KUALA LUMPUR: Seramai 10 pelajar dari Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempamerkan kemahiran dan kreativiti menghasilkan masakan Melayu dengan menggunakan bahan makanan berasaskan bahan gantian daging daripada tumbuhan.
Kreativiti itu terserlah menerusi Peraduan Memasak Daging Berasaskan Makanan dan Tumbuhan Halal Taiwan, ketika Ekspo Taiwan 2022 di sebuah pusat-beli di sini, baru-baru ini.
Pelajar terbabit berjaya mencipta dan mengolah masakan tradisi Melayu dengan menggunakan makanan berasaskan bahan gantian daging daripada tumbuhan.
Peraduan dianjurkan Pusat Halal Taiwan dan Biro Perdagangan Luar Negeri di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan itu bertujuan mempromosikan dan mempertaruhkan kelainan bahan halal dari Taiwan.
Peserta diberi masa 90 minit untuk mencipta hidangan pembuka selera dan hidangan utama serta perlu menggunakan 11 bahan halal Taiwan di dalam resipi mereka.
Lima pasukan mempamerkan kreativiti mereka dengan menghasilkan hidangan yang luar biasa. Antara hidang mereka diinspirasikan daripada makanan tradisional Sabah, menggabungkan spageti dan pastri Barat dengan hidangan Melayu serta hidangan utama yang menakjubkan.
Ada peserta menggabungkan daging dan tauhu berasaskan tumbuhan untuk menghasilkan makanan gaya Malaysia yang menyelerakan. Gabungan tradisi, nostalgia dan bahan berasaskan tumbuhan mengamit sepenuhnya intipati bahan yang diterbangkan khas dari Taiwan.
Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James Chang, berkata melalui pertandingan ini memberi pendedahan kepada umat Islam di Malaysia dengan meningkatkan penggunaan daging berasaskan tumbuhan dengan ramuan berkhasiat.
Katanya, beliau teruja melihat dedikasi dengan kemahiran peserta muda yang kreatif mengolah dan mencipta resipi baru dengan menggunakan daging berasaskan tumbuhan.
"Keprihatinan selebriti tempatan, luar negara dan media global untuk mengamalkan diet yang seimbang dan melindungi haiwan membawa kepada penggunaan daging berasaskan tumbuhan secara meluas sejak kebelakangan ini.
"Walaupun trend itu kelihatan baru, Taiwan sebenarnya adalah peneraju kepada pengeluaran daging berasaskan tumbuhan.
"Di Taiwan sambutan terhadap makanan daging berasaskan tumbuhan mengumpul banyak kepakaran teknikal dalam bidang itu," katanya.
Dalam peraduan itu, gandingan Maxlan Edrien Marom dan Mohammad Firdaus Buraera dari Sabah dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang RM1,000, sijil, set pisau dan barangan makanan Taiwan serta topi chef bersulam logo Pusat Halal Taiwan.
Selebriti Chef bertaraf antarabangsa Chef Johari Edrus atau dikenali Chef Jo sebagai juri bagi pertandingan itu.
Chef Jo memuji kepelbagaian bahan halal digunakan dalam pertandingan itu dan percaya memasak adalah cara terbaik orang ramai berkongsi budaya serta menyerlahkan bakat yang inovatif serta kreatif.