Ahad, 17 November 2019 | 10:00am
Antara sajian istimewa dan wajib cuba yang disediakan Restoran Banana Leaf, satu-satunya premis makanan daun pisang yang terdapat di Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Sajian daun pisang legasi keluarga Melayu

Apabila anda meronda di sekitar Shah Alam, Selangor, sangat mudah menjamu selera terutama bagi mereka yang menggemari makanan berasaskan kari memandangkan restoran mamak ‘bersepah’.

Tidak keterlaluan setiap satu atau dua kilometer (km) anda merayau, pasti terjumpa premis makanan berkenaan.

Justeru, bagi menampilkan kelainan terutama dalam kalangan penduduk sekitar Shah Alam.


Sharifah Azareena menampilkan lima jenis lauk-pauk nasi daun pisang iaitu kari ayam, kambing sos lada hitam, ikan lemak kuning, sambal sotong dan udang. - NSTP/Sairien Nafis

Restoran Banana Leaf terletak di Batu 3, memiliki keistimewaan apabila satu-satunya restoran nasi daun pisang dimiliki orang Melayu sepenuhnya.

Pemilik restoran, Sharifah Azareena Syed Mohd Yusof, berkata beliau meneruskan legasi perniagaan keluarga berasaskan makanan, mencuba sesuatu dengan memberi lebih pilihan dan mewarnai cita rasa pelanggan dengan menampilkan sajian warisan India terutama nasi daun pisang berserta lauk-pauknya yang ‘meletup’.

Tambahnya, beliau mendapatkan khidmat cef dan barisan tukang masak yang pernah bekerja di beberapa restoran daun pisang terkemuka di Kuala Lumpur bagi memastikan cita rasa makanan India tidak ‘ke laut’.


Sajian warisan makanan India iaitu idli dan puri turut menjadi pilihan pelanggan, namun harus dinikmati ketika ia masih panas. - NSTP/Sairien Nafis

Jaminan rasa daripada ramuan asli pastinya dinikmati tanpa rungutan daripada pelanggan yang begitu mengambil kira faktor kualiti sajian.

Ramuan sajian India

“Premis makanan sentiasa menjadi perhatian kerana satu-satunya restoran nasi daun pisang terdapat di Shah Alam dan berstatus halal. Jangkaan orang ramai merasai sajian warisan makanan India pasti tinggi dan kami perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan makanan sentiasa dipatuhi,” katanya lagi


Pelbagai minuman jus buah-buahan berwarna-warna pasti menambat selera terutama ketika cuaca panas. - NSTP/Sairien Nafis

Setiap set nasi didatangkan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran iaitu bunga kubis serta pegri timun (campuran lobak, timun dan bawang). Selain itu empat jenis kuah pilihan disediakan iaitu dal, kari ikan, bayam kerekari dan rosam, selain sambal (campuran cili kering masin).

Secara peribadi, penulis begitu menggemari pilihan lauk-pauk tambahan untuk dinikmati bersama nasi daun pisang terutama kambing sos lada hitam dan ikan lemak kuning, menggunakan ikan tenggiri dengan keenakan luar biasa.

FAKTA NOMBOR

* RM9

harga nasi daun pisang asas

bersama kuah-kuah dan sayur-sayuran

* 5 kilogram

daging kambing diperlukan sehari

bagi masakan sos lada hitam dan kurma

* 60 orang

pelanggan dianggarkan sehari

INFO

------

* Restoran Banana Leaf terletak di No 3, Jalan Mesra 1, Taman Mesra, Batu 3, Shah Alam, Selangor (bersebelahan Kafe Tanah Aina).

* Beroperasi setiap hari kecuali Isnin mulai jam 8 pagi hingga 10.30 malam.

* Lauk-pauk kegemaran ramai apabila menikmati nasi daun pisang ialah kari ayam, kambing sos lada hitam dan sotong tiga rasa.

Berita Harian X