Sabtu, 5 Oktober 2019 | 10:07am
FAZRUL bersama pekerjanya. - Foto Faiz Anuar
ANEKA cendol yang paling popular. - Foto Faiz Anuar
FAZRUL bersama hidangan cendol dan rojak di kedainya. - Foto Faiz Anuar

Cendol Istana Brunei sedia 100 pilihan enak

SUKAR untuk membuat pilihan melihat menu 100 jenis cendol ditawarkan di restoran RCSA Cendol & Rojak, Shah Alam, Selangor.

Memang rambang mata, apatah lagi melihat cendol dengan pelbagai rasa dan aneka warna yang membangkitkan selera.

RCSA Cendol & Rojak dibuka sejak 2014 menjadi satu-satu kedai makanan yang menawarkan pelanggannya pilihan cendol terbanyak di negara ini.

Pengurusnya, Fazrul Nizam Osman, berkata bermula dengan lima jenis cendol saja disajikan ketika mula dibuka, permintaan luar biasa diterima bagi tahun pertama memaksa beliau menambah pelbagai aneka dan kini mencecah 100 jenis.

“Keistimewaan cendol kami berbanding cendol lain adalah resipi dan santannya yang menggunakan santan sawit. Walaupun kosnya lebih mahal daripada santan kelapa, namun rasanya lebih lemak dan wangi sekali gus membangkitkan selera pelanggan

“Begitu juga rasa manisnya agak berbeza kerana kami menggunakan empat jenis gula iaitu gula putih, gula perang, gula nira dan gula Melaka,” katanya yang dalam proses untuk menempatkan nama kedai di dalam dalam Malaysia Book of Rekods (MBOR) sebagai kedai yang memiliki 100 jenis cendol.


ANEKA cendol yang paling popular. - Foto Faiz Anuar

Menurut Fazrul, setiap hari beliau menerima tempahan antara 300 hingga 500 mangkuk dan mampu mencecah 1,500 mangkuk pada hari minggu.

“Selain berniaga di kedai, kami juga sering menerima tempahan untuk pelbagai majlis keraian dan memaksa untuk saya menambah pekerja sementara lebih ramai walaupun di kedai saja sudah mempunyai 14 orang.

“Disebabkan permintaan tinggi juga saya kini sudah menambah dua lagi cawangan iaitu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Buka gerai di Istana Brunei

Fazrul berkata, kisah keenakan cendol ini sering menjadi bualan di seluruh negara sehingga mendapat perhatian pelancong asing.


FAZRUL bersama pekerjanya. - Foto Faiz Anuar

“Selain pelanggan tempatan termasuk Sabah dan Sarawak, saya sering menerima pelanggan dari luar negara yang datang ke sini semata-mata mahu menikmati cendol dan rojak.

“Saya pernah diundang membuka gerai cendol di Istana Brunei untuk tiga tahun berturut-turut bagi majlis keraian di sana,” katanya yang dibantu 14 pekerja.

Antara cendol yang menjadi pilihan pengunjung seperti aneka cendol durian, cendol pulut, cendol mangga, cendol buah naga, cendol koko crunch, cendol jelly gummy, cendol tapai pulut dan cendol milo.

Info RCSA Cendol & Rojak

* Lokasi : di Medan Selera Seksyen 24, Shah Alam, Selangor

* Kategori menu : 4 cendol

* Cendol moden, klasik, buah dan nata de coco.

* Bahan: 4,000 kilogram (kg) cendol hijau

* 1,500 kg santan sawit setiap bulan.

* Aneka cendol durian Musang King, D24, IOI, Udang Merah dan Kampung.

* Operasi: Setiap hari (kecuali Isnin)

* Dibuka : 12 tengah hari - 12 tengah malam hingga 12 tengah malam

* Harga: Antara RM5 - RM55

Berita Harian X