Rabu, 25 Ogos 2021 | 8:39am
Fahami punca kesakitan bersama Pakar Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway bagi mengelakkan keadaan bertambah serius - FOTO Hiasan
Fahami punca kesakitan bersama Pakar Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway bagi mengelakkan keadaan bertambah serius - FOTO Hiasan

Fahami punca sakit belakang bersama Pusat Perubatan Sunway

Sakit belakang badan dan leher atau sendi lain adalah masalah biasa dialami rakyat Malaysia, namun bilangan pesakit yang menghidap masalah ini semakin meningkat.

Secara umumnya, kesakitan itu dipercayai berkait rapat dengan cara bekerja dan kedudukan postur badan tidak betul, selain keadaan meja serta kerusi kurang sesuai.

Dalam suasana norma baharu, ramai yang menghadapi masalah terpaksa bekerja dari rumah akibat pandemik COVID-19 menjadikan ramai tidak peka terhadap penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, sakit belakang berpunca daripada pelbagai sebab, antaranya kesakitan di bahagian otot, sendi, tulang, ligamen atau hanya sakit ketika ada pergerakan.

Bahkan, ada sesetengah orang yang merasakan tidak selesa walaupun duduk statik berikutan anggota badan terasa sakit.

Lebih membimbangkan, kesakitan dirasai walaupun tiada pergerakan langsun hingga boleh menjejaskan 'mood' mereka akibat ketidakselesaan akibat sakit belakang.

Tiada cara untuk melegakan dan kadang kala selepas pelbagai ikhtiar dibuat, kesakitan itu tetap dirasai.

Pakar Bedah Saraf (Neurosurgeon) Pusat Perubatan Sunway, Dr Johan Quah Boon Leong, berkata skop penyakit tulang belakang adalah luas dan pesakit perlu memahami mekanisme menyebabkan kesakitan.

"Pelbagai mekanisme boleh menjadi punca kesakitan dan ada disebabkan masalah yang memang wujud dalam individu terbabit.

"Ada juga individu dilahirkan dengan lengkungan tulang belakang abnormal, ada arthritis, penyakit degeneratif tulang belakang atau tumor.

"Misalnya, ramai mengalami sakit belakang disebabkan postur yang tidak sesuai, otot lemah, tidak cukup rehat atau senaman serta tulang tidak fleksibel untuk aktiviti harian seperti berjalan, turun naik tangga, keluar masuk kenderaan, solat dan sebagainya.

"Apabila tidak dapat melakukan rutin harian dengan sempurna, ia bermakna ada otot yang tidak cukup kuat atau mempunyai masalah kelenturan sendi," katanya.

Punca paling biasa sakit belakang disebabkan postur teruk yang dapat diatasi dengan pembetulan postur, fisioterapi, penyelesaian jangka pendek dengan ubat tahan sakit, rutin senaman biasa, berhenti merokok dan rehat mencukupi.

Katanya, penyakit tulang belakang degeneratif agak biasa dalam kalangan dewasa dan orang tua, selain juga penyebab biasa sakit belakang kronik.

Ini adalah proses tulang menjadi haus, cakera dan sendi tulang belakang yang tidak dapat dipulihkan sekali gus menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan.

Duduk terlalu lama

Image'Sakit belakang boleh bertambah apabila seseorang duduk terlalu lama..' - Pakar Bedah Saraf, Pusat Perubatan Sunway, Dr Johan Quah Boon Leong

Dr Quah berkata, ada juga disebabkan ketumbuhan pada tulang tulang yang mengakibatkan sakit, anggota lumpuh dan sakit ketika ada pergerakan. Namun, masalah ini jarang berlaku, tetapi penting berunding dengan pakar bedah tulang belakang.

Sakit belakang boleh bertambah apabila seseorang terlalu lama melakukan sesuatu pekerjaan dalam tempoh yang panjang, bekerja dari rumah, kurang bersenam, selain perubahan norma baharu, gaya hidup dan pelbagai faktor.

"Turut menyumbang kerusi tidak sesuai (tiada sokongan belakang badan) dan duduk terlalu lama tanpa berehat. Ramai tidak sedar tekanan terhadap tulang belakang lebih banyak ketika duduk berbanding ketika berdiri.

