TIDAK perlu pergi jauh ke Korea untuk menikmati pelbagai pastri dan menu hebat lain di Paris Baguette Bakery Cafè, apabila jenama bakeri terkenal dari negara itu, kini dibuka di pusat beli-belah Pavillion, di Bukit Bintang.
Konsep kafe bakeri 'urban' itu mempunyai cita rasa berbeza dengan gabungan pilihan pelbagai menu lazat pasti menjerat selera pengunjung.
Khairil Jamalludin yang mempunyai sembilan tahun pengalaman dalam perkhidmatan makanan dan minuman di Kumpulan Berjaya, berkata beliau diberi tanggungjawab menguruskan cawangan kafe pertama dibuka di negara ini.
"Operasi seawal jam 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari dengan menawarkan pelbagai pastri dan roti dan sandwich, selain masakan panas seperti pasta ala oglio," katanya.
Menu istimewa diperkenalkan adalah sup cendawan yang dihidangkan dengan roti bawang putih.
Menu istimewa ini khas untuk di Malaysia. Kafe mempunyai 35 pekerja dijangka akan mula sibuk ketika sarapan pagi, minum pagi (brunch) dan makan tengah hari.
Eratkan hubungan Malaysia - Korea
Beliau berkata, semua pekerja dilatih oleh pasukan dari Korea dan Institut Kulinari Kumpulan Berjaya.
Latihan dua bulan merangkumi semua aspek termasuk kaedah pembuatan roti dan pastri, penjagaan kualiti serta maklumat berkenaan produk dijual.
Dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, kafe itu disifatkan sebagai jambatan kecil yang menyambungkan Malaysia dengan Korea Selatan untuk perniagaan dan peluang kerja.
"Tahun ini, tahun istimewa di Malaysia-Korea Selatan hubungan sebagai 63 ulang tahun ke-3 hubungan diplomatik antara dua negara.
"Hubungan diplomatik yang kukuh selama ini menjadi asas dalam meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Korea Selatan," katanya ketika berucap pada perasmian kafe itu.
Salahuddin berharap Malaysia boleh bawa produk tempatan untuk menembusi pasaran tempatan Korea Selatan di bawah inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya, Datuk Sydney Quay, berkata cawangan baru akan menyumbang kepada perkembangan pengaruh kafe itu dengan menonjolkan konsep bakeri kafe 'urban' yang mempunyai cita rasa berbeza dengan gabungan tekstur lembut dan rasa yang mendalam.
Jenama itu diasaskan pada 1988 secara progresif berjaya mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara dengan pasaran seperti Singapura, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.