Ahad, 22 September 2019 | 10:07am
NOR Harlizam Mamat menunjukkan hidangan menu utama sup perut air asam yang menjadi pilihan pelanggan di gerainya di Kampung Bunut Sarang Burung, Wakaf Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Menu nikah kahwin, jagung berek kiot jadi tarikan

BUKAN sahaja nama kedai makannya unik, malah nama menu dihidangkan juga pelik sehingga mengundang perhatian pengunjung bertandang ke Palo Retok Ngonar Leper, di Bunut Sarang Burung (dialek Kelantan bermaksud kedai makan dekat jambatan selekoh tajam).

Kedai terletak di Wakaf Bahru, Tumpat, Kelantan itu sentiasa dikunjungi pelanggan yang mahu menikmati makanan dan minuman yang pelik.

Mana tidaknya, menu minuman pelik seperti Nikah Kahwin, iaitu campuran buah naga dan mangga, jus mangga Tok Mie Gojes, Cincai Karamel Lapar Kecek serta Air Jagung Brek Kiot, membuatkan orang mahu mencuba pelbagai hidangan itu.

Yang nyata, semua minuman tertera itu harganya sangat berpatutan iaitu antara RM3 hingga RM5.

Malah berbelanja serendah RM8, pelanggan boleh menikmati hidangan nasi berlaukkan semangkuk sup perut air asam dan sepinggan daging bakar atau goreng.

Pakej hidangan itu boleh dinikmati di sebuah gerai milik Nor Harlizam Mamat, 35, di Kampung Bunut Sarang Burung, Wakaf Bharu yang menyediakan sup perut air asam sebagai menu utama yang menjadi pilihan pelanggan.


NOR Harlizam Mamat (kiri) gembira melayan pelanggannya yang datang mencuba hidangan sup perut air asam yang menjadi pilihan utama di gerainya di Kampung Bunut Sarang Burung, Wakaf Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Nor Harlizam berkata, setiap hari beliau perlu menyediakan lebih lima kilogram perut lembu untuk dijadikan sup air asam.

"Resipi ini saya pelajari ketika bekerja di sebuah restoran di Kota Bharu beberapa tahun dahulu sebelum mengambil keputusan membuka sendiri kedai makan secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu di rumah, dengan memperkenalkan menu sup perut air asam sebagai juadah utama.

"Alhamdulillah sambutannya sangat menggalakkan dan majoriti pelanggan yang datang akan memesan menu itu walaupun masih banyak lagi pilihan makanan yang lain," katanya ketika ditemui di kedai makannya di sini baru-baru ini.

Nor Harlizam berkata, dengan dibantu dua pekerja, premisnya yang beroperasi bermula jam 11 pagi sehingga 7 malam itu dikunjungi pelanggan bukan sahaja sekitar Tumpat tetapi termasuk juga beberapa daerah lain di negeri ini.


NOR Harlizam Mamat (kiri) gembira melayan pelanggannya yang datang mencuba hidangan sup perut air asam yang menjadi pilihan utama di gerainya di Kampung Bunut Sarang Burung, Wakaf Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Walaupun tidak menyediakan makanan panas, kedai makan Nor Harlizam ada beberapa menu lain antaranya nasi ayam, kerabu maggi, pisang goreng 'cheese' dan cendol durian.

Tidak lengkap menjamu selera tanpa air minuman untuk membasahkan tekak dan untuk senarai minuman pula, barisan jus buah yang pekat dan segar disediakan selain minuman biasa.

Nor Harlizam berkata, selain sup perut air asam, jus buah yang disediakan juga menjadi faktor ramai pelanggan datang untuk merasai bagaimana rasa air yang dinamakan dengan nama yang unik itu.

"Lebih-lebih lagi apabila melihat gambar yang saya muat turun dalam laman sosial terutama jus nikah kahwin yang terhasil dari buah naga dan mangga menjadi dua lapisan apabila diisi ke dalam gelas.

"Walaupun harga yang dijual agak murah, saya masih memperoleh untung kerana apa yang penting adalah melihat pelanggan berpuas hati menikmati hidangan yang disediakan," katanya.

Berita Harian X