Rabu, 27 Oktober 2021 | 10:54am

Kepentingan penerimaan vaksin di kalangan kanak-kanak

SEBAGAI ibu bapa, tentunya tidak dapat lari daripada perasaan bimbang dan takut mengenai kesihatan anak terutama ketika pandemik COVID-19 sekarang.

Situasi begini menyebabkan segelintir ibu bapa berhenti atau menangguhkan membawa bayi dan anak mereka ke klinik untuk mendapatkan suntikan imunisasi. 

Lebih menyedihkan, ada di antara ibu bapa menolak vaksin kerana beranggapan vaksin adalah racun dan tidak kurang juga berpendapat, bahawa kanak-kanak mampu membina daya tahan (imuniti) sendiri.

Menurut pakar, melalui penyusuan susu ibu, bayi hanya akan menerima antibodi untuk penyakit biasa dan antibodi itu hanya melindungi bayi sehingga tiga ke enam bulan sahaja. 

Justeru, suntikan vaksin penting untuk meningkatkan daya tahan tubuh anak anda, di samping mencegah mereka daripada penyakit berjangkit.

Apa itu vaksin?

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.

Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk pelindungan imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. 

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan.

Ini menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

Bagaimana vaksin berfungsi 

Secara semula jadi, tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi bagi melindunginya daripada jangkitan virus serta bakteria dan mekanisme pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. 

Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu.

Ini menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan apabila dijangkiti pada masa hadapan.

Adalah penting untuk meningkatkan dos sesuatu vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan, bagi mendapatkan kesan sesuatu perlindungan optima terhadap penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin. 

Meskipun keberkesanan vaksin bukan dijamin 100 peratus, perlindungan yang diperolehi daripada vaksin adalah lebih selamat berbanding mendapat jangkitan semulajadi yang berpotensi membawa maut.

Mengapa kanak-kanak diberi imunisasi ketika masih bayi?

Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan (imun) mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa.

Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan.

Apabila sebilangan besar individu di dalam komuniti mendapatkan imunisasi, penyebaran jangkitan adalah rendah dan secara tidak langsung melindungi individu yang tidak dapat mengambil vaksin atas sebab tertentu.

Jika ada ibu bapa enggan menerima suntikan vaksin buat anak mereka, imuniti kelompok tidak dapat dicapai sekaligus sukar melindungi di antara satu sama lain.

Selamat digunakan

Image

Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan, masih terdapat keraguan yang semakin meningkat disebabkan persepsi yang berbeza daripada ibu bapa seperti kebimbangan terhadap keselamatan vaksin.

Malah, ada yang terpedaya dengan teori konspirasi beranggapan vaksin mempunyai kandungan haram dan boleh menyebabkan kematian.

Semua vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) telah difatwakan harus untuk diambil oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Bahkan, pakar di KKM juga memperakui vaksin dalam NIP sebagai berkesan dan selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak di negara ini dan vaksin yang digunakan di Malaysia juga turut digunakan oleh banyak negara lain di dunia.

Bukan itu sahaja, vaksin juga diuji dengan rapi pada ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar dan dipantau dengan ketat sebelum dipasarkan secara komersial bagi menjamin keselamatan penerimanya.

Oleh itu, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana vaksin tidak akan membebankan sistem daya lawan jangkitan (imun) kanak-kanak kerana sistem imun mereka boleh bertindak balas terhadap pelbagai keadaan.

Tambahan, vaksin mengandungi antigen yang amat sedikit berbanding dengan pendedahan tubuh terhadap antigen asing melalui makanan, minuman dan aktiviti lain.

Secara jelasnya, pengambilan vaksin bukan sahaja mampu mencegah penyakit mengancam nyawa, bahkan dapat membantu menguatkan sistem imun kanak-kanak dengan merangsang sel pertahanan, seterusnya melindungi anak anda dengan lebih baik.

Sumber : My Health, MOH, BPKK

Berita Harian X