KUALA LUMPUR: Syarikat penjagaan kesihatan pengguna, GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK Malaysia) memperkenalkan pembersih khusus untuk semua pemakai kelengkapan gigi iaitu Pro Retainer & Guard di bawah jenama Polident.
Pengurus Besar GSK Malaysia, Bryan Wong, berkata Polident Pro Retainer & Guard dengan formulasi yang tidak melelas berupaya membersih kelengkapan gigi dengan berkesan berbanding menggunakan ubat gigi.
Katanya, pembersih baharu ini mampu menghapuskan 99.99 peratus bakteria penyebab bau dan membantu menanggalkan kotoran.
"Ia telah diuji dan terbukti serasi dengan 20 bahan kelengkapan gigi yang berbeza termasuk pendakap dan penahan gigi, wayar logam ortodontik, poliuretana dan polipropilena.
"Dibangunkan dengan teknologi Crystal Clear, pembersih ini boleh digunakan setiap hari dan berkesan serta lembut pada pelbagai jenis kelengkapan gigi tanpa calar atau kakisan kepada kelengkapan," katanya.
Menerusi kajian oleh Google, daripada 9.5 juta pemakai penahan gigi di negara ini, hanya 77 peratus pengguna membersihkan penahan gigi dan 50 peratus lebih suka menggunakan sabun dan ubat gigi sebagai bahan pencuci.
Kaedah pembersihan mekanikal tidak digalakkan kerana kebanyakan ubat gigi melelas dan bulu berus gigi yang keras boleh meninggalkan calar sekali gus membawa kepada pembentukan plak dan mengakibatkan mulut berbau busuk.
Wong berkata, Polident Pro Retainer & Guard bukan saja produk penjagaan gigi transformatif tetapi dapat menggalakkan orang ramai lebih ceria dan yakin dengan diri sendiri.
"Menerusi tiga langkah mudah iaitu larutkan satu tablet ke dalam air suam, rendam kira-kira lima minit, berus perlahan-lahan dan bilas serta sentiasa rujuk kepada arahan pek sebelum digunakan," katanya.
Polident Pro Retainer & Guard dilancarkan dengan kerjasama Watson dan ia boleh didapati di semua cawangan Watsons dan melalui www.watsons.com.my.