Ahad, 25 November 2018 | 4:51pm
ANTARA menu yang terdapat di Restoran Bangkok House. - Foto Rosela Ismail

Resipi asli sajian jalanan Thai

Ikan stim halia limau, udang, sotong rasa paprik dan tomyam antara sajian utama masakan Siam yang digemari ramai

Ramuan dengan daun limau purut, serai, halia, lengkuas, cili padi dan santan dalam masakan itu menambah aroma.

Bagaimanapun, kelainan di Restoran Bangkok House, terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur apabila menghidangkan pelbagai jenis menu termasuk daging lembu, kambing dan itik, yang jarang ditemui di tempat lain.

Chuchi kae iaitu sajian kambing masak lemak kari, enak dimakan bersama nasi, Jus daging dan rempah seakan-akan rasa rendang sebati kerana diperap semalaman bersama sos thai istimewa.

Untuk kelainan cita rasa, dicampurkan itik dengan daun selasih atau phad kaprow yang menjadikan dagingnya yang digoreng empuk.

Pemilik restoran Farah Hassan, berkata memenuhi selera dan menarik minat penggemar sajian jalanan popular Thailand, Bangkok House menampilkan menu istimewa antaranya boat noodle, kerabu kangkung rangup, bebola daging, otak otak stim serta Shellout Bangkok Style.

Katanya, sajian jalanan popular di seluruh pelusuk Thailand, malah digemari pelancong di negara ini.

“Menu ini lebih ringkas, berkonsep ala carte dan mudah dinikmati termasuk kanak-kanak. Di sini turut menyediakan kangkung goreng rangup tempura dan boleh dimakan begitu saja atau dicicah sos kerabu.

“Sos membangkitkan selera kerana ramuannya sarat dengan ayam dipotong dadu, bawang dan cili padi digaul bersama pati tomyam dan air perahan limau,” katanya.

Bangkok House turut menyediakan kaeng som atau asam pedas Thai, menggunakan ikan siakap digoreng garing yang dicurahkan kuah asam pedas kunyit dengan pelbagai sayur campuran seperti bendi.

Miang Kham, iaitu daun kaduk yang di dalamnya mengandungi potongan cili padi, kacang goreng, isi kelapa sangai, bawang merah, halia dan udang kering dimakan bersama sos thai khas, menjadi snek popular masakan Thailand, juga diminati pengunjung.

Gabungan santan segar, isi batu hancur bersama red ruby water chestnut yang dilengkapi hirisan buah nangka, antara pencuci mulut yang wajar dicuba.

Lengkapkan sesi makan malam atau tengah hari dengan rasa Thai cendol atau Lod Chong, aiskrim kelapa bersama kacang, ubi kayu rebus dan pulut mangga menjadi kegemaran setiap pelanggan.

INFO:

Bangkok House

Lokasi : 6.3A.0, Sinaran TTDI, Jalan Tun Mohd Fuad 3, Taman Tun Dr Ismail

* Kapasiti: 100 orang

* Kemudahan: dewan acara dan surau

* Dibuka setiap hari, iaitu 11 pagi hingga 10 malam

Berita Harian X