membabitkan sendi, jangkitan kuman pada sendi atau kerana beberapa penyakit lain termasuk gout yang menyebabkan pembentukan asid urik hingga boleh merosakkan rawan.

SIMPTOM AWAL PENYAKIT

Pakar bedah tulang itu berkata, individu yang mempunyai simptom awal sakit sendi lutut perlu terus mendapatkan rawatan apabila rasa sakit.

Katanya, simptom awal penyakit apabila lutut berasa sakit apabila naik atau turun tangga atau selepas melakukan sesuatu aktiviti yang membabitkan pergerakan.

"Bagaimanapun, ramai tidak sedar simptom awal itu adalah masalah sendi dan mengabaikannya apabila sakit mula hilang selepas beberapa hari.

"Sebenarnya sakit itu akan kembali semula dan boleh menjadi lebih teruk jika pesakit tidak mendapatkan rawatan awal," katanya.

KAEDAH RAWATAN

Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia itu juga berkata, pesakit perlu peka dan jika mengalami rasa sakit, tidak selesa atau pergerakan terbatas berlarutan sehingga tempoh seminggu, mereka perlu segera membuat pemeriksaan.

"Jika sakit pada bahagian sendi akibat faktor usia, hanya perlu melakukan sinar-x untuk melihat keadaan lutut dan mengukur ketebalan tulang rawan.

"Saiz tulang rawan yang normal adalah antara enam sehingga lapan milimeter dan dengan melakukan sinar-x, boleh dilihat dengan jelas saiz sebenar tulang rawan.

"Bagaimanapun, jika individu tersebut pernah sakit pada ibu jari, selalu mengalami bengkak dan disyaki ada penyebab lain, ujian darah akan dibuat sebelum mendiognosis penyakit," katanya.

KAEDAH SUNTIKAN GEL

Ujar Dr Suhail, pemeriksaan awal penyakit osteoartritis mampu mengurangkan risiko pesakit menjalani pembedahan penggantian sendi, namun bergantung kepada usia mereka juga.

Jika kesakitan masih di tahap awal, doktor hanya akan memberikan ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan. Sekiranya tidak berkesan, doktor akan mencadangkan untuk menyuntik gel bagi mengurangkan pergeseran serta mengurangkan sakit dan kehausan tulang rawan.

"Gel ini bertahan mengikut beberapa faktor termasuk tahap kerosakan sendi dan pergerakan pesakit. Ada gel mampu bertahan antara sembilan bulan hingga setahun dan ada yang hanya bertahan selama tiga bulan jika kesakitan berada pada tahap empat.

"Ada pesakit selepas disuntik gel, ia tidak sakit lagi. Namun, jika mereka sakit lagi sinar-x akan dilakukan semula bagi melihat keadaan rawan.

"Sekiranya keadaan rawan semakin teruk atau kaki sudah bengkok, mereka akan diberi pilihan untuk menjalani pembedahan penggantian sendi bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti harian," hurainya lanjut.

KAEDAH TEKNOLOGI ROBOTIK

Jelas pakar bedah ganti sendi yang juga adalah antara teraju utama bagi pembedahan robotik di hospital swasta terkemuka di Malaysia itu, secara umumnya pembedahan penggantian sendi mampu mengubah kualiti hidup pesakit untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.

Dengan inovasi dan teknologi terkini, pembedahan menggantikan sendi rosak dengan sendi palsu mampu memberikan tahap kepuasan lebih tinggi dengan hasil yang lebih baik.

"Kaedah pembedahan robotik dengan teknologi terkini iaitu Robotic Assisted Knee Arthroplasty yang digunakan di Pusat Perubatan Sunway, mampu memberi ketepatan melebihi 90 peratus penjajaran sendi palsu, sekali gus dapat meningkatkan tempoh penggunaan sendi itu sehingga 25 tahun.

"Ia juga dapat mengurangkan tempoh pemulihan dan kesakitan berbanding kaedah pem­­bedahan biasa," katanya.

TIDAK PERLU ULANGI PEMBEDAHAN

Beliau berkata, teknologi pembedahan robotik berfungsi dengan cara memasukkan gambar ke dalam peralatan tersebut dan ia akan membuat pengiraan pemotongan tulang secara automatik.

Tambahnya, cara tersebut dapat membantu pakar bedah membuat pembedahan penggantian rawan sendi dengan memotong tulang sebelum memasukkan sendi palsu.

"Robot itu sudah mengetahui posisi untuk membuat pemotongan lebih tepat berbanding penggunaan teknologi sebelum ini yang hanya mampu menunjukkan lokasi pemotongan.

"Doktor pakar bedah akan memotong bahagian isi, lemak dan mengasingkan tempurung lutut ke tepi sebelum robot mula memotong tulang untuk menempatkan sendi palsu," katanya.

Ujarnya lagi, pemotongan yang tepat dengan sendi palsu berada pada posisi betul sangat membantu dalam memastikan pesakit dapat menjalani kehidupan normal semula.

Sebelum ini, jika pesakit melakukan pembedahan penggantian sendi palsu, mereka perlu mengulangi pembedahan sekali lagi dalam tempoh tertentu bergantung kepada cara penggunaan, namun dalam keadaan penuh berisiko.

Dengan teknologi robotik ini, kebarangkalian menjalani pembedahan ulangan dapat dikurangkan kerana keadaan sendi palsu itu yang berada pada kedudukan tepat dapat membantu mengurangkan risiko kesakitan untuk tempoh jangka masa panjang.

Kaedah pembedahan robotik sesuai untuk semua golongan umur dengan durasi masa pembedahan hanya satu jam 30 minit.

Berita Harian X