Sabtu, 10 September 2022 | 1:14pm
Ayam rangup, garing berwarna coklat perang tambah enak diselaputi serdak lengkuas serta kuah kari kerutub. - Foto ihsan Sajian Aliaa
Ayam rangup, garing berwarna coklat perang tambah enak diselaputi serdak lengkuas serta kuah kari kerutub. - Foto ihsan Sajian Aliaa
Gerai yang sentiasa dikunjungi ramai terletak di lokasi strategik. - Foto ihsan Sajian Aliaa
Gerai yang sentiasa dikunjungi ramai terletak di lokasi strategik. - Foto ihsan Sajian Aliaa

Sajian 'berhantu' nasi kukus ayam berempah

MASIH tercari-cari apa mahu makan untuk hidangan tengah hari dengan hidangan yang menyelerakan?

Mungkin anda boleh singgah di Perhentian Rawat dan Rehat (R&R) Awam Besar, KESAS Lebuhraya Shah Alam menuju ke Puchong ini, mempunyai deretan beberapa gerai makanan pelbagai menu seperti nasi ayam kukus, sate Samuri, sup utara dan beraneka lagi.

Antara gerai sentiasa dipenuhi pelanggan adalah Sajian Aliaa menyediakan nasi kukus ayam berempah. Kalau anda datang waktu tengah hari, kena bersabar kerana perlu beratur panjang untuk menikmati hidangannya yang lazat dan panas.

Dari jauh aroma nasi kukus ayam berempah sudah harum semerbak.

Apa uniknya Sajian Aliaa? Nasi ayam kukus berempah adalah 'trademark' sajiannya. Nasi kukus dilengkapi ayam goreng rangup berempah diperap dan ditambah tauge, pajeri nanas, sambal cili serta kuah kari kerutub.

Aroma nasi kukus ayam berempah dan kuah memikat selera. - Foto ihsan Sajian Aliaa
Aroma nasi kukus ayam berempah dan kuah memikat selera. - Foto ihsan Sajian Aliaa

Berdasarkan pengalaman penulis, tidak pernah ada nasi kukus disediakan bersama tauge dan pajeri hingga serta kuah kari amat lazat menjadikan ia lain daripada yang lain.

Ayam rangup dan garing berwarna coklat perang tambah enak diselaputi serdak lengkuas dan bawang menambah cita rasa hidangan ini 'berhantu' dan mahu menikmati lagi.

Menurut pemilik gerai Sajian Aliaa, Kamariah Hussain, 54, beliau menggunakan rempah kari asli daging dan ayam kerutub untuk memastikan kualiti hidangan benar-benar rasa tradisional.

Beliau membawa bahan rempah itu dari Kelantan yang juga negeri kelahirannya.

"Saya sudah berniaga lebih 20 tahun nasi kukus ayam berempah, bagi pelanggan setia mereka tahu rasanya dan kerap ke sini menikmati sajian ini.

"Selain nasi kukus, saya juga sediakan set nasi bersama beberapa jenis ikan bakar, antaranya keli, cencaru dan kembung yang dicicah bersama kuah cili padi," katanya.

Gerainya dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat dengan 40 peratus pelanggan Cina.

Turut menerima tempahan untuk katering. - Foto ihsan Sajian Aliaa
Turut menerima tempahan untuk katering. - Foto ihsan Sajian Aliaa

Bagi Kamariah pelanggan adalah segala-galanya dan ramai sudah biasa dengan restoran ini serta ada antara mereka memberi maklum balas sangat positif dan memberi kata-kata semangat pada saat perniagaan diuji terutama ketika pandemik COVID-19 lalu.

"Ada pelanggan setia kami, iaitu sepasang suami isteri Melayu yang agak berusia sering datang menikmati makanan di sini. Tetapi selepas pandemik, hanya pakcik itu datang makan di sini.

"Kemudian saya dimaklumkan isterinya sudah meninggal dunia, namun dia tetap setia ke sini meskipun bersendirian. Ketika berkongsi cerita, membuatkan saya sebak ada pelanggan setia begini," katanya mengakui lokasi gerai itu amat strategik.

Harga nasi ayam kukus berempah dan set ikan bakar adalah RM9.

Sebelum ini, harga set berkenaan adalah RM8 selepas melihat kos bahan mentah mengalami kenaikan harga.

"Awalnya saya gelisah untuk menjual lebih mahal sikit selepas bahan utama kami iaitu ayam dan minyak untuk menggoreng juga naik harga.

"Sebagai peniaga, perkara paling memberi kesan dan saya terpaksa menaikkan harga set nasi kukus RM1, iaitu RM9 berbanding RM8 sebelum ini. Namun, saya bersyukur rata-rata pelanggan memberi maklum balas positif.

"Gerai makan dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 12 malam.

"Mereka memahami dan menerima harga baru set nasi kukus berlauk ayam atau ikan berdasarkan situasi harga bahan mentah kini," katanya yang turut menerima tempahan katering.

Kamariah Hussain.
Kamariah Hussain.

Berita Harian X