"Contoh kedua, wanita datang haid akan mengalami sakit pinggang atau belakang badan, tetapi peratusannya kecil dan hanya menjurus kepada sesetengah individu," katanya.

Jika sakit datang tiba-tiba dan terlalu teruk boleh dirawat atau sebaliknya.

"Adalah menjadi 'red flag' apabila sakit belakang bertambah serius pada waktu malam serta membuat seseorang terjaga dan berasa sakit leher atau punggung sejurus selepas jatuh atau trauma yang tidak baik.

"Bagi yang menghidap kanser pula akan berasa kebas atau lengan dan kaki lemah, mula sakit belakang serta mengalami demam berpanjangan.

"Yang ada gejala ini, mereka harus dinilai oleh pakar bedah saraf atau pakar bedah tulang belakang dengan segera," katanya.

Sebagai contoh, skala kesakitan akut disebabkan tulang retak atau patah, adalah sakit kronik atau didefinisikan berterusan sakit lebih daripada tiga bulan.

"Namun, daripada pengalaman saya, sakit belakang disebabkan degeneratif tulang belakang, sukar disembuhkan 100 peratus. Apa yang boleh disyorkan adalah menerusi terapi, pembedahan (bagi kes tertentu) dan juga memerlukan pesakit memahami kesakitannya untuk rawatan, kekal positif dan mengikut nasihat doktor," katanya.

Sakit belakang akan lebih mudah dirawat jika pesakit memahami punca dan kaedah rawatan kerana setiap masalah memerlukan penyelesaian berbeza bagi setiap individu.

Aktiviti fizikal terbatas

Ramai terkesan dan tidak dapat melakukan aktiviti rutin seperti biasa disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

"PKP membuatkan aktiviti fizikal terbatas, daya aktiviti menurun, dibelenggu rasa malas atau takut dijangkiti untuk keluar bersenam manakala suasana bekerja dari rumah tidak kondusif berbanding hadir pejabat.

"Selain itu, penerimaan psikologi seseorang bagaimana ia mengawal kesakitan, minda yang positif untuk terima sakit tidak akan hilang sepenuhnya dan bagaimana dia menguruskan sakitnya," katanya.

Dr Quah berkata, sakit belakang tidak dapat dielakkan terutama golongan berusia atau mereka mengalami tulang belakang, sendi, tubuh bongkok, tulang tidak selari menjadikan sakit lebih serius.

Mereka boleh lakukan fisioterapi dan langkah seterusny,a melalui pembedahan seperti mengeluarkan tumor atau membuka ruang urat saraf yang terkepit dan lain-lain prosedur," katanya.
Kaedah rawatan

Bagi mengatasinya, pesakit perlu mendapatkan rehat mencukupi dan mengambil kalsium serta zat diperlukan.

Selain perlu bersenam untuk menguatkan otot dan meningkatkan fleksibel pada tulang, serta mengamalkan diet seimbang untuk pertumbuhan tulang yang sihat.

"Kebiasaannya, pesakit akan dirawat dengan dengan kaedah tanpa pembedahan, fisioterapi (menggunakan imbasan bunyi, beg panas, beg sejuk dan mesin stimulasi elektrik dan rawatan rehabiliti, antara pilihan yang disyorkan mengikut budi bicara juru fisioterapi dan melihat kemajuannya selepas suatu tempoh," katanya.

Ditanya mengenai peluang sembuh, beliau berkata ia bergantung kepada punca sakit sama ada boleh dirawat atau kronik. Rawatan untuk mengawal kesakitan sahaja.

"Misalnya, 70 peratus pesakit yang ada cakera tergelincir akan sembuh sendiri secara semula jadi, tanpa rawatan, selain ubat tahan sakit dalam masa tiga bulan.

"Petunjuk pembedahan bergantung bergantung kepada punca penyakit," katanya.

Justeru, beliau mengesyorkan pesakit menjaga postur badan dengan duduk cara betul, kerusi mempunyai sokongan tulang belakang dan selalu bangun untuk melakukan regangan serta dapatkan tidur yang berkualiti.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor di https://www.sunwaymedical.com untuk memahami dengan lebih baik mengenai rawatan atau kaedah, serta mendapatkan penyelesaian terbaik untuk anda.

Berita Harian